20090429

Bekas MP Labuan diseret ke mahkamah

Bekas ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini terhadap pertuduhan menipu bank dengan menggunakan kad pengenalan orang lain untuk menjadi penjamin bagi pinjaman RM160,000.

suhaili abdul rahmanDatuk Suhaili Abdul Rahman, yang penggalnya sebagai pengerusi Perbadanan Labuan tamat pada 31 Mac, dituduh telah memperdayakan pengurus bank Ismail Jantan untuk mempercayai yang beliau ialah pemilik kad pengenalan bernombor H0552181 dalam permohonan pinjaman perumahan bagi RM110,000 dan overdraf sebanyak RM50,000 untuk membeli satu unit apartmen di Api-Api Centre di Kota Kinabalu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Malayan Banking Berhad cawangan Kota Kinabalu pada 3 April 1996, lapor Bernama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara bagi tempoh satu hingga 10 tahun dan sebatan dan boleh didenda.

Hakim Caroline Bee Majanil menetapkan 8 hingga 12 Februari tahun depan bagi perbicaraan dan membenarkan Suhaili diikatjamin RM20,000 dengan deposit RM3,000 dengan seorang penjamin.

Timbalan Pendakwaraya Kevin Morais memberitahu mahkamah yang pihak pendakwaan akan mengemukakan 13 saksi manakala peguambela Rakbir Singh berkata pihak pembelaan mempunyai empat saksi.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Suhaili, yang menjangkakan penggalnya sebagai pengerusi Perbadanan Labuan dilanjutkan pada minggu ini, berkata beliau menyerahkan perkara berhubung pelantikannya itu kepada menteri Wilayah Persekutuan.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com