20100502

Apabila menteri cari artis

Apabila menteri cari artis

Esok, tepat pukul 3 petang, bertempat di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur akan berlangsung satu acara yang cukup mendebarkan jiwa dan raga Joyah.

Kenapa Joyah berdebar? Sebab inilah buat pertama kalinya seorang menteri begitu bersungguh-sungguh untuk mencari golongan artis-artis kita, ajak bertentang mata.

Jika sebelum ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri hanya mendapat maklumat daripada orang syarikat rakaman dan persatuan mengenai artis-artis, sekarang masanya untuk beliau mendengar daripada empunya diri apa yang mereka inginkan untuk masa depan industri hiburan yang lebih profesional.

Beliau mahu bersemuka secara langsung dengan artis yang selama ini mendakwa diri mereka tertindas oleh sesetengah pihak dan mendengar akan segala kekangan yang menyebabkan nasib artis bagaikan terbiar.

Joyah difahamkan, banyak yang akan diperbincangkan, termasuklah soal hal berkaitan dengan hakcipta sesebuah lagu, royalti dan sebagainya.

Khabarnya banyak artis yang sudah menyatakan kesediaan untuk hadir, antaranya termasuklah Tomok, Ziana Zain dan Nurul. Artis yang paling bersemangat, sudah si duda idaman Malaya, Hattan yang begitu prihatin terhadap masa depan kawan-kawannya yang difikirkan tidak mendapat hak sepatutnya dalam industri.

"Memang banyak hal yang aku nak sampaikan dengan Pak Menteri dalam diskusi berkenaan. Biarlah nasib artis terbela sikit," kata Hattan kepada seorang teman Joyah. Ha, sebab itulah Joyah pasti ia akan jadi panas dan mendebarkan sekali.

Selain itu juga, pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan menyampaikan taklimat mengenai hak-hak pencipta dan pelaku yang dilindungi di bawah akta yang barangkali sebelum ini kurang difahami oleh artis-artis kita sendiri.

Jadi, Joyah harap semua yang anggap dirinya sebagai artis, tak kiralah penyanyi, pemuzik, penulis lirik, penggubah lagu, pelakon dan penerbit filem, jangan malu, jangan segan ya.

Inilah masanya kalau artis hendak mempertahankan hak mereka semua. Janganlah asyik komplen sana sini, berdegar-degar cakap di TV dan akhbar, bila hendak sampaikan kepada saluran yang betul, semua macam nak tak nak saja. Ajak semua kawan-kawan yang berkaitan, bukan senang nak berdialog dengan menteri tau.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com