20090503

Dilema Raymond Tan ditekan komponen BN Sabah

Bekas pemimpin SAPP digesa lepaskan jawatan Timbalan Ketua Menteri

PAPAR: Datuk Raymond Tan Shu Kiah, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang tidak menganggotai mana-mana parti, kini berada dalam dilema.

Beliau tidak menyertai mana-mana parti politik kerana pilihan yang ada adalah sedikit.

Akhir-akhir ini, beliau digesa oleh beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya mengundurkan diri daripada Kabinet negeri satu langkah yang disifatkan bertujuan untuk menjejaskannya.

Timbalan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin adalah seorang daripada mereka yang membuat gesaan itu.

Tan, yang jelas kecewa dengan gesaan itu yang dibuat sejak beberapa hari lepas, berkata, adalah tidak mungkin untuknya menyertai mana-mana parti komponen BN yang telah memintanya meletakkan jawatan.

Pada masa yang sama, pilihan untuk menubuhkan sebuah parti baru juga mendapat bantahan daripada parti komponen yang sama yang tidak mahu beliau dikekalkan dalam Kabinet selepas Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada BN.

"Saya fikir jikapun saya sertai parti komponen (BN) yang lain, sesetengah daripada mereka ini akan terus mengganggu saya. Saya tidak tahu kenapa. Saya tidak fikir yang saya ada berbuat sesuatu yang boleh dianggap sebagai menyakitkan hati mereka.

"...dan apabila BN mengadakan perbincangan... mengenai menubuhkan parti baru dalam BN, terdapat bantahan, dan ini telah ditonjolkan, terutamanya oleh LDP.

"LDP dan MCA membantah," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada majlis pelancaran pesta Keaamatan peringkat negeri di sini hari ini.

Berikutan bantahan itu, katanya, tiada sebarang keputusan rasmi mengenai cadangan penubuhan parti baru itu.

"Saya mahu bangkitkan di sini, saya fikir ini amat penting, setelah apa yang berlaku... saya fikir sekarang ini adalah tidak sesuai untuk meneruskan cadangan menubuhkan parti baru. Terlalu ramai pemimpin yang telah membantah, tidak perlu lagi saya kata apa-apa.

"Saya tidak fikir mana-mana pemimpin ini yang tidak melayani saya dengan baik mahu saya menyertai mereka," katanya.

Sebaliknya, Tan berkata, sesetengah pihak yang menyokong beliau menegaskan bahawa dengan berada dalam BN, beliau sudahpun berada dalam parti.

Tan berpendapat parti komponen yang membangkitkan isu berkenaan dirinya, lebih mementingkan kedudukan dalam kerajaan daripada kepentingan BN.

Kepada satu soalan, Tan berkata beliau telah berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa, sehari selepas perjumpaan dengan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Bagaimanapun, beliau enggan memberikan butiran lanjut mengenai kedua-dua perjumpaan itu.

Tan berkata, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat juga telah memberikan nasihat kepadanya berhubung perkara itu apabila beliau bertemunya barubaru untuk mendapatkan penjelasan mengenai pendirian MCA, berikutan MCA negeri menyokong gesaan supaya beliau meletakkan jawatan.

Mengenai khabar angin yang beliau akan menyertai Gerakan, katanya: "Terdapat desas-desus mengenai (saya) menyertai Gerakan sedikit masa lalu... saya fikir ini berlaku kerana hubungan kami yang rapat di masa lalu, iaitu sejak saya mula menceburi politik pada 1994."

Tan sementara itu berkata, penentuan kedudukannya terletak di tangan Musa dan ketua menteri telah berkata yang beliau hanya akan membuat keputusan selepas mendengar pandangan parti-parti komponen.BERNAMA

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com