Dr Novandri Hasan Basri
Di Malaysia, selain daripada kematian akibat kemalangan jalanraya, penyakit jantung semakin mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia dek proses urbanisasi yang serba sibuk, tanpa senaman dan tabiat pemakanan yang tidak sihat serta tidak teratur.
Selain daripada faktor genetik yang menyebabkan peningkatan kolesterol, kencing manis dan darah tinggi, rakyat juga terdedah dengan tahap stress akibat pekerjaan, keluarga dan masyarakat.
Yang menimbulkan masaalahnya ialah gejala-gejala yang disebabkan oleh kolesterol tinggi, kencing manis dan darah tinggi tidak begitu ketara sehinggakan seseorang itu berasakan tidak perlu berjumpa doktor. Seseorang itu akan menyangka bahawa beliau sentiasa sihat dan mampu menjalankan segala aktiviti seharian tanpa perlu mendapatkan sebarang konsultasi doktor dan rawatan kesihatan.
Akibatnya, struktur serta denyutan jantung seseorang itu mungkin telah berubah dan pembuluh darah yang menyokong sel-sel jantung itu mungkin menjadi sempit dan tersumbat.
Pembuluh darah menjadi sempit kerana pemendapan kolesterol dan pembentukan plak yang terdiri daripada kolesterol dan parut-parut tisu. Sel-sel yang meliputi kolesterol pada dinding pembuluh darah ini menjejaskan aliran darah ke jantung.
Proses pembentukan ini mengambil masa bertahun-tahun lamanya sehinggalah 'gejalanya' dialami.
Perlu diingat bahawa pembentukan kolesterol ini bermula sejak muda lagi, bukan apabila seseorang telah berusia.
Organ ini memerlukan bekalan oksigen yang mencukupi untuk berfungsi dengan baik. Jika berlaku penyumbatan, seseorang itu bakal menghadapi 2 kemungkinan - maut sebelum sempat berubat atau pun berdepan dengan pelbagai jenis ubat-ubatan serta pembedahan yang complicated untuk revive jantung itu kembali.
Tatkala itu, peribahasa seperti nasi sudah menjadi bubur amat tepat untuk menerangkan situasi kita ketika itu.


