20100129

Anggota polis sebarkan gambar dinamakan dalam kes saman

29/01/2010 12:28pm

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Jazimin Abdul Jalil, bapa kanak-kanak yang diculik dan dibunuh, Nurin Jazlin, hari ini dibenarkan untuk menamakan anggota polis Amran Arifin, yang menyebarkan gambar-gambar bedah siasat Nurin, sebagai defendan dalam kes saman kecuaian terhadap polis dan kerajaan.

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi, Noordura Mohamed Din membuat keputusan itu dalam kamar selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Jazimin Abdul Jalil memohon untuk menamakan Amran, seorang lans koperal, sebagai defendan kelima selepas Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Petaling Jaya dan Kerajaan Malaysia berikutan pengakuan dalam pernyataan pembelaan mereka bahawa gambar-gambar itu diedarkan oleh Amran.

Dengan kemasukan itu, semua defendan juga menarik balik permohonan untuk membatalkan saman itu.

Jazimin, 35, seorang pekerja di syarikat keselamatan, mengambil tindakan undang-undang terhadap defendan atas dakwaan cuai berikutan pengedaran gambar-gambar bedah siasat anak perempuannya itu dalam Internet.

Beliau memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, dengan mendakwa gambar-gambar berkenaan bersifat sulit serta peribadi dan bukan untuk tatapan umum tetapi hanya untuk tujuan penyiasatan kes Nurin.

Nurin, 8, hilang pada 20 Ogos 2007 selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini.

Mayatnya ditemui dalam sebuah beg sukan 27 hari kemudian, di hadapan sebuah kedai di Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya. Laporan bedah siasat mendedahkan bahawa dia didera secara seksual. – Bernama

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com