20090416

Shahrir nafi tidak sebulu dengan Najib

Menteri perdagangan dalam negari dan hal ehwal pengguna hari ini menolak tanggapan bahawa peletakan jawatannya dalam kabinet kerana tiada persefahaman dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

"(Dakwaan) itu tidak betul... kerajaan mesti diwakili daripada pemimpin parti, jadi sesiapa saja yang duduk sebagai pemimpin parti, baru layak duduk dalam kerajaan dan keduanya, bergantung juga kepada budi bicara perdana menteri untuk melantik orang dia (dalam kabinet)," kata Datuk Shahrir Samad, lapor Bernama.

Rabu lepas, Shahrir menyerahkan surat peletakan jawatan menteri berkuatkusa 8 April setelah gagal mempertahankan jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) pada perhimpunan agung Umno, bulan lepas.

Ditanya adakah beliau akan menerima apa-apa jawatan dalam kerajaan jika ditawarkan, Shahrir berkata beliau akan menimbangkan apa juga kemungkinan.

"Saya ini, ada pun tak apa, tidak ada pun tidak apa... Orang seperti
saya ini di dalam parti mesti sanggup terima apa pun jawatan bukan sahaja di dalam kabinet," katanya.

Menurut agensi berita itu lagi, Shahrir berkata beliau menjangkakan ada muka-muka baru dilantik dalam kabinet yang akan diumumkan nanti.

"Kini kita melihat di dalam pemilihan Majlis Tertinggi adalah lebih
berpihak kepada muka-muka baru dan di dalam Umno sendiri pun selepas pilihanraya umum yang lepas, turut berlaku perubahan di kalangan ketua-ketua bahagian," katanya.

Beliau menolak kemungkinan berlaku perpecahan dalam Umno sekiranya muka-muka lama digugurkan daripada kabinet.

Katanya, masalah perpecahan dalam sesebuah parti disebabkan oleh sikap berkumpulan dalam parti.

"Dulu, di bawah (Tun) Dr Mahathir Mohamad, terdapatnya (kumpulan) Tengku Razaleigh (Hamzah), (Tun) Musa Hitam, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tapi sekarang tidak ada (jadi) tiada potensi untuk wujudnya kumpulan menentang pucuk pimpinan," katanya.

Walaupun telah melepaskan jawatan Shahrir berkata beliau akan terus memainkan peranan sebagai anggota parlimen Johor Bahru dan juga ketua Umno bahagian itu.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com