20081215

PRK Kuala Terengganu: Undi bukan Melayu jadi penentu

(Hrkh) - Peluang kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu P.36 bergantung kepada pengundi bukan Melayu yang berjumlah kira-kira 11 peratus di parlimen tersebut.

Pandangan demikian dinyatakan seorang pensyarah Jabatan Sains Politik sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang enggan dikenali kepada Harakah.

"Undi Melayu terpecah dua dan secara status quo nya mereka akan kekal memberikan sokongan kepada kedua-dua parti yang bertanding iaitu PAS dan BN, tetapi undi bukan Melayu walaupun peratusnya kecil tetapi ia merupakan undi penentu kemenangan kepada salah satu pihak," katanya.

Jelasnya, persaingan untuk merebut kerusi parlimen Kuala Terengganu ini signifikannya bakal menguji rakyat dalam menilai prestasi BN dan Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

"Ia juga merupakan kayu ukur kepada sokongan kepada peralihan kuasa Perdana Menteri pada Mac 2009 nanti.

"Jika mereka memilih PAS, ia merupakan tanda protes kepada proses peralihan tersebut. Sebaliknya jika BN masih berjaya mengekalkan kerusi mereka, ini bermakna rakyat merestui keputusan yang dibuat Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai penggantinya," ujarnya.

Rakyat juga tegasnya akan memperlihatkan sikap mereka terhadap tahap keikhlasan sebenar kerajaan dalam menangani isu-isu semasa yang menimpa negara khususnya berkaitan ekonomi dan keselamatan negara.

"Rakyat akan menunjukkan sikap mereka sama ada setuju atau protes terhadap keikhlasan dan kesungguhan kerajaan dalam menyelesaikan isu ekonomi dan sebagainya bagi membela nasib dan kepentingan rakyat sekali gus menggambarkan senario politik semasa negara," katanya lagi.

Sungguhpun begitu ujarnya, pilihan raya kecil ini tidak boleh dijadikan ukuran pola lanskap negara secara menyeluruh kerana populasi penduduk Kuala Terengganu yang tidak sekata.

Pilihan raya kecil P.36 Kuala Terengganu yang dijadualkan pada 17 Januari akan datang diadakan ekoran kematian penyandangnya Dato' Razali Ismail baru-baru ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), proses penamaan adalah pada 6 Januari 2009.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com