Showing posts with label bantah. Show all posts
Showing posts with label bantah. Show all posts

20090228

Pemuda PAS Wilayah bantah konsert Rihanna, boikot artis Amerika!!!

Pemuda PAS Wilayah bantah konsert Rihanna, boikot artis Amerika!!!
Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Jan 20, 09 | 4:09:57 pm MYT

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Hrkh) - Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan hari ini melahirkan kekesalan terhadap tindakan sebuah syarikat telekominikasi tempatan yang menaja dan akan turut menganjurkan program konsert 'Rihanna Live in Kuala Lumpur' pada hari Jumaat, 13 Februari 2009 nanti.

Iklan

Menurut Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad, Rihanna yang terkenal dengan lagu Bad Girl dan Umbrella sebelum ini dijangka akan mengadakan persembahan lewat pukul 8.30 malam di Stadium Bukit Jalil nanti.

Iklan-iklan telah mula disebarkan melalui kaca TV, Surat Khabar, SMS dan ternyata ia adalah suatu usaha yang bersungguh dari Celcom dalam mengaut keuntungan dalam mengorganisasikan konsert ini, katanya.

Rihanna atau nama sebenarnya Robyn Rihanna Fenty merupakan artis kelahiran Kepulauan Barbados yang menempah nama di Amerika Syarikat, katanya.

Artis ini berkecimpung dalam genre R&B, Pop,Pop-Rock, dance dan reggae sering membawakan aksi yang menghairahkan dalam penyampaian lagu-lagunya disamping mengenakan pakaian ketat dan seksi, ujarnya.

"Ini sememangnya tidak memenuhi citarasa budaya tempatan, dan tidak secocok dengan syarikat telekomunikasi itu yang dilihat sebagai sebuah syarikat tempatan yang sewajarnya mengutamakan budaya ketimuran dan artis-artis tempatan," katanya.

Kehadiran Rihanna yang kini sudah menetap di Amerika sedikit sebanyak akan membawa keluar wang negara yang akhirnya akan masuk ke Amerika, katanya.

Melihat kepada pengaliran wang ini, bukan sahaja membawa kita memahami erti kerugian buat negara tetapi satu penderitaan buat rakyat Palestin.

Amerika menjadi sekutu Israel membekalkan senjata ketika pembunuhan ngeri di Gaza hasil dari sumbangan dan dana cukai yang diberi oleh penduduk Amerika, katanya.

"Sama ada Rihanna sedar atau tidak kita sememangnya tahu bahawa duit cukai yang dibayar beliau turut menyumbang kepada peperangan di Gaza," katanya.

Maka Pemuda PAS Wilayah menolak kehadiran artis ini di Malaysia atas dasar ketidaksesuaian gaya penyampaian lagu, pakaian dan juga atas sentimen menghormati rakyat Palestine yang tertindas angkara kekejaman Israel dansekutunya Amerika yang ditaja oleh kebanyakkan penduduknya.

"Sama ada Rihanna terlibat atau tidak, bagi kami beliau juga adalah agen kepada kerosakkan muda-mudi yang ada di seluruh dunia melalui penyampaian lagunya dan juga penyumbang kepada kekuatan dana Israel melalui Amerika yang menjadi tempat beliau menempah nama," katanya.

Memanggil Rihanna ke Malaysia umpama menghina adab ketimuran, merendahkan artis tempatan, sengaja merugikan ekonomi negara dan menyokong dasar perang Israel yang disokong Amerika, dakwanya.

Sewajarnya dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan rakyat Palestin ditindas kini, Malaysia perlu meneruskan kempen boikot barangan Amerika termasuklah artis-artis mereka serta apa sahaja yang dikeluarkan dari negara itu terutama perkara-perkara yang negatif, katanya. _



20090103

200 sertai perhimpuan bantah kekejaman Israel

NAIB Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (kanan) menyerahkan replika cek bernilai RM100,000 kepada Duta Palestin ke Malaysia Abdelaziz Aboughosh (kiri) di Kedutaan Palestin hari ini. Terdahulu anggota Pemuda dan beberapa badan bukan kerajaan menyerahkan memorandum sebagai menyokong Palestin yang menjadi mangsa keganasan Israel. -fotoBERNAMA
AKTIVIS dan anggota badan bukan kerajaan Islam membawa sepanduk sebagai membantah serangan Israel ke atas Palestin, selepas solat Jumaat di Masjid Negara, Kuala Lumpur hari ini. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 aktivis yang terdiri daripada ahli parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan Kedutaan Palestin bagi membantah kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.

Perhimpunan yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin turut menyerahkan memorandum sokongan kepada Duta Palestin ke Malaysia, Abdel Aziz Abu Ghoush.

Antara kandungan memorandum tersebut ialah dengan menyatakan tanda sokongan padu barisan pemuda Malaysia bagi menuntut kebebasan dan keamanan di Genting Gaza.

"Kita ingin beritahu bahawa rakyat Palestin tidak keseorangan dalam menuntut keamanan sebaliknya kita sebagai rakyat Malaysia sentiasa bersama-sama mahu tentera Israel menghentikan kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin yang tidak berdosa," katanya selepas penyerahan memorandum tersebut.

Bagaimanapun pada awal perhimpunan berkenaan berlaku sedikit kekecohan apabila sebilangan rakyat Palestin yang turut menyertainya berjalan keluar dari pekarangan kedutaan Palestin tersebut sebagai tanda protes kepada Dutanya, Abdel Aziz.

Protes itu ekoran larangan oleh Abdel Aziz supaya mereka tidak membawa bersama poster gambar pemimpin-pemimpin Palestin tertentu dalam perhimpunan tersebut.

"Turunkan gambar-gambar itu, kita berhimpun di sini adalah sebagai tanda sokongan terhadap seluruh rakyat Palestin dan bukannya menyokong individu-individu tertentu.

"Lupakan fahaman politik dan kita bersatu menentang kezaliman," katanya.

Namun setelah menerima nasihat daripada penganjur, kumpulan rakyat Palestin berkenaan kembali menyertai perhimpunan itu.

Dalam pada itu perhimpunan yang dianjurkan oleh 'Barisan Bertindak Menentang Kezaliman Rejim Israel' yang diterajui Pemuda BN dan Pemuda Umno turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 hasil kutipan daripada tabung khas yang diwujudkan bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.

Khairy turut berharap lebih banyak sumbangan dapat diperolehi melalui tabung berkenaan.

"Saya juga ingin menyarankan kepada kerajaan supaya memberi pengecualian cukai kepada syarikat-syarikat korporat apabila mereka membuat sumbangan bagi membantu meringankan beban yang dihadapi rakyat Palestin di Genting Gaza," katanya.

20081230

500 berhimpun bantah serangan Israel di Gaza

Kira-kira 500 orang menyertai demonstrasi di luar bangunan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur sebagai membantah serangan udara tentera Israel di Semenanjung Gaza yang mengorbankan 400 nyawa.

Perhimpunan kira-kira sejam itu – yang disertai oleh 45 NGO Islam – mengutuk Washington yang terus memberikan sokongan terbuka kepada Israel.

IsraelPalestine-crowd-01Bermula jam 11.30 pagi, mereka mula berarak dari Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak menuju ke kedutaan Amerika Syarikat. Perhimpunan itu bagaimanapun berakhir tanpa sebarang insiden yang tidak diingani.

Sejumlah 80 anggota polis ditugaskan mengawal perhimpunan tersebut.

Ekoran perhimpunan tersebut, berlaku kesesakan jalanraya sehingga 400 meter dari bangunan kedutaan berkenaan.

Anggota Unit Amal PAS juga turut membantu mengawal orang ramai supaya tidak membanjiri jalan yang sesak itu.

Penunjuk perasaan melaungkan slogan “Allahu Akhbar”, “Hancur Amerika” dan “Hidup Islam” serta membawa bendera Palestin. Terdapat juga kain rentang mengutuk Israel dan Amerika Syarikat.

Beberapa pemimpin PAS turut hadir termasuk Naib Presiden Mohamad Sabu; Bendaharinya Dr Hatta Ramli; ahli jawatankuasa pusat, Syed Azman Syed Ahmad dan ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Ghazali.

20081201

Bantah ISA: PPP nak keluar BN

KL: Parti Progresif Rakyat (PPP) akan keluar dari Barisan Nasional (BN) jika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dipinda sebelum pilihan raya umum akan datang, kata Presiden parti, Dato' M Kayveas.

"Saya harus mengikut apa yang dicadangkan oleh bahagian-bahagian Wanita dan Pemuda (PPP) kepada PPP dan mereka mahu ISA dimansuhkan.

"Sebagai parti yang bertanggungjawab, saya memberitahu mereka, 'mari kita lakukan separuh jalan' dan minta pindaan terhadap akta itu supaya ia tidak menjadi undang-undang kejam ke atas warganegara yang tidak bersalah," katanya dipetik Mstar Online ketika upacara pembukaan pemilihan Pemuda dan Wanita, di sini.

Beliau menambah, jika BN serius dalam usaha mereka untuk menjenama semula maka ISA perlu dipinda.

"BN harus membuat perubahan sebelum pilhan raya umum seterusnya. Ia boleh 'membunuh' jika kita tidak merancang untuk menghadapi pilihan raya seterusnya.

"Masalah mengenai BN adalah kejayaannya sejak 50 tahun lalu. Kejayaan adalah pengajar yang teruk. Ia mempengaruhi orang yang bijak untuk berfikir yang mereka tidak akan kalah.

"Pilihan raya Mac lalu telah menunjukkan apa yang dimahukan pengundi dalam urus tadbir yang baik dan kepelbagaian kaum.

"BN telah melakukan pelbagai post-mortem di pelbagai peringkat untuk mendapatkan maklumat berhubung apa yang tidak kena dan mengapa pengundi menolak BN.

"Penyelesaian selalunya adalah kepelbagaian kaum tetapi sehingga kini, BN masih terperangkap dalam gambaran politik perkaumannya sendiri - yang telah pun diperkatakan tetapi tidak segera dilaksanakan," katanya. / Harakahdaily, Mstar


Dato' M Kayveas selaku presiden PPP buat kenyataan

20081124

Anwar kecam tindakan polis halang ceramah bantah ISA di MPAJ

Wan Nordin Wan Yaacob, Harakah

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan polis mengganggu dan menahan beberapa aktivis dalam ceramah perdana membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) malam tadi.

Menurut Anwar, ceramah yang dianjurkan PAS itu diganggu polis sebelum ia sempat dimulakan, dengan menggunakan ratusan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis cawangan khas kerana didakwa menganjurkan himpunan tanpa permit.

"Kita buat ceramah membantah akta yang zalim diganggu polis, tetapi jika Umno buat himpunan, polis tidak pernah ganggu, inikah demokrasi?," katanya ketika mengadakan sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

Turut hadir ialah, Bendahari KeADILan, William Leong; Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.

Anwar seterusnya mempersoal kecenderungan polis yang mutakhir ini kerap menggunakan kekerasan bagi menyuraikan himpunan aman anjuran Pakatan Rakyat.

Sedangkan pelbagai himpunan yang dianjurkan Umno yang membawa isu perkauman yang dikhuatiri mengundang masalah ketenteraman awam tidak diambil peduli, katanya.

Beliau turut mengecam beberapa pertubuhan dan individu yang menyokong pelaksanaan ISA sebagai akta yang kononnya didakwa mempertahankan orang Melayu.

Walhal, akta tersebutlah yang sebenarnya banyak memenjarakan orang Melayu yang akhirnya memangsakan anak-anak dan keluarga Melayu, kata Anwar.

Dalam kejadian di Padang MPAJ malam tadi, Naib Presiden PAS Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda PAS Salahudin Ayub dilaporkan cuba berunding bagi membenarkan program ceramah diteruskan tetapi tidak mendapat persetujuan pihak polis.

Pihak polis hanya membenarkan Mohamad Sabu berucap selama lima minit sebelum meminta orang ramai bersurai dari kawasan tersebut. Beliau sempat membuat pengumuman ceramah kempen untuk himpunan 100 000 mansuhkan ISA seterusnya akan diadakan di Stadium Selayang.

Difahamkan belum pun sampai seminit Mohamad Sabu berucap, beberapa orang anggota polis yang berpakaian biasa cuba menangkap Mohamad Sabu dan beberapa pimpinan lain.

Dilaporkan suasana menjadi lebih kecoh apabila polis menyergah dan menolak orang ramai dengan menggunakan perisai dan kayu. Beberapa orang yang hadir tersungkur apabila polis menarik dan menolak dengan cara yang agak keras.

Menurut laporan kira-kira sembilan oarang ditahan yang di Balai Polis Pandan Indah. Mereka ialah Ketua Pemuda PAS Wilayah;Kamaruzaman Mohamad, Mohd Sani Hamzan, Timbalan Pengarah Unit Amal (3); Saripuddin Mohd Yatim, Mohd Amir Ali Mohd Shah, Hafiz Zulkifli, dan Azman Abd Hamid. Bagaimanapun kesemua sembilan yang ditahan telah dibebaskan jam 4.30 pagi tadi.

20080813

Pelik, mahasiswa UiTM berani keluar berdemo bantah cadangan Khalid

Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Aug 13, 08 | 1:59:25 pm MYT

Amat jarang sekali kita mendengar mahasiwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) keluar beramai-ramai untuk berdemonstrasi bagi menyatakan bantahan terhadap sesuatu pihak samada kerajaan mahupun pihak lain.

Namun peristiwa semalam (Selasa 12 Ogos) amat menarik untuk diperhalusi dimana lebih 5000 mahasiswa UiTM berdemonstrasi di hadapan Bangunan Setuausaha Kerajaan Selangor (SUK) bagi membantah cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuka 10 peratus kuota kemasukan UiTM kepada bukan bumiputera.

Sebelum ini umum mendengar laporan bahawa pernah beberapa orang mahasiswa universiti berkenaan diambil tindakan berikutan menyertai himpunan aman anjuran persatuan-persatuan mahasiswa.

Sebagai contoh, seorang mahasiswa UiTM Shah Alam, Herman Sanuddin pernah ditahan polis dalam himpunan aman di hadapan Masjid Negara pada tahun 2000 bagi membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalamdan Negeri (ISA).

Berikutan itu, Herman digantung pengajiannya hingga kini meskipun ketika digantung, pelajar terbabit belum pun dibuktikan bersalah di mahkamah atas dakwaan menyertai perhimpunan aman.

Ketika itu UiTM ditadbir oleh Naib Canselornya yang cukup popular, Ibrahim Abu Shah yang juga dikenali sebagai penyokong Umno.

Malang sekali, kali ini dengan bukti yang kukuh, dengan gambar yang cukup jelas, 5000 mahasiswa yang berhimpun di hadapan SUK semalam tidak pun diambil tindakan oleh universiti yang ditadbir Ibrahim Abu Shah.

Jauh sekali kata-kata amaran dikeluarkan UiTM kepada pelajarnya untuk menghalang dari menyertai himpunan aman tersebut.

Cukup terbuka dan cukup bebas nampaknya Ibrahim Abu Shah kali ini, membiarkan mahasiswa UiTM berdemonstrasi sedangkan sebelum ini beliau begitu anti kepada kelompok yang berdemonstrasi.

Apakah yang tersirat di sebalik keterbukaan Ibrahim Abu Shah kali ini atau sebenarnya ada pihak yang 'menyalakan api' supaya mahasiswa-mahasiswa ini berdemontrasi tanpa memikirkan siapa dibelakang tabir peristiwa bersejarah ini.

Umum mengetahui, sejarah-sejarah penglibatan mahasiswa dalam himpunan-himpunan aman banyak berkisarkan kepada gerakan yang dibawa daripada beberapa universiti terkemuka antaranya Universiti Malaya (UM); Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sekitar tahun 1998 hingga 2001, ramai pelajar dari UM, UKM dan UIAM ditahan kerana menyertai dan menganjurkan himpunan aman membantah dasar-dasar kerajaan ketika itu.

Namun, jarang sekali kita mendengar kelompok pelajar UiTM menyertai himpunan aman, dan jika ada sekalipun hanyalah menjadi peserta dan bukan penganjur.

Amat pelik sekali isu yang dibantah berdasarkan kepada cadangan yang dikemukankan oleh Khalid yang hanya semata-mata cadangan tanpa boleh mengganggu dasar sedia ada UiTM yang ditetapkan oleh kerajaan pusat.

Khalid sendiri tidak ada kuasa kerana beliau hanyalah Menteri Besar dan bukannya Menteri Pengajian Tinggi yang ada kuasa ke atas UiTM.

Atas dasar itulah, ramai tertanya mengapa kerajaan Selangor yang menjadi tumpuan mahasiswa UiTM berhimpun di hadapan SUK membantah cadangan Khalid sedangkan MB Selangor itu tiada kuasa dalam menentukan dasar universiti berkenaan.

Mulalah akhbar arus perdana melaporkan kenyataan-kenyataan yang mengecam Khalid kononnya MB Selangor itu tidak memperjuangkan hak orang Melayu dengan cadangan ini, sedangkan beberapa tahun lalu cadangan yang sama pernah dikemukankan oleh kerajaan Umno-BN sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Apakah Umno ketika itu 'prihatin' kepada orang Melayu/bumiputera dengan cadangan itu?

Mungkin ramai yang tidak menyokong cadangan Khalid, namun amat pelik sekali apabila isu ini sengaja diperbesarkan dalam media sedangkan cadangan Khalid tidak akan menjadi barah kepada kerajaan pusat untuk mengubah dasar UiTM.

Dalam hal ini boleh dianggap bahawa himpunan yang dibuat seperti 'seorang doktor yang merawat pesakitnya yang demam, namun ubat yang diberikan ialah ubat kencing manis'.

Siapa di belakang pelajar ini mungkin persoalan ini boleh dilontarkan kepada Ibrahim Abu Shah sendiri yang hingga kini tidak membuat sebarang kenyataan berhubung tindakan pelajar berhimpun.

Mungkin himpunan sebegini nilainya diharuskan oleh Ibrahim atau Umno-BN merelakan himpunan sebegini kononnya demi kepentingan menjaga kepentingan Melayu.

Satu persoalan yang perlu dijawab mahasiswa yang terbabit dengan himpunan, sejak bilakah Umno-BN menjadi benteng kepada hak dan kepentingan Melayu hingga gula-gula sedemikian termakan oleh mereka?_

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com