20090411

Kalah Menang Adat Bertanding

1. Keputusan pemilihan UMNO telah pun diketahui. Demikian juga keputusan sayap-sayap UMNO, Pemuda, Wanita dan Puteri. Secara peribadi saya terima kekalahan ini sebagai satu lagi cabaran dan dugaan sebagai ahli politik. Kita hanya boleh merancang dan berdoa tetapi perancangan Allah jua yang maha bijaksana.

2. Ada yang mempertikaikan mengapa saya tidak berada di dalam dewan sewaktu pengumuman keputusan. Saya bukanlah Perwakilan ke Persidangan Pemuda UMNO tahun ini justeru saya tidak berhak berada di dalam dewan tersebut. Kehadiran saya semasa awal persidangan hanyalah sebagai pemerhati sahaja.

3. Jadi tidak usahlah membuat andaian tidak benar bahawa saya takut menghadapi kekalahan. Walaupun kalah saya tetap menghadiri Perhimpunan Agung UMNO sehingga tamat. Jawatan hanyalah satu plaform untuk berkhidmat. Tanpa jawatan juga kita boleh menyumbang kepada parti dalam bentuk yang lain.

4. Kekalahan ini tidak akan melunturkan semangat saya untuk terus membantu memperkukuhkan parti demi membangunkan agenda agama dan bangsa. Insyallah saya akan terus menjalankan tugas-tugas saya sebagai ADUN Sungai Panjang, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Ketua Pembangkang Selangor dan apa sahaja peranan-peranan lain jika diberi tanggungjawab oleh parti pada masa akan datang.

5. Saya juga percaya gandingan mantap Presiden dan Timbalan Presiden serta Naib-naib Presiden yang menang berupaya memberi harapan baru dan membawa pembaharuan dalam parti. Memang benar ada terdapat nama-nama tertentu mungkin tidak popular di luar parti tetapi menang dalam pemilihan kali ini. Ini lumrah politik. Mustahil kita dapat mencari semua pemimpin disukai oleh semua orang dalam satu-satu masa. Jika dalam setandan pisang hanya ada satu dua yang buruk janganlah pula dianggap semua pisang tersebut buruk belaka. Lihatlah banyak yang elok berbanding buruk.

6. Menang dan kalah adat pertandingan. Jatuh dan bangun asam garam politik. Jika tidak sedia dilanda ombak, tentulah saya tidak berumah di tepi pantai.


No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com