Showing posts with label nafi. Show all posts
Showing posts with label nafi. Show all posts

20090309

DVD seks: Ong nafi anda unsur politik...

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Kiat menafikan kemunculan semula DVD seks Timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek ada kaitan dengan desas-desus yang mengatakan ada usaha untuk mengadakan sidang khas parti itu, untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap dirinya.

Sebaliknya, beliau yang juga menteri pengangkutan menyifatkannya sebagai hanya spekulasi media semata-mata.

ong tee keat putrajaya pc sime darby diesel price pc 191208 02"Saya tidak mempunyai masa yang banyak untuk menjawab soalan-soalan berbentuk spekulais ini.

"Mereka cuba hanya mahu membangkitkan dan kemarahan orang. Kita tidak akan terganggu," kata ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa kemunculan semula DVD seks Chua dan siasatan terhadap timbalan presiden MCA itu berunsur politik, Ong berkata:

"Jangan cuba mengaitkannya dengan perkara-perkara lain. Sekiranya anda tidak bersalah, maka anda tidak bersalah.

"Apakah perlu hendak berdebat lagi, adalah anda hendak menyalahkan seluruh dunia?"

Polis menyiasat

Semalam, polis mengesahkan bahawa timbalan presiden MCA itu kini sedang disiasat berhubung dakwaan melakukan seks oral dalam DVD seks tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Hasnan Hassan berkata, polis sedang menyiasat DVD seks tersebut mengikut seksyen 377(A) Kanun Keseksaan.

Seksyen 377 (A) menyebut "mana-mana orang yang melakukan perhubungan seks dengan seseorang lain dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut seseorang lain itu dikatakan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabie."

Jika sabit kesalahan, hukuman bagi kesalahan tersebut ialah penjara sehingga 20 tahun, serta sebat.

Hasnan berkata, polis juga akan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengedar DVD seks itu, mengikut seksyen 292 Kanun Keseksaan yang merangkumi pengedaran bahan lucah.

Mereka yang disabitkan kesalahan tersebut boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan/atau didenda.

Jawatankuasa disiplin


Berhubung siasatan tersebut, Chua telah dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat polis Petaling Jaya pada jam 10.30 semalam.

Berikutan, Dr Chua menyifatkan perbuatan mengedar semula DVD seksnya sebagai satu usaha untuk 'menutup mulutnya".

Sementara itu, Ong juga ditanya sama ada jawatankuasa parti itu akan menyiasatkan dakwaan terhadap Chua.

"Jawatankuasa disiplin adalah sebuah badan bebas dan keputusan (untuk menyiasat) bergantung kepada jawatankuasa itu sendiri," tegasnya.

Ditanya sama ada, DVD seks itu akan mencemar imej parti, Ong menjawab: "Sama ada ada ia akan mencalar imej MCA, patut ditanya kepada orang yang melakukan perkara tersebut. Perkara ini berlaku pada tahun lepas, patutnya tanya kepada beliau."

Ditanya pendiriannya berhubung isu tersebut, Ong berkata: "Adakah awak berpendapat bahawa kami perlu menyokong perkara yang melanggar undang-undang? Kalau begitu sila beritahu kami..."

20090211

Nafi 'politik wang', PM buat lawak yang tak melucukan

Nafi 'politik wang', PM buat lawak yang tak melucukan
Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Jan 08, 09 | 9:01:28 pm MYT

KUALA TERENGGANU, 8 Jan (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar membidas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyangkal dakwaan berlakunya politik wang dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Iklan




"Ini satu lawak tak melucukan pada awal tahun 2009 yang semua orang tahu apa yang PM nafikan itu tidak benar, apakah Pak Lah nak nafikan tidak wujudnya politik wang di kalangan Umno?.

"Apakah Pak Lah sudah terlupa pengakuan MB Pahang, Dato' Adnan Yaakob bahawa Umno mengalami masalah politik wang yang sukar dibendung hari ini.

"Jika dalam Umno pun berlaku politik wang, apatah lagi dalam memancing undi rakyat, ini satu hal yang lawak tapi tak melucukan kerana rakyat telah tahu perihal nafi-nafi Pak Lah ini," kata Mahfuz.

Beliau berkata demikian ketika menghubungi Harakahdaily hari ini tatkala beliau terlantari di Hospital untuk menjalani satu pembedahan kecil esok.

Beliau mengulas penafian Abdullah berhubung dakwaan berlakunya politik wang dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ketika ini.

Mahfuz membayangkan betapa rakyat sebenarnya tidak terkejut dengan penafian Abdullah ini malah mengganggapnya itu satu kelaziman Abdullah sejak menerajui Umno.

Mengulas isu yang sama, Calon PAS bagi PRK Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, Umno, BN atau semua parti komponennya sememangnya dari dulu hingga sekarang menggunakan politik wang, jentera kerajaan dan media untuk memenangkan mereka.

"Jadi amatlah tak adil dengan kuasa yang ada dan dengan kewangan yang ada pada mereka selaku kerajaan yang memerintah, mereka menggunaka segala entiti ini untuk meraih undi dengan cara mengamalkan politik wang dan ugutan.

"Mereka mengumpan, kalau kami (PAS ) tak ada duit dan kami tak janjikan kewangan atau janjikan material, tetapi jika kami ada duit sekali pun kami tak akan lakukan sedemikan dengan membeli undi, kita tidak boleh beli undi, itu bukan cara," katanya.

Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali memaklumkan kepada media, beliau sedang mendapatkan bukti dakwaan yang dibuat berhubung berlakunya politik wang dalam PRk Kuala Terengganu.

Beliau juga telah ditemui SPRM bagi memberi maklumat berhubung dakwaannya itu, dan bersedia untuk bekerjasama seterusnya. _

20090106

Kerajaan Perak nafi dakwaan Tadika Kemas dikunci

IPOH, 6 Jan (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak menafikan sekeras-keras dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan bagi mengunci Tadika-Tadika Kemas di negeri ini.

"Tidak ada arahan supaya mengunci premis Tadika Kemas seperti yang didedahkan oleh Zahid Hamidi sebagaimana yang disiarkan dalam akhbar. Ia h tidak benar sama sekali."

Kenyataan tersebut terkandung dalam kenyataan akhbar Kerajaan Negeri Perak yang dibacakan Dato' Ngeh Koo Ham yang mewakili Menteri Besar Perak di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini 5 Januari lalu. Dato' Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin kini berada di Terengganu.

"Tidak ada arahan kepada mana-mana pihak untuk mengunci Tadika Kemas dan saya berharap rakyat tidak keliru dengan kenyataan fitnah itu," tegas Ngeh.

Beliau turut kesal dengan cerita yang direkacipta oleh menteri berkenaan dengan tujuan untuk mengelirukan rakyat jelata semata-mata untuk BN memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Sambil merujuk peranan yang sebenarnya yang patut dimainkan oleh akhbar Melayu, beliau berharap akhbar lebih bertanggungjawab dalam menyiarkan sesuatu berita dan merujuk sumber yang sebenar.

"Dalam hal ini, rujuklah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri untuk mendapat berita yang salih dan tepat," katanya.

Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah anggota Exco Agama, Mohd Zainuddin Yusuf, timbalannya, Drs. Khalil Idham Lim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr Abdul Rahman Hashim, Adun Selingsing, Husin Din dan Pengarah Urusetia Kerajaan Negeeri, Ustaz Zulkifli Ibrahim.

Dalam kenyataannya , anngota Exco Agama menjelaskan memanglah tadika berkenaan dikunci pada hari cuti dan dibuka semula pada hari Isnin.

Khalil Idham pula mempersoalkan kenapa setelah sembilan bulan Pakatan Rakyat memerintah Perak tiba-tiba isu ini diperkatakan.

Beliau menyatakan telah melakukan lawatan di Tadika Kemas Parit Buntar dan mendapati ia dibuka seperti biasa.

Sementara itu Ustaz Zulkifli Ibrahim melahirkan kekesalan kerana kenyataan fitnah dan bohong itu datang dari seorang yang kononnya bakal pemimpin negara dan baru sahaja balik dari mengerjakan haji. _

20081202

Rafidah nafi khabar angin akan tarik diri

Tan Sri Rafidah Aziz hari ini menafikan khabar angin yang mendakwa beliau akan menarik diri daripada mempertahankan jawatan ketua Wanita Umno Mac ini.

rafidah aziz"Mengarut...," katanya ketika ditanya mengenai perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat Wanita Barisan Nasional di ibunegara hari ini.

Khidmat SMS oleh sebuah akhbar arus perdana hari ini, menyebut terdapat khabar angin bahawa Rafidah akan menarik diri kerana mengalami sakit lutut.

Rafidah pernah menjalani pembedahan pada lututnya pada tahun 2004.

"Otak yang tidak berjalan, akan berfikir macam-macam..," tambahnya.

Rafidah akan dicabar oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam pemilihan jawatan ketua Wanita Umno Mac depan.

Shahrizat memutuskan untuk bertanding jawatan tersebut selepas menolak pelan peralihan kuasa pada Jun 2009 yang dicadangkan oleh Rafidah.

Selepas selesai mesyuarat bahagian, Rafidah mendapat 117 pencalonan untuk mempertahankan jawatannya itu.

Manakala Shahrizat pula mendapat 73 pencalonan untuk bertanding jawatan ketua Wanita.

20081127

Adun PAS Nafi Wujud Desakan Supaya Nik Aziz Berundur

KOTA BAHARU, 26 Nov (Bernama) -- Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan, Zulkifli Mamat hari ini menafikan wujudnya desakan daripada kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas supaya Menteri Besar Datuk Nik Abdul Nik Mat berundur dari jawatannya.

Malahan beliau, yang juga ADUN Pulai Chondong, berkata pihaknya mahukan Mursyidul Am Pas itu agar dipanjangkan umur supaya boleh mentadbir kerajaan negeri lebih lama.

"Sepatutnya Tok Guru (Nik Abdul Aziz) memerintah lebih lama lagi. Tiada pakatan untuk gesa tok guru berundur sama ada secara sulit atau tidak," katanya kepada pemberita selepas taklimat Homestay anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang "tidak sabar" untuk melepaskan jawatan itu jika Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan daripada Pas memintanya berbuat demikian semalam.

Sebelum ini, sebuah akhbar mingguan melaporkan bahawa beberapa wakil rakyat daripada parti itu mahu beliau meletak jawatan "pada masa gemilang beliau" dan memberi laluan kepada pemimpin muda parti itu bagi menerajui kerajaan Kelantan.

Malahan, menurut laporan Mingguan Watan itu, golongan berkenaan mahu Nik Abdul Aziz yang dianggap sudah berumur dan mengalami masalah kesihatan, menyediakan pelan peralihan kuasa segera kerana kerap berlaku mesyuarat penting membabitkan keputusan segera kerajaan negeri terpaksa ditangguh kerana beliau berada di hospital.

Sementara itu, ADUN Pas Bukit Tuku, Abdul Fatah Haron meminta pihak yang membuat dakwaan itu agar tampil ke hadapan agar bersuara mengenai gesaan itu.

"Tidak ada sebab kami mahukan tok guru berhenti. Tok guru memang dikenali sebagai bapa perpaduan. Kami tidak mahu dia berhenti," katanya.

ADUN Tawang, Hassan Mohamood berkata isu gesaan itu tidak pernah dibangkitkan di kalangan ADUN Pas kerana mereka akan menyokong Nik Abdul Aziz sehingga akhir hayatnya.

"Kita sokong Tok Guru sampai mati. Semua terus sokong," katanya sambil menyifatkan gesaan itu datang daripada pihak luar dan bukan di kalangan ADUN Pas.

-- BERNAMA

20080921

Hishammuddin nafi minta segera pelan

Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my

Laporan akhbar hanya kelirukan orang ramai

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan laporan sebuah akhbar tempatan semalam mendakwa ada anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno mahukan peralihan kuasa pucuk pimpinan tertinggi negara dilakukan lebih awal daripada tarikh dipersetujui sebelum ini sebagai tidak tepat.

Katanya, laporan itu mengelirukan orang ramai kerana semua anggota MT berpegang kepada amanah tidak akan membocorkan rahsia dan beliau tidak fikir laporan akhbar itu memberi gambaran sebenar apa yang berlaku dalam mesyuarat tertutup itu.

"Biar apa pun yang dibicarakan dalam mesyuarat MT Umno, keputusan muktamad yang dibuat sebulat suara harus menjadi pegangan. Jika tidak asas parti kita akan terjejas.

"Sebagai pucuk pimpinan tertinggi, MT harus mendengar suara akar umbi sebelum membuat keputusan kerana pendirian MT tidak ada maknanya jika tiada sokongan daripada penyokong parti ada peringkat akar umbi.

"Pemuda Umno, tetap menyokong pelan peralihan kuasa yang dipersetujui sebelum ini, iaitu Datuk Seri Najib Razak akan mengambil alih jawatan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2010," katanya pada sidang media selepas Majlis Sinar Ramadan anjuran Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), di sini semalam.

Semalam, sebuah akhbar bahasa Inggeris melaporkan bahawa ada di kalangan anggota MT Umno menasihatkan Perdana Menteri berundur sebelum mesyuarat bahagian bermula 9 Oktober ini, iaitu lebih awal daripada rancangan peralihan kuasa pada 2010.

Akhbar itu memetik kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, yang juga anggota MT, bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendengar nasihat terbabit dengan teliti sebelum meminta diberi masa untuk berbincang dengan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Laporan sama mendedahkan bahawa dalam perjumpaan tertutup itu lima anggota MT bercakap mengenai isu itu, termasuk empat yang menasihatkan keperluan peralihan kuasa lebih awal, sebaik-baiknya sebelum Disember ini apabila Perhimpunan Agung Umno diadakan.

Akhbar terbabit juga mengaitkan Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, sebagai empat anggota MT terbabit.

Kata Hishammuddin, walaupun landskap politik negara dan keadaan ekonomi sejagat agak terjejas, Umno perlu teruskan perjuangan bagi membela nasib bangsa, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana ada pihak cuba memecah belahkan orang Melayu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhammad Taib semalam menafikan wujud tekanan daripada ahli MT parti supaya Perdana Menteri melepaskan jawatan presiden lebih awal.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata: "Tidak ada apa-apa tekanan kepada Pak Lah, tidak ada perkara seperti itu dalam mesyuarat MT."

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi, Tan Sri Annuar Musa menafikan ada desakan terhadap Abdullah supaya berundur lebih awal daripada pelan peralihan kuasa yang ditetapkan sebelum ini.

"Isu peralihan kuasa ini dibangkitkan beberapa anggota MT hanya pada penghabisan mesyuarat, termasuk Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menjelaskan kenyataannya sebelum ini berhubung tempoh untuk peralihan kuasa itu dan meminta maaf sekiranya apa yang dibangkitkan menyinggung perasaan sesiapa.

20080904

Penasihat DAP nafi dicalon jawatan TPM

IPOH: Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang, menafikan laporan bahawa beliau akan dicalonkan sebagai timbalan perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berhasil mengambil alih kerajaan pusat Malaysia menjelang 16 September.

Menurut beliau, setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng, yang juga ketua menteri Pulau Pinang, tidak menyatakan jawatan khusus yang dicadangkan untuk beliau.

'Apa yang disebut ialah beliau hanya menyatakan akan mencadangkan bagi saya 'satu peranan penting' dalam kerajaan baru,' kata Kit Siang kelmarin.

Beliau berkata demikian semasa mengulas laporan yang menyatakan bahawa Guan Eng berkata ada kemungkinan jawatan timbalan perdana menteri Malaysia datang daripada kaum Cina sekiranya penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi perdana menteri.

Kit Siang berkata belum ada perbincangan dengan parti komponen lain Pakatan Rakyat mengenai jawatan kabinet itu.

Anggota lain Pakatan Rakyat selain DAP dan PKR ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS). / The Star

20080813

PKR nafi arah MP Kulim-Bandar Baharu 'hilangkan diri'

12-08-2008 10:06:04 PM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

(Mutakhir) PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak khabar angin Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (gambar), yang menyertai demonstrasi membantah forum Majlis Penguam Sabtu lalu, sengaja telah diarah menghilangkan diri bagi mengelak beliau menjadi satu isu ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Dakwaan terbaru ini mula tersebar selepas Zulkifli ‘hilang’ sejak tiga hari lalu.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika dihubungi mStar Online menafikan dakwaan sedemikian.

“Saya sendiri tidak tahu di mana dia (Zulkifli) berada. Jadi bagaimana pula ada pihak boleh mendakwa kami (PKR) mengarahkan dia untuk bersembunyi,” kata beliau.

Dr. Wan Azizah yang kini sibuk menumpukan perhatian ke atas pilihan raya kecil Permatang Pauh, yang ditandingi suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau turut ada menerima maklumat mengenai ‘kehilangan’ Zulkifli, namun tidak pasti kedudukan sebenar mengenainya.

Zulkifli merupakan anggota Majlis Tertinggi PKR dan difahamkan tidak pulang ke rumahnya sejak Sabtu lalu.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, tiada sebab untuk pimpinan PKR mengarahkan Zulkifli bersembunyi atau menghilangkan diri.

“Mengapa pula kita nak arah beliau berbuat demikian? Saya sendiri risau dengan ‘kehilangan’ dia,” katanya.

Katanya, berdasarkan pengetahuan beliau, PKR tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian yang dianggap karut dan tiada faedah.

Shamsul juga hairan mengapa khabar angin seperti ini disebarkan sedangkan semua jentera parti PKR sedang sibuk membuat persiapan menghadapi pilihan raya kecil nanti.

Bagaimanapun Shamsul berkata sehingga ke hari ini beliau masih berusaha menjejaki Zulkifli melalui teman-teman rapat untuk mendapatkan perkembangan lanjut.

Usaha mStar Online menghubungi Zulkifli sehingga petang ini juga tida berjaya kerana telefon bimbitnya tidak diaktifkan.

Semalam dua pemimpin PKR mengeluarkan kenyataan bagi mengelak mana-mana usaha cuba mengaitkan tindakan Zulkifli ketika demonstarsi membantah Majlis Peguam sebagai pendirian PKR.

Ketua Penerangan PKR, Tian Chua memberitahu New Straits Times bahawa Zulkifli perlu menjelaskan kepada pemimpin tertinggi parti mengenai pendiriannya dan tindakan akan diambil selepas penjelasan diberikan.

Kata beliau, pihaknya tidak kisah jika beliau mengambil bahagian atas kapasiti peribadi untuk memberi pandangannya tetapi sewajarnya dilakukan dalam cara yang baik.

Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali juga mengkritik tindakan seorang penguam dan yang juga Ahli Parlimen yang mendakwa bertindak bagi pihak umat Islam tetapi menggunakan kata-kata tidak bertamadun dan kasar ke arah penganjur forum berkenaan.

Difahamkan beliau merujuk kepada Zulkifli.

Kelmarin polis menafikan berita yang tersiar dalam beberapa laman blog hari ini bahawa Zulkifli ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menyifatkan berita itu sebagai khabar angin semata-mata.

Pada 29 September 1998, Zulkifli, 46, pernah ditahan di bawah ISA selama 60 hari kerana terlibat dalam gerakan reformasi bersama Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kali terakhir beliau muncul di khalayak ramai ialah pagi semalam di ibu negara ketika menyertai perhimpunan membantah forum anjuran Majlis Peguam.

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com