Oleh Abdul Razak Raaff
PERKENAL MAKANAN: Abdullah sambil diperhatikan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah menunjukkan kuih tradisi Melayu kepada Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Forum Ekonomi Dunia, Prof Klaus Schwab (dua dari kiri) dan bekas Perdana Menteri Pakistan, Shaukat Aziz (tiga dari kiri) ketika majlis meraikan peserta Forum Ekonomi Dunia bagi Asia Timur 2008, di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya, semalam. |
PM mahu langkah drastik selesai isu harga minyak, makanan
PUTRAJAYA: Masyarakat antarabangsa perlu segera mengambil langkah drastik yang lebih berani bagi menangani krisis kenaikan harga minyak dan bahan makanan yang kini mengancam ekonomi dan kehidupan ratusan juta rakyat di seluruh dunia, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri berkata, pemimpin dunia wajar menyuarakan dengan lantang langkah bagi menangani krisis berkenaan kerana ia boleh mewujudkan ancaman lebih besar jika tiada pihak mengambil inisiatif mengkaji atau meneliti semula pelbagai dasar yang menjadi punca berlakunya masalah itu.
"Pada pandangan saya, keadaan yang sedang melanda dunia ketika ini jelas sekali menuntut kepada maklum balas yang lebih berani daripada masyarakat antarabangsa.
"Kita perlu lebih bersedia menyuarakan permasalahan ini secara jujur dengan mengkaji semula beberapa dasar menyebabkan ia berlaku.
"Ini termasuk, perkara seperti menggantikan penggunaan biofuel untuk pengeluaran bahan makanan atau negara maju memerlukan peraturan lebih baik bagi pasaran dan institusi kewangan mereka," katanya berucap pada majlis meraikan peserta Forum Ekonomi Dunia bagi Asia Timur 2008, di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, di sini, malam tadi.
Abdullah berkata, forum berkenaan adalah platform terbaik bagi membincangkan permasalahan yang sedang dihadapi masyarakat antarabangsa berkaitan kenaikan harga minyak mentah dunia dan bekalan bahan makanan.
Katanya, peserta perlu memanfaatkan forum yang sudah memiliki reputasi di mata masyarakat antarabangsa bagi mengeluarkan pelbagai cadangan dan idea inovatif untuk mencari kaedah terbaik menangani masalah itu.
"Dunia kini berdepan krisis makanan, minyak dan ekonomi secara serentak. Kita pernah berdepan masalah yang sama sebelum ini, tetapi ia tidak berlaku serentak seperti pada masa ini.
"Ia dilihat akan mewujudkan masalah lebih besar dan akhirnya boleh mendatangkan kemusnahan kepada setiap negara," katanya.
Ia, katanya, menyebabkan kehidupan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana di seluruh dunia terjejas kerana kos sara hidup yang tinggi sehingga menyebabkan berlaku bantahan secara besar-besaran di beberapa negara di dunia.
"Kebanyakan negara di rantau berkenaan sudah pun mengambil pelbagai langkah drastik bagi melindungi ekonomi dan kepentingan rakyat masing-masing, tetapi kesannya adalah terhad jika krisis terbabit terus berlaku," katanya.
No comments:
Post a Comment