Showing posts with label satu. Show all posts
Showing posts with label satu. Show all posts

20090902

Malaysia Satu juara lagu 1Malaysia

PUTRAJAYA: Lagu "Malaysia Satu" ciptaan Audi Mok, lirik Nur Fatimah, nyanyian Faizal Tahir diumum juara Pertandingan Lagu 1Malaysia.

20090108

SATU CADANGAN

SATU PANDANGAN DAN SATU CADANGAN

Ketika Terengganu dan Kelatan di bawah kerajaan Pas, saya pernah bertanya kepada seorang kawan yang rapat dengan Pas tentang kemungkinan di wujudkan satu program pemberian tanah kepada orang-orang India yang tidak memiliki tanah. Pertanyaan ini muncul pada tahun 2000 yang lalu.

Kini, pada tahun 2009, 5 buah negeri telah di miliki oleh pentabiran kerajaan Pakatan Rakyat – sebuah pakatan yang menjanjikan kesejahteraan warga bukan mengikut bangsa atau agama tetapi berpandukan keperluan.

Justeru pertanyaan saya sembilan tahun dahulu ingin saya jadikan satu cadangan. Saya mencadangkan agar di wujudkan satu skim pemberian tanah berkelompok kepada bangsa India yang tidak memiliki tanah.

Saya bukan ahli akademik atau pun tukang kaji selidik – maka saya tidak tahu peratus dan jumlah keluarga India yang jatuh ke dalam status miskin tegar, daif dan hidup dalam kesesakan.Tetapi secara impirikal kita tidak dapat menafikan bahawa gulungan ini wujud.

Dari apa yang saya baca mereka ini adalah buruh-buruh ladang getah yang telah di tinggalkan bagitu sahaja apabila ladang-ladang ini beralih tuan, dari getah menjadi ladang kelapa sawit atau ladang-landang ini bertukar status dari pertanian ke perumahan.

Rasa saya adalah tepat jika bangsa India yang memiliki pengalaman dalam hal perladangan getah ini di berikan tanah agar mereka dapat menggunakan pengalaman lama mereka untuk perladangan sawit.

Tanah untuk yang mereka yang memerlukan tanah wajib dijadi dasar Pakatan Rakyat. Tanah untuk penggarap adalah dasar pertanian yang tepat. Jika kita menolak Tuan Tanah British yang duduk di London maka kita juga wajib menolak Tuan Tanah yang duduk di Country Heights. Siapa menggarap maka dialah yang seharusnya menjadi pemilik tanah.

Generasi muda hari ini mungkin kurang sedar bahawa masyarakat India yang kelihatan terbiar hari ini telah memainkan peranan pembangunan ekonomi yang bagitu penting dalam negara ini. Laluilah jalan-jalan dari kota ke kampung-kampung pendalaman. Dari bandar ke pekan-pekan kecial. Semua jalan-jalan ini adalah hasil dari tenaga buruh bangsa India.

Mereka juga bertanggung jawab membanting tulang untuk membariskan landasan keretapi dari Singapura hingga ke Padang Besar – dari Gemas hingga ke Wakaf Baru. Mereka juga memburuh membanting tulang penyumbang 60% untuk ekonomi British ketika kerajaan kolonial British menjajah Tanah Melayu.

Masyarakat imigran dari India yang di bawa oleh Britsh ke Tanah Melayu ini memiliki struktur sistem budaya berkasta-kasta. Justeru, secara licik dan sedar sistem kasta ini telah di ekploit ke maksima oleh penjajah British. Kasta yang paling terendah dijadikan kuli di ladang-ladang milik British. Kasta yang lebih tinggi dijadikan mandor atau pegawai rendah. Untuk melalai dan mententeramkan kehidupan kuli-kuli ini kedai-kedai todi telah disediakan oleh Tuan Ladang.

Seperti mana yang berlaku terhadap masyarakat Melayu, bangsa India juga telah di jual oleh para pemimpin mereka kepada kepetingan ekonomi British. Kalau bangsa Melayu telah di jual kepada British oleh kelas feudal Melayu, buruh-buruh India pula telah dijual bulat-bulat oleh pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja mereka.

Sejarah penjualan kuli dan buruh India di Tanah Melayu ini berterusan dari zaman British hingga ke hari ini. Pemimpin-pemimpin bangsa India yang kita kenali atau kita baca nama-nama mereka sama ada dalam parti Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat kebanyakan adalah dari kasta yang lebih tinggi dari kasta yang menjadi kuli dan buruh. Atau pun mereka, walau pun Tamil, tetapi bukan datang dari tanah besar India tetapi dari pulau Ceylon.

Malah banyak diantara mereka ini bukan sahaja tidak tahu berbahasa Tamil malah dari segi budaya mereka ini adalah saki baki dari kumpulan Anglo-Indian – yang berbontot hitam tetapi pengampu Mat Saleh. Bila Mat Saleh balik kampong mereak menjadi pengambu gerombolan United Malays National Organisation.

Masyarakat Melayu hari ini wajib menyedari jika kita membuat perbandingan diantara Melayu/India dan Melayu/Cina – maka kita akan menemui hubungan yang amat intim dan rapat diantara budaya Melayu dengan budaya bangsa India. Dalam sejarah pembudayaan negara bangsa, budaya Melayu di seluruh kepulauan Melayu ini amat rapat pertalian budayanya dengan budaya tanah besar India dari budaya tanah besar China.

Struktur feudal budaya Melayu yang kita gunapakai hari ini adalah serpihan dari budaya feudal India. Secara bijak pembentukan budaya feudal Melayu telah menapis keluar struktur kasta kolot dari tanah besar India. Secara positif bangsa Melayu telah menerima bangsa India tanpa melihat kasta dan keturunan mereka. Bangsa Melayu tidak mengenali Brahmin, Chettiar, Pariah atau Mandor. Bangsa Melayu tidak memiliki nilai untuk memisah-memisahkan bangsa India mengikut kasta-kasta mereka. Dalam mata hati bangsa Melayu semua bangsa India itu sama. Ini amat positif.

Dari segi pembudayaan bahasa – Bahasa Melayu tanpa menapis telah menerima pakai bukan sahaja perkataan-perkataan dari Sanskrit tetapi menghayati konsep-kosep yang dibawa oleh perkataan-perkataan ini. Mungkin ramai yang kurang sedar bahawa konsep dosa dan pahala itu memiliki akar umbi dari bahasa India Sanskrit.

Apa yang saya tulis diatas adalah sebagai hujah untuk menyokong cadangan saya agar bangsa India yang menjadi penduduk miskin kota ini di sediakan satu skim pemberian tanah berkelompok. Adalah adil untuk kerajaan Pakatan Rakyat melahirkan satu dasar skim tanah berkelompok sama seperti bangsa Melayu yang tidak bertanah yang telah mendapat skim tanah Felda.

Cadangan saya ini adalah sebagai jawapan positif kepada tuntutan Hindraf. Tuntutan Hindraf ini jika kita baca kelihatan tidak masuk akal dan kebudak-budakan. Tuntutan Hindraf ini mengingatkan saya ke zaman kemahasiswaan yang naif tetapi penuh dengan idealisma.

Masanya telah sampai untuk kita semua tidak lagi menyalahkan penjajah British. Itu adalah sejarah. Kita berkeupayaan untuk menyusun dan mendirikan sebuah masyarakat negara bangsa yang adil. Lesong di tangan dan lada dalam mangkuk maka kitalah yang wajib menumbuknya untuk menjadikan sambal. Menyalahkan British memang senang kerana mereka tidak wujud lagi dalam percaturan siasah harian kita.

Kita seharusnya menghadapi masaalah penduduk India yang miskin tegar ini dengan fikrah terbuka. Kemiskanan membawa pelbagai bentuk permasalahan. Masalah mereka akan menjadi masaalah kita semua. Kesusahan mereka adalah kesusahan kita semua. Jika mereka senang kita juga akaan menikmati kesenangn itu.

Kerajaan Pakatan Rakyat yang berpaksikan Ketuanan Rakyat jika ingin dilihat adil dan melintasi politik perkauman wajib melakukan langkah-langkah yang bukan retorik tetapi dapat di pegang, di cium dan di makan. Jesturu satu skim tanah untuk bangsa India yang miskin tegar adalah satu cadangan dari saya.(
TT)

20081209

Harapan Kepada Sekolah Satu Aliran

A Kadir Jasin

SUASANA
paling unggul bagi mewujudkan generasi baru yang berjiwa Malaysia adalah dengan setiap kanak-kanak, tanpa mengira agama, bangsa, status sosial dan lokasi, belajar dalam satu darjah yang sama, menggunakan bahasa pengantar yang sama dan mengikuti kurikulum yang sama.

Di penghujung sistem itu kita melahirkan lulusan, sama ada di peringkat sekolah atau universiti, yang berjiwa Malaysia, yang mahir berbahasa Melayu dan Inggeris serta mampu menguasai bahasa ketiga daripada salah satu bahasa ibunda.

Ini bukan impian atau mimpi. Keunggulan ini sudah pun difikirkan dan dijelmakan dalam bentuk laporan serta perakuan sejak sebelum merdeka lagi.

Tetapi malang seribu malang, akibat sentimen perkauman, cauvinisme, kepentingan politik jangka pendek dan penafian sejarah, keunggulan ini tenggelam. Yang lahir adalah polarisasi dan pertelingkahan yang berpanjangan.

Maka tidak hairanlah Ahli Parlimen Jerlun merangkap ahli majlis kerja Pemuda Umno, Mukhriz Mahathir, dikutuk dan dituduh menghasut oleh pelbagai pihak apabila beliau menyarankan penyatuan sistem persekolahan menjadi satu sistem tunggal.

[Memandangkan keunikan tajuk ini, saya memohon kerjasama semua pembahas agar berhujah dengan berhemah, rasional dan tanpa emosi perkauman yang keterlaluan.Ulasan menggunakan “anonymous” tidak akan disiarkan.]

Mukhriz secara ringkasnya mencadangkan sistem pelbagai sekolah dihapuskan dan disatukan menjadi sistem tunggal dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan bahasa ibunda orang Cina serta India diperkukuh dan diperluaskan pengajarannya.

Hatta pembesar-pembesar Umno sendiri seperti Mohd Najib Abdul Razak dan Hishammuddin Hussein, mengherdik beliau serta menolak cadangan itu tanpa sebarang artikulasi bernas.

Ini tidak langsung menghairankan saya. Mohd Najib terkenal dengan politik main selamat manakala sepupunya Hishammudin pula tidak mahu dituduh memihak dalam pertandingan Ketua Pemuda dengan menyokong cadangan Mukhriz.

Mukhriz, Khairi Jamaluddin (Naib Ketua Pemuda) dan Dr Mohd Khir Toyo (Ketua Pembangkang DUN Selangor) adalah calon Ketua Pemuda.

Benar kata pepatah, hanya mutu mengenal manikam. Manakala pembesar politik pelbagai kaum yang cauvinis atau pengecut mengecam saranan Mukhriz itu, cendekiawan dan sejarawan menerimanya sebagai satu kebetulan.

Prof Emiratus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dipetik oleh Utusan Malaysia pada 2 Disember sebagai berkata bahawa cadangan Mukhriz itu sangat baik dan menyamai cadangan dalam Penyata Razak 1956 dan Jawatankuasa Barnes (1950).

Rektor Kolej Yayasan Melaka, Prof Datuk Dr Ramlah Adam pula berpendapat cadangan itu bukan sesuatu yang baru dan pelaksanaannya dapat mengeratkan perpaduan kaum.

“Cadangan itu sebenarnya diilhamkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran dan diterjemahkan dalam Penyata Razak 1956,” katanya.

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad berkata, cadangan Mukhriz itu hanya dapat direalisasikan sekiranya terdapat keazaman politik di kalangan ahli politik negara ini.

Dalam banyak hal, sistem sekolah kebangsaan ada hasil laporan Jawatankuasa Barnes pada tahun 1950. Laporan itu memperakukan agar semua sekolah yang ada di Malaya pada waktu itu diubah menjadi sekolah kebangsaan, dengan murid daripada pelbagai kaum diajar melalui perantaraan bahasa Melayu dan Inggeris.

Prof Dr Abdullah Hassan (Fakulti Bahasa-Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris) dalam rencana bertajuk “One Hundred Years of of Language Planning in Malaysia – Looking Ahead to the Future ” antara lain, menulis:

As such, the Barnes' Report (1950) made a radical recommendation that all existing schools should be transformed into national schools in which children of the various ethnic groups would be taught through the medium of Malay and English.”

Ramai pengkaji sejarah berpendapat bahawa cadangan Laporan Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960) yang menjadi batu asas dasar pendidikan moden Malaysia adalah jauh lebih lemah daripada cadangan Jawatankuasa Barnes sepanjang mengenai integrasi dan status bahasa Melayu.

Mungkin masanya sudah tiba bagi pendidik dan cendekiawan sekali lagi mengambil alih agenda pendidikan dan bahasa ini seperti yang dilakukan oleh pejuang bahasa pada tahun 1960-an.

Tidak guna kita mengekalkan sistem yang ada sekarang semata-mata kerana cauvinisme politik sedangkan sistem pendidikan kita hambar dengan pelajar pelbagai kaum yang tebal perkauman serta lemah dalam semua bahasa yang kononnya diperjuangkan.

Saya yakin sistem satu aliran ini boleh dilaksanakan dengan lebih berjaya daripada sistem yang ada sekarang jika kita memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Mempertingkatkan mutu pengajaran bahasa Melayu kerana walaupun bahasa Melayu semakin luas digunakan, mutunya semakin buruk;

2. Untuk menjadi bahasa pengantara tunggal, penguasaan bahasa itu di kalangan guru dan pensyarah wajib dipertingkatkan;

3. Semua guru dan pensyarah wajib mahir bahasa Melayu dan Inggeris. Latihan guru dan penganugerahan diploma pendidikan wajib atas dasar dwi-bahasa;

4. Semua guru wajib boleh mengajar dalam dua bahasa – Melayu dan Inggeris;

5. Mempertingkatkan mutu pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil supaya boleh menjadi bahasa ibunda yang mantap bagi pelajar Cina dan India, serta bahasa pilihan bagi murid Bumiputera;

6. Membuka semua institusi pengajian kepada semua kaum, sama ada secara penuh atau melalui kuota; dan

7. Memperbanyakkan program perpaduan serta disiplin seperti Khidmat Negara bagi membolehkan pelajar dan remaja pelbagai kaum bergaul dengan lebih berkesan.

Kita tidak boleh lagi menyerahkan isu sepenting pendidikan semata-mata kepada pembesar politik yang kita sendiri akui semakin hari semakin lemah daya pemikiran, artikulasi dan komitmen mereka kepada perpaduan nasional.

Cauvinisme dan pertimbangan jangka pendek politik tidak boleh menjamin kelangsungan Malaysia sebagai negara pelbagai kaum yang bersatu padu.

The Scribe A Kadir Jasin

20080813

Fanatik pada pemimpin seperti bidak dalam satu permainan catur.

SAYA merujuk kepada pendapat, "Serabut tengok dunia politik sekarang'' (MStar, 28 Julai 2008). Sebagai pemerhati di luar lingkaran politik, saya turut berpendapat sama seperti penulis, Thinker - Malaysia bahawa kita hanya dapat `menggeleng kepala' melihat semua sandiwara ahli-ahli politik.

Cakap-cakap di warung dan kedai sudah kedengaran: "Saya tidak tahu nak percaya siapa (ahli politik) lagi''. Ada kebenarannya. Ini kerana, ahli-ahli politik berjaya mempengaruhi rakyat termasuk penyokong mereka dengan manifesto parti masing-masing.

Mereka yang fanatik terhadap sesetengah pemimpin itu adalah umpama bidak dalam satu permainan catur.

Tidak boleh disangkal mereka dikorbankan terlebih dahulu agar nyawa hulubalang dan pemimpin atasan dipertahankan? Mereka menjadi alat permainan politik.

Sehubungan itu, ketika dunia politik berserabut, jangan biar fikiran kita berkecamuk. Kita perlu berfikiran waras untuk memahami hala tuju serta perjuangan sebenar sesetengah ahli politik itu.

Adakah mereka kemaruk kuasa politik atau benar-benar ingin menjaga kebajikan rakyat? Tepuk dada tanya selera.

Dalam konteks ini, marilah kita mengingat kembali kisah gembala kambing dan harimau.

Gembala itu pada mulanya memperdayakan penduduk kampung dengan ancaman harimau terhadap haiwan-haiwan ternakannya. Akhirnya, penduduk kampung tidak mengendahkan gembala itu yang meminta tolong apabila harimau muncul lalu membaham kambingnya.

Seelok-eloknya sekali jalan terkena, dua kali jalan tahu. Namun, suara kebenaran akhirnya menyentakkan kita daripada lamunan.

Kita perlu akur bahawa kekuatan seseorang ahli politik adalah berdasarkan sokongan rakyat terhadapnya. Jika kita memilih ahli politik dengan bijak - tanpa digula-gulakan atau terpengaruh dengan manifesto parti - nescaya kita dapat menguraikan keserabutan dunia politik sekarang.

AU YEONG HOW

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com