Oleh Lim Hong Siang
KPI (Indeks Prestasi Utama) yang diuar-uarkan sebagai tekad Perdana Menteri baru, Najib Abdul Razak untuk membawa perubahan dalam politik negara, dibanjiri dengan sindiran dan kritikan, dalam satu rancangan forum Editor's Time, ntv7 pada 8 Februari.
Jelas, pemimpin Pakatan Rakyat meraih tepukan dan sorakan gemuruh daripada penonton apabila mempersendakan "KPI" dengan isu-isu "tidak masuk akal" yang berlaku dalam realiti hidup. Sebaliknya, pemimpin PR pula diasak dengan isu "pilihan raya kerajaan tempatan", satu janji dalam PRU ke-12 yang belum ditunaikan
Forum ini dirakamkan di luar studio untuk episod pertamanya, bertempat di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor dengan tema "Pertarungan KPI - BN vs PR: Siapa lebih hebat?". Antara ahli panelnya, Timbalan Menteri Pelajaran Wee Ka Siong, ahli parlimen Taiping (DAP) Nga Kor Ming, penganalisa politik Tang Ah Chai dan Josh Hong, dengan pengacara rancangan ini, Lee Siad Huey.
Satu lagi "Malaysia boleh"?!
Wee Ka Siong (gambar kiri) yang juga Ketua Pemuda MCA, mempertahankan gagasan dan dasar yang dianjurkan oleh kerajaan Najib. Malah, beliau memberi markah setinggi 75% ketika diminta untuk menilai prestasi kerajaan Najib. Berbanding dengan pentadbiran bekas PM Abdullah Ahmad Badawi sebelumnya, Wee Ka Siong berkata Najib lebih jelas dalam hala tujunya, malah menambah bahawa perubahan yang cuba dibawa oleh Najib memerlukan lebih masa untuk melihat kesannya.
Walau bagaimanapun, hujah Wee Ka Siong ditangkis oleh Nga Kor Ming, yang memulakan ucapannya dengan jenaka.
"Negara manakah yang enjin jetnya hilang, walaupun tidak berperang? Negara manakah yang memperuntukkan wang RM 10 juta untuk membina 50 klinik 1Malaysia tetapi tiada doktor dalam setiap klinik ini? Negara manakah yang stadiumnya runtuh, walaupun tidak berlaku gempa bumi?"
Setiap soalan yang diajukan oleh Nga Kor Ming disambut dengan sorakan dan tepukan, sebelum beliau menyambung, "Malangnya, kesemua jawapannya ialah 'Malaysia boleh!'.'"
KPI sekadar "kosmetik"
Josh Hong pula dengan senangnya meluahkan suara hati rakyat, apabila mengutarakan soalan seperti "apakah kita lebih bebas bersuara?", "apakah peruntukan kepada semua aliran sekolah diagihkan secara adil mengikut nisbah?", yang disambut dengan jeritan "tidak!"
Tang Ah Chai (gambar kanan) juga berkongsi pemerhatiannya, yang mana "KPI" ini lebih mirip kepada "persolekan imej", apabila diraihkan seperti karnival secara besar-besaran. Beliau kemudian mempersoalkan, "tetapi, selepas itu, jika dilihat dari dimensi dasarnya (polisi), apakah ia dilaksanakan?"
Malah, Tang Ah Chai menyimpulkan bahawa pertamanya, KPI tidak seharusnya menjadi "persolekan imej" semata-mata; keduanya, KPI tidak seharusnya dinilai secara "sehala", tanpa mengambil kira penilaian dari rakyat umum. Bahkan, beliau sempat menggelakkan satu dewan, apabila menunjukkan gelagat cermin mata terjatuh ketika mendapat tahu "penilaian KPI terhadap polis sebenarnya mencecah 113%".
PR diasak kerana "undi ketiga"
Sebaliknya, apabila sampai giliran PR dinilai prestasinya, Wee Ka Siong mengambil kesempatan untuk menyerang Nga Kor Ming kerana PR belum memulangkan "undi ketiga" seperti yang dijanjikan dalam manifesto ketiga-tiga parti dalam PRU ke-12. Wee turut menyindir bahawa PR terlalu menumpukan perhatian untuk memperbesarkan kesalahan bekas kerajaan negeri.
Nga Kor Ming cuba mempertahankan pendirian PR, apabila mendakwa bahawa mesyuarat kerajaan PR di Perak sebelumnya telah memutuskan agar pilihan raya kerajaan tempatan dipulihkan dalam tempoh dua tahun, walaupun berdepan dengan sekatan undang-undang.
Apabila diasak dengan cadangan "mengapa tidak menjalankan pilihan raya (tidak rasmi) dalam kampung, dan kemudiannya dilantik (secara rasmi) oleh kerajaan negeri" (sebagai langkah alternatif untuk mengelakkan kerajaan negeri disabitkan kesalahan di bawah undang-undang), Nga Kor Ming mendakwa bahawa 817 kampung Melayu di Perak telah memilih ketua kampung sendiri semasa PR masih memerintah di Perak.
Josh Hong tidak melepaskan peluang, dengan mengungkit kes di mana sepupu Nga Kor Ming, iaitu Ngeh Koo Ham yang juga merupakan EXCO kanan negeri Perak sebelum ini, menghalang Kampung Baru Gunung Rapat daripada mengadakan pemilihan ketua kampungnya. Nga Kor Ming terpaksa untuk membela pendiriannya dengan mendakwa bahawa pilihan raya tempatan dalam kampung Cina perlu ditunda kerana mereka mendapati banyak kampung Cina yang tidak mempunyai status dari segi undang-undang.
Pendirian ini masih dipertikai, apabila soalan dilontarkan dengan membandingkan "(jikalau hujah Nga diterima) mengapa PR masih memobilisasi masyarakat massa untuk mengadakan demonstrasi, walaupun menyedari bahawa perhimpunan tanpa permit adalah satu kesalahan di bawah Akta Polis?"
Apa yang positif pada BN dan PR?
Bagaimanapun, apabila sampai ke penghujung rancangan, pengacara meminta agar kedua-dua pemimpin dari BN dan PR menyebut sesuatu yang "positif" tentang prestasi musuh politiknya. Wee Ka Siong menganggap PR memperlihatkan prestasi yang positif dalam usaha penjagaan alam, tetapi Nga Kor Ming enggan memuji BN, apabila mendakwa tiada yang baik dari BN yang memahat dalam ingatan beliau.
Tang Ah Chai pula mendakwa bahawa PR menyumbang dalam meredakan sentimen perkauman dan agama. Dalam isu yang paling hangat sekalipun, seperti kontroversi penggunaan kalimah "Allah", apabila pemimpin Melayu PKR dan PAS tampil dengan hujah yang rasional, sentimen itu gagal dihangatkan, maka ketegangan gagal diwujudkan dalam masyarakat yang berbilang kaum ini.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.
No comments:
Post a Comment