20081211

Nama dah ada, Najib umum calon BN Sabtu ini?

KETUA Umno Bahagian Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, senarai nama calon Barisan Nasional (BN) sudah lengkap untuk diserahkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Negeri untuk dimuktamadkan.

Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan bakal calon ketika mengadakan lawatan ke sini Sabtu ini.

Badan Perhubungan Umno negeri akan bermesyuarat malam esok untuk membincangkan senarai calon yang difikirkan layak untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, sebelum dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti.

"Senarai nama calon sudah ada dan saya akan kemukakan kepada Pengerusi Perhubungan Umno Negeri (Datuk Seri Ahmad Said) dalam masa terdekat," katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai nama calon yang telah dikemukakan itu.

"Saya tidak boleh dedahkan nama-nama itu sekarang kerana ia belum dikemukakan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri lagi. Saya tidak mahu membelakangkan beliau," ujarnya ringkas.

Tambahnya, Badan Perhubungan Umno Negeri yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Ahmad Said yang juga Menteri Besar Terengganu akan memuktamadkan nama calon yang sesuai sebelum diserahkan kepada Presiden Umno untuk diumumkan.

Jelas Farid, dalam mesyuarat Umno bahagian Kuala Terengganu yang diadakan kelmarin, pelbagai perkara turut dibincangkan termasuklah penubuhan beberapa jawatankuasa bagi memperkuatkan jentera pilihan raya parti itu menjelang hari pengundian hari pengundian yang telah ditetapkan pada 17 Januari depan.

"Banyak perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut. Kami menubuhkan beberapa buah jawatankuasa sebagai jentera kami. Kekuatan jentera juga masih sama seperti sebelum ini, tiada yang berubah," katanya.

Ditanya adakah nama beliau tersenarai sebagai calon untuk bertanding di kerusi Parlimen terbabit, Farid dalam nada bergurau berkata:

"Awak teka nama saya ada ke? Saya pun tak tahu lah. Apa pun kita tunggu keputusan muktamad daripada Presiden Umno nanti."

Sebelum ini, Farid dikatakan sebagai calon pilihan setelah kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong selepas penyandangnya, Datuk Razali Ismail meninggal dunia kerana serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands baru-baru ini.

Pada pilihan raya umum lepas Mac lalu, Razali berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya sebelum itu pada 2004, dengan mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu, dengan majoriti 628 undi.

Pertandingan itu merupakan tiga penjuru yang turut membabitkan seorang calon bebas Maimun Yusof, 89, yang hilang wang pertaruhan selepas hanya memperoleh 685 undi. / Mstar


Awak teka nama saya ada ke? Saya pun tak tahu lah - Wan Farid


No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com