20090417

Thaksin jadi duta khas Nicaragua


TIGA daripada ketua penunjuk perasaan antikerajaan yang menyerah diri semalam, dihadapkan ke mahkamah mengikut undang-undang perintah darurat yang masih dikuat kuasakan di Bangkok, semalam. Dari kiri Nattawut Saikua, Veera Musigapong dan Weng Tojirakan yang mengetuai gerakan Barisan Bersatu Untuk Demokrasi Menentang Diktator (UDD) dibawa keluar dari mahkamah Bangkok, semalam. – AP/ REUTER


MANAGUA 16 April - Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dilantik sebagai 'duta khas' Nicaragua dan memegang pasport diplomatik yang dikeluarkan oleh negara di Amerika Tengah ini.

Thaksin menerima pasport berkenaan selepas menemui Presiden Nicaragua, Daniel Ortega pada Februari lalu, umum kerajaan Nicaragua dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Ortega melantik Thaksin ke jawatan tersebut bagi membantu menarik pelaburan ke negara miskin ini.

Mengulas perkembangan itu, Kementerian Luar Thai menyatakan, Bangkok menjalinkan hubungan diplomatik dengan Nicaragua tetapi tidak mempunyai perjanjian ekstradisi.

Thailand belum mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan di Managua berhubung tindakannya itu, kata jurucakap kementerian tersebut, Tharit Charungvat.

Kerajaan Thai memansuhkan pasport peribadi Thaksin semalam, dengan menuduh beliau menghasut penyokong supaya mengadakan protes ganas sehingga menyebabkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-14 di Pattaya pada Sabtu lalu dibatalkan.

Bangkok menarik balik pasport diplomatik Thaksin pada Disember lepas.

Bekas jutawan telekomunikasi itu kini hidup dalam buangan bagi mengelakkan hukuman penjara dua tahun kerana kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa selepas digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada September 2006. Tiada siapa mengenai di mana Thaksin tinggal sekarang.

Penunjuk perasaan yang setia kepada Thaksin bersurai kelmarin, selepas menduduki pekarangan Rumah Kerajaan di Bangkok selama lebih dua minggu bagi menuntut Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva meletakkan jawatan dan pilihan raya baru diadakan.

Sementara itu, dalam wawancara dengan televisyen France-24 dari Dubai lewat semalam, Thaksin meminta campur tangan Raja Bhumibol Adulyadej bagi menamatkan pergolakan politik dan membantu mendamaikan rakyat Thai.

"Saya menggesa Raja supaya campur tangan kerana beliau satu-satunya tokoh yang boleh berbuat demikian... jika tidak, keganasan akan merebak dan konfrontasi akan menjadi bertambah buruk," kata Thaksin yang turut berikrar akan terus memberi 'sokongan moral' kepada penyokongnya.

Bhumibol, 81, mendapat sokongan meluas daripada seluruh rakyat Thai tidak kira fahaman politik mereka.

Thaksin turut menuduh 'tentera tajaan kerajaan' mencetuskan keganasan baru-baru ini dengan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.

"Mereka takut dengan populariti saya," dakwa beliau.

Hari ini, kerajaan mengeluarkan 36 waran tangkap terhadap pemimpin 'Baju Merah', kebanyakannya kerana merusuh di Pattaya dan dua kerana menyerang kenderaan Abhisit.

Tiga daripada ketua penunjuk perasaan yang menyerah diri hari ini, telah dihadapkan ke mahkamah dengan kawalan ketat. Penahanan mereka diteruskan di bawah perintah darurat yang masih dikuat kuasakan. - AP

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com