Showing posts with label Biar. Show all posts
Showing posts with label Biar. Show all posts

20090226

'Nizar dan Sultan ada tafsiran sendiri, biar rakyat tentukan' - Haron Din

Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Hrkh) - Bagi tokoh agama yang terkenal, Dato' Dr Haron Din menasihatkan agar kemelut yang berlaku di Perak ini diselesaikan dengan cara paling baik iaitu mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat keputusan melalui pilihan raya seluruh negeri.

Timbalan Mursyidul Am PAS itu juga berpendapat, perselisihan tafsiran undang-undang di antara Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan Menteri Besar Perak Dato' Seri Nizar Jamaluddin merupakan proses biasa dalam amalam demokrasi, dan bukan kali pertama berlaku di Malaysia dan mana-mana negara di dunia.

"Nizar tidak meletakkan jawatan kerana dia memegang amanah rakyat, dia hendak kembalikan semula kepada rakyat. Itu tafsirannnya.Saya tidak nafikan Tuanku Sultan ada tafsirannya. Jadi jika ada perselisihan tafsiran undang-undang, maka saya tidak fikir itu boleh dinamakan sebagai derhaka.

"Ini sepatutnya diselesaikan dengan cara paling baik iaitu, kembalikan kepada rakyat. Biar rakyat yang menentukan. Atau kita berlapang dada dan bersabar sedikit, biar Mahkamah Tinggi memutuskan kesahihan pelantikan menteri besar kedua," katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan Harakah baru-baru ini.

Dalam pada itu beliau menegaskan Raja-raja Malaysia perlu dikekalkan pada takhta yang sedia ada dan rakyat diseru supaya bersatu dan mengekalkan kedudukan mereka.

Beliau antara ulama yang dekat dan rapat hubungannya dengan istana menjelaskan istilah 'sembah derhaka' yang dimanipulasi oleh plebagai pihak khusunya media sedangkan ianya bukan satu bentuk tindakan derhaka yang sebenarnya.

"Sembah derhaka' bermaksud apa yang diminta oleh seorang Raja atau Sultan tidak dapat dipenuhi atau ditunaikan oleh seorang hamba rakyat. Sama ada kecil atau yang besar. Seorang rakyat akan menuturkan bahawa 'patik sembah derhaka'. Bukan yang kita fahami itu derhaka adalah melawan atau menyakiti Raja," katanya yang cuba membandingkan pelbagai perbuatan menderhaka yang dilakukan oleh pemimpin sebelum ini.

Katanya, yang tidak mahu mendedahkan secara terperinci, memang berlaku perbuatan menderhaka yang tidak diketahui umum.

"Ada pemimpin disuruh Raja untuk 'briefing' pada hari tertentu tentang perkembangan negeri, langsung tak datang. Ada yang Raja suruh buat projek untuk rakyat, tetapi pemimpin tak buat. Ada Sultan yang suruh hentikan projek tertentu kerana membazir, mereka terus buat.

"Ada raja suruh bantu ekonomi orang Melayu, dengan bantu projek tertentu tetapi beri pada kroni mereka pula malah ada Raja beritahu saya, ada pemimpin yang terajang pintu istana kerana tidak puas hati.

"Ini semua saya dapat tahu dan ada antara Raja-raja yang beritahu sendiri kepada saya. Inilah perangai mereka... ini jauh lebih derhaka lagi," katanya.- azm/mks.

20090104

Biar SPR ada 'taring'...

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) yang serting menjadi sasaran kritikan kononnya tidak bebas dan tidak ada ‘taring’ untuk memastikan pilihan raya dapat dijalankan secara adil dan saksama memerlukan kuasa autonomi bagi menangkis persepsi berkenaan.

Begitulah nada dan harapan yang disampaikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman yang meminta kerajaan me,pertimbangkan supaya badan itu diberikan kuasa autonomi mengawal sepenuhnya perjalanan pilihan raya di negara ini termasuk media.

Katanya, cadangan itu bagi memastikan SPR benar-benar berfungsi sebagai institusi yang melaksanakan sistem demokrasi memandangkan buat masa ini berdasarkan undang-undang pilihan raya sedia ada, SPR bwerhadapan dengan pelbagai halangan kerana terdapat badan atau kementerian lain yang mempunyai lebih banyak kuasa ketika tempoh pilihan raya.

‘‘Sepatutnya tidak ada pihak berkuasa lain yang memainkan peranan lebih besar daripada SPR, sekarang kita bekerjasama dengan polis, kita merujuk kepada mereka dari segi penguatkuasaan tetapi polis ada undang-undang sendiri yang boleh digunakan untuk menguatkuasakan sesuatu perkara semasa tempoh pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan bangunan baru ibu pejabat SPR di Putrajaya hari Selasa.

Menurut Ab Rashid, berdasarkan contoh di negara lain, banyak yang telah mengalkan kaedan berkenaan dengan memberikan kuasa sepenuhnya ekpada suruhanjaya pilihan raya menentukan perjalanan pilihan raya bukannya jabatan atau kementerian lain.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, Malaysia harus menerma pakai apa yang telah dibincangkan di peringkat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) iaitu semua negara mesti berusaha memperkukuhkan amalan demokrasi mereka

‘‘Saya tidak mahu kata ini suatu (cadangan) rombakan (sistem undang-undang pilihan raya) tetapi kaji semula untuk menentukan bahawa tidak ada lagi tuduhan, orang menuduh SPR tidak ada ‘gigi’ dan tidak ambil tindakan.

‘‘Macam mana nak ambil tindakan apabila undang-undang tidak membolehkan, semua parti politik adalah pelanggan kita dan mesti pastikan mereka berpuas hati dan layan mereka dengan saksama,” katanya.

Selain itu, beliau turut menjelaskan SPR perlu mempunyai kedudukan untuk mengawal media menentukan batasan sejauh mana agensi media boleh mengambil sikap berpihak bagi membolehkan proses kempen dianggap sama rata.

20081216

Nak bantu biar ikhlas, tak payah gantung bendera politik - Penduduk

KL: Persatuan Penduduk Bukit Antarabangsa (BARA) hari ini melahirkan rasa kecewa dengan tindakan parti-parti politik yang mengambil kesempatan menggantung iklan di beberapa pusat operasi bantuan bertujuan untuk mempromosi parti mereka.

Jurucakap persatuan itu, Dr Mohamad Rafick Khan berkata, hal sedemikian tidak sepatutnya berlaku memandangkan pada waktu ini, kedua-dua parti dari kerajaan dan pembangkang sepatutnya bekerjasama membantu mengsa kejadian tanah runtuh di kawasan itu yang berlaku pada Sabtu lalu.

"Mereka sepatutnya duduk semeja berbincang untuk membantu tapi sebaliknya mereka bersaing sesama sendiri untuk menunjukkan siapa lebih baik," katanya dalam satu sidang media di Bukit Antarabangsa di sini.

Mohamad Rafick berkata, hal itu seterusnya telah menimbulkan sentimen politik apabila ada mangsa yang tidak mahu pergi ke pusat bantuan yang bukan diuruskan oleh parti yang disokongnya.

Beliau berkata, kesemua ahli politik ini dipilih oleh rakyat untuk membela nasib mereka.

Justeru katanya, mereka tidak mahu sikap sedemikian wujud dalam diri pemimpin dalam keadaan rakyat benar-benar memerlukan bantuan mereka.

Dalam sidang media yang sama, beliau turut mengumumkan penubuhan BARA yang dianggotai oleh wakil penduduk dari lapan taman perumahan di Bukit Antarabangsa iaitu Taman Bukit Utama, Taman Utama Tropicana Villa, Puncak Bukit Utama, Taman Bukit Jaya, Kyoto Gardens, Oakleaf Condominium, Laman Oakleaf dan Sinaran Ukay.

Mohamad Rafick berkata, persatuan itu ditubuhkan berikutan penduduk merasakan perlunya satu persatuan untuk melihat keperluan penduduk dalam menyuarakan pelbagai masalah, cadangan dan tindakan bagi memastikan keselamatan sosial dan persekitaran Bukit Antarabangsa.

"Objektif kami adalah untuk menjadikan Bukit Antarabangsa tempat yang selamat.

"Kami mahu bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak-pihak berkuasa lain bagi mencari jalan penyelesaian jangkamasa pendek dan panjang berikutan masalah yang timbul daripada kejadian tanah runtuh ini," katanya.

Beliau berkata, salah satu isu utama yang akan difokuskan dalam jawatankuasa yang baru ditubuhkan itu adalah keselamatan kawasan itu pada masa hadapan.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) semalam supaya memperkenalkan akta baru seperti yang digunapakai di Hong Kong bagi mengawasi dan memantau projek pembangunan tanah tinggi dan cerun bukit, Dr Mohamad Rafick berkata, pihaknya mengalu-alukan penubuhan akta itu.

Beliau turut meminta pihak media supaya tidak menulis berita berdasarkan sumber daripada pihak berkuasa yang tidak diketahui identitinya.

"Penulisan berita yang hanya merujuk sumber tanpa diketahui identiti sebenar sumber itu akan menimbulkan keraguan sama ada apa yang disampaikan itu benar atau tidak," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa terima kasihnya kepada semua pihak yang banyak membantu sepanjang enam hari mereka mereka menghadapi kesukaran termasuk dari segi makanan dan tempat tinggal berikutan kejadian tanah runtuh itu.

Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang berlaku kira-kira 4 pagi Sabtu lalu telah meragut empat nyawa dan menimbus enam unit banglo di Taman Bukit Mewah dan lapan di Taman Bukit Utama.

Kira-kira 2,000 dari empat taman perumahan berhampiran diarah mengosongkan rumah mereka atas faktor keselamatan. / Mstar


Kedua-dua parti dari kerajaan dan pembangkang sepatutnya bekerjasama membantu mengsa. Foto ihsan Utusan Malaysia

20080819

Biar AUKU dipinda, siswa tetap terjajah

Pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa pemimpin parti politik, termasuk pembangkang boleh memberi ceramah kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selepas pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disambut dengan hati berbelah-bagi dan berhati-hati oleh mahasiswa.

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) memuji langkah berani kabinet membudayakan suasana keintelektualan di universiti melalui pindaan akta tersebut.

Mahasiswa sudah lama kekeringan idea daripada kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang. Mahasiswa hanya memperolehi penerangan sesuatu isu melalui internet atau secara sembunyi-sembunyi menghadiri penerangan pembangkang.

Langkah kerajaan ini akan memberikan satu suasana demokrasi kepada para mahasiswa yang diibaratkan sebagai jantung pemikiran bangsa Malaysia akan datang.

GMUKM juga melihat pindaan AUKU sebagai satu manifestasi keterbukaan dasar perdana menteri dan juga mengelakkan mahasiswa daripada mendengar pandangan sebelah pihak sahaja.

Juga, dengan adanya kebebasan media, ia akan membentuk mahasiswa sebagai golongan tidak berkepentingan atau kumpulan bebas dan bukannya menjadi jurucakap kepada parti politik tertentu.

Segala isu terkini dan semasa akan dihadam dan dikaji oleh mahasiswa tanpa halangan atau ketakutan untuk membicarakannya.

Oleh yang demikian, mahasiswa perlu menggunakan ruang kebebasan yang diberikan oleh kerajaan hari ini dengan bijaksana dan profesional. Janganlah hanya pemimpin kerajaan sahaja dijemput ke program di kampus sedangkan pemimpin pembangkang dipinggirkan - dan sewajarnya begitulah juga sebaliknya, jangan hanya pemimpin pembangkang diundang.

GMUKM melihat pindaan akta itu dibuat bagi memberi mahasiswa dan universiti persekitaran lebih kondusif serta menyiapkan diri mahasiswa untuk memimpin negara kelak.

Benarlah bahawa jiwa muda mahasiswa akan memberontak sekiranya mahasiswa ditekan dan dihalang hak asasinya oleh mana-mana pemerintah seperti yang berlaku di Indonesia.

Justeru, pindaan ini boleh memberikan nafas baru kepada semua IPTA dalam merealisasikan matlamat menaikkan pemeringkatan universiti masing-masing di mata dunia.

Di samping itu, pengumuman menteri berkenaan bahawa melalui pindaan itu, mahasiswa yang melakukan kesalahan mengikut AUKU tidak lagi akan dihadapkan ke mahkamah dan akan hanya dihadapkan di tribunal universiti.

Jika dahulu kesalahan mengikut AUKU boleh diambil tindakan mahkamah tetapi dengan pindaan ini semua penguatkuasaan kesalahan mahasiswa akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada universiti, kata Mohamed Khaled.

Tetapi, mahasiswa sebenarnya tertakluk juga pada undang-undang negara. Jika mahasiswa didapati melakukan rasuah dan penyelewengan, maka Akta Pencegahan Rasuah 1997 akan terpakai kepada mereka.

GMUKM juga menyambut baik pindaan AUKU yang membolehkan pelajar yang dikenakan tindakan disiplin, termasuk digantung oleh pihak universiti, mengambil peperiksaan. Jelas bahawa Seksyen 15 (D)(1) akta yang kini akan secara automatik tidak terpakai.

Sebelum pindaan, seseorang mahasiswa yang dituduh atas satu kesalahan akan digantung daripada menjadi mahasiswa sehinggalah keputusan prosiding jenayah itu diselesaikan. Maknanya jika tujuh tahun masih lagi tidak diselesaikan kesnya, maka pelajar tersebut akan terus menganggur dan hilang status kemahasiswaan.

Hal inilah yang berlaku kepada tujuh pelajar yang diseret ke mahkamah selepas membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kira-kira tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun pindaan akta masih tidak membenarkan mahasiswa menganggotai atau terbabit dengan mana-mana organisasi atau parti politik. Ia mungkin untuk menjadikan mahasiswa bersifat non-partisan tetapi bagi GMUKM, mahasiswa wajar juga didedahkan dengan organisasi politik.

Maknanya, mahasiswa wajar diberikan hak berpolitik sepenuhnya seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan itu nanti bagaimanapun menyediakan satu alternatif - mahasiswa dibenarkan menganggotai persatuan atau pertubuhan tidak bertunjangkan politik.

Aktivis mahasiswa sedang ternanti-nantikan perbahasan di Dewan Rakyat bukan ini agar suasana demokrasi - walaupun tidak sepenuhnya - dapat dihirup di IPTA.

GMUKM berkeyakinan penuh bahawa pindaan AUKU ini akan tetap disokong oleh 222 ahli parlimen kita termasuklah Pakatan Rakyat walaupun ada peruntukan AUKU yang masih mendiskriminasi mahasiswa.

Jelas, mahasiswa masih terjajah dengan pindaan AUKU ini dan ia dilakukan secara kosmetik dalam suasana kerajaan BN sudah tidak diterima umum terutamanya oleh mahasiswa.


Hazman Abdullah merupakan seorang jurucakap Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM)

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com