20080617

Rusuhan anti-Bush


ANGGOTA polis antirusuhan menghalang penunjuk perasaan antiperang yang mengadakan demonstrasi di Dataran Parlimen di London, semalam sebagai membantah lawatan Presiden George Bush ke Britain.
- AP


LONDON 16 Jun - Penunjuk perasaan bergelut dengan polis pencegah rusuhan di tengah ibu kota ini semalam semasa Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri Britain, Gordon Brown.

Isu Iran dan Iraq menjadi agenda utama rundingan semasa makan malam di Downing Street itu, sementara kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan rundingan lebih rasmi hari ini, sebelum Bush berlepas ke Ireland Utara dan kemudian pulang ke tanah air.

Bush juga akan bersarapan dengan bekas Perdana Menteri, Tony Blair yang merupakan sekutu utama Bush semasa melancarkan perang ke atas Iraq pada 2003.

Sokongan Blair itu telah mencetuskan protes di seluruh dunia dan menyebabkan perbalahan diplomatik berlarutan.

Protes jarang berlaku semasa lawatan Bush ke Eropah sejak seminggu lalu yang telah membawa beliau ke Slovenia, Jerman, Itali, Vatican City dan Perancis.

Bagaimanapun pergelutan meletus selepas penunjuk perasaan cuba merempuh sekatan polis yang menutup Whitehall, jalan utama yang dibarisi pejabat-pejabat kerajaan di tengah London, tempat kedua-dua pemimpin itu bertemu.

Kira-kira 13 orang ditangkap dalam pergelutan itu meskipun situasi kembali tenang sebelum berakhirnya pertemuan di Downing Street malam tadi.

Bush memulakan lawatannya dengan menghadiri majlis minum petang bersama Ratu Elizabeth II di Windsor.

Sebelum ketibaan Bush di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow di sini, pegawai tinggi kedua-dua negara terpaksa menyangkal laporan akhbar yang mendakwa beliau akan memberi amaran kepada Brown supaya jangan terburu-buru mengundurkan askar Britain dari Iraq.

"Tiada persetujuan antara Presiden Bush dengan Perdana Menteri, Brown mengenai isu ini," kata Penasihat Keselamatan Negara AS, Stephen Hadley.

Menurutnya, rundingan akan tertumpu kepada usaha mengetatkan sekatan ke atas Iran berhubung keengganan negara itu membekukan program nuklearnya.

- AFP

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com