20090504

Puan Sri Laila selamat dikebumikan

Apr 30, 09 3:44pm Jenazah Puan Sri Laila Taib, isteri kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Demak Jaya, Jalan Bako tengah hari ini.

Allahyarhamah disemadikan pada jam 1 tengah hari bersebelahan pusara ibu mentuanya, Hamidah Yakub, yang meninggal dunia pada 13 Januari 2006.

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Tengku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dan isteri Raja Zarith Sofia turut berangkat menghadiri pengkebumian itu.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng serta bapa saudara Taib, bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Rahman Yakub turut hadir, lapor Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dalam perjalanan pulang dari lawatan rasmi dua hari ke Brunei Darussalam, juga hadir bersama isteri

Datin Seri Rosmah Mansor. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman yang berada di Kuching kerana tugas rasmi.

Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah serta pemimpin negeri dan pusat turut menghadiri majlis pengkebumian itu.

Terdahulu, Taib serta keluarga, dan beberapa orang kenamaan menyertai solat jenazah di kediaman rasmi ketua menteri di Demak Jaya yang diimamkan

Timbalan Imam Besar Negeri Sarawak Mohd Jorgi Suhaili.

Taib yang berbaju melayu berwarna putih kelihatan mengesat air mata semasa talkin dibacakan oleh Mohd Jorgi.

Laila, 68, yang meninggal dunia di kediamannya pada pukul 3.45 petang semalam meninggalkan suami, empat orang anak iaitu dua perempuan dan dua lelaki termasuk Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman serta 15 orang cucu.

Laila yang nama remajanya Lejla Chaleck dan lahir di Poland bertemu Taib di Australia ketika mereka sedang menuntut, dan berkahwin di Adelaide pada 13 Januari 1959. Taib ketika itu sedang mengikuti pengajian untuk ijazah undang-undang.

Pada 1962, Laila mengikut Taib ke Sarawak dan bergiat aktif dalam kerja kemasyarakatan, termasuk sebagai presiden Badan Amal dan Tenaga Sarawak

(Sabati), dan dianugerah Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang yang membawa gelaran "Datuk Amar" pada 1988.

Beliau juga adalah naib presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) (Pengerusi Jawatankuasa Wanita).

Penubuhan Tabung Amal Kanser Laila Taib adalah antara aktiviti kebajikan yang paling menonjol di negeri ini kerana ia membantu golongan berpendapatan rendah mendapat rawatan bagi penyakit itu.

Sementara itu sebagai menghormati pengkebumian Laila hari ini, acara-acara rasmi yang berlangsung di Kuching termasuk satu program Timbalan Perdana Menteri dibatalkan.

Hanya program menyampaikan wang ehsan kepada mangsa banjir di Dewan Suarah Kota Samarahan dijalankan pagi ini. Program Muhyiddin yang juga menteri pelajaran yang dibatalkan ialah majlis bersama warga pendidikan Sarawak di Pusat Penerangan Islam yang dijadual pada jam 11.30 pagi.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com