20100128

Pindah projek UiTM: Khalid akui rakyat Selangor akan rugi

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mengakui rakyat negeri itu akan mengalami kerugian besar daripada segi pembangunan sosial berikutan keputusan kerajaan pusat memindahkan projek pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang akan dibina oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor, ke Jasin, Melaka.

Katanya, beliau juga tidak mempersoalkan keputusan kerajaan pusat untuk memindahkan projek itu kerana yang akan rugi ialah rakyat dan bukannya kerajaan negeri sebab tanah itu boleh dibangunkan untuk tujuan lain.

"Cuma saya berharap penggunaan duit pembayar cukai yang diambil kira dalam projek ini, akan dikaji sedalam-dalamnya oleh kerajaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang mengesahkan kampus baru UiTM itu dipindahkan ke Jasin, Melaka.

Mohamed Khaled dilaporkan berkata, cadangan asal pembinaan kampus itu yang sepatutnya didirikan di Serendah, Rawang dibatalkan berikutan keengganan kerajaan negeri Selangor meluluskan tapak bagi projek tersebut.

Masalah kelulusan tapak itu bermula apabila YBK enggan mengikut syarat ditetapkan oleh kerajaan negeri iaitu mesti melantik Menteri Besar dan seorang Exco sebagai ahli dalam lembaga yayasan tersebut.

Khalid percaya, kos membangunkan kampus baru UiTM itu akan menjadi lebih rendah lagi jika kerajaan persekutuan dari awal berunding terus dengan kerajaan negeri tanpa membabitkan pihak ketiga.

Di samping itu, beliau juga berkata, pihaknya tidak akan campur tangan dalam apa-apa urusan perniagaan yang membabitkan YBK dengan entiti perniagaan lain.

Sementara itu, Khalid berkata, semua wakil rakyat pakatan pembangkang akan mengadakan satu perjumpaan esok bagi membincangkan strategi dalam usaha memenangi hati dan minda rakyat. - Bernama

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com