20100410

Analisis menarik tentang BN di Hulu Selangor, Pakatan perlu ambil iktibar

Tulisan Zulkiflee Bakar kali ini bukan sahaja perlu dinilai oleh BN, Pakatan juga perlu melihat bahawa walaupun BN dilihat merosot sejak PRU 1990 namun mereka masih mempunyai kekuatan di Hulu Selangor dan hingga ke hari ini mereka masih boleh pertahankan 3 DUN di Parlimen itu. Malah dari segi kiraan Undi BN masih mempunyai lebih 23 ribu pengundi tegar dan Pakatan juga harus terima hakikat bahawa terdapat juga undi protes pada PRU 2008 yang membuka ruang kemenangan tipis pada waktu itu. Kerja keras dan kesepaduan jentera Pakatan diperlukan ketika ini.

Jika Najib kini mengumpulkan kekuatan BN, bukan MIC lagi…maka Pakatan juga harus pergia jauh dari itu. Kerana kekuatan Pakatan di Hulu selangor bukan bergantung pada jentera PKR sahaja tapi semua komponen Pakatan termasuk PAS dan DAP. Jika MIC sanggup bekerja dibawah Najib atas nama BN maka seluruh jentera Pakatan juga harus menunjukan kemampuan lebih dari itu dibawa kepimpinan Anwar yang turut diperkukuhkan dengan semangat setiakawan Ust. Hadi dan Guan Eng.

Tidak dinafikan bahawa kelebihan berpihak kepada Pakatan kerana memerintah Selangor sekarang. Tapi jangan lupa, PAS tahun lepas membuat kejutan merampas Kuala Terengganu dari BN walaupun negeri itu diperintah BN. Jadi tidak mustahil perkara yang sama berlaku kerana BN juga masih mempunyai kekuatan dimana mereka juga menguasai Kerajaan Persekutuan dan kerusi yang bakal direbut nanti adalah kerusi Parlimen bukan DUN.

BN pasti akan lakukan apa sahaja untuk menang kerana kemenangan kali ini amat penting untuk menunjukan pemulihan sokongan rakyat kepada BN. Jika BN menang, mereka akan mendabik dada bahawa rakyat kini bersama mereka. Ya! mereka akan gunakannya sebagai modal propaganda dimasa depan walaupun hanya menang dengan majoriti 1 undi.

Di pihak Pakatan pula, hal ini bukan mudah kerana dalam tempoh 2 tahun pemerintahan di selangor begitu banyak cabaran dan isu yang dilalui. Ini semua telah memberikan bermacam-macam gambaran pada rakyat. Jika Pakatan menang, peluang untuk kekal memerintah Selangor pada PRU-13 amat cerah. Tetapi kalau kalah, bermakna PRU-13 sangat menakutkan buat Pakatan.

BN jangan terlalu yakin
Oleh ZULKIFLEE BAKAR

”SAYA minta (biar) saya tentukan calon sebab kita hendak menang. Kalau kalah bukan MIC sahaja kalah, tetapi BN kalah. Kalau menang, bukan MIC menang tetapi BN menang.”

Penegasan ini dibuat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di Shah Alam pada Rabu lalu dan sekali gus menamatkan segala spekulasi berhubung parti komponen manakah yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.

Sebaik sahaja kerusi Parlimen Hulu Selangor diisytiharkan kosong berikutan penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac lalu, maka wujud perbahasan siapakah yang patut mewakili BN.

Desakan akar umbi dikatakan begitu kuat mahu UMNO kembali bertanding di situ setelah kali terakhir berbuat demikian pada 1955 dalam pilihan raya majlis perbandaran.

Apatah lagi, keputusan pilihan raya umum lalu seolah-olah menyaksikan ‘keganjilan’ apabila BN mampu menyapu bersih tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen tersebut tetapi di peringkat Parlimen, BN yang mempertaruhkan Datuk G.Palanivel tewas dengan majoriti 198 undi kepada Dr. Zainal Abidin.

Tiga kerusi DUN berkenaan ialah Hulu Bernam, Kuala Kubu Baharu dan Batang Kali.

Untuk rekod sejak pilihan raya umum 1959, kerusi Parlimen Hulu Selangor ditandingi masing-masing sebanyak enam kali oleh MCA dan MIC manakala UMNO masih belum berpeluang bertanding di situ kecuali ketika pilihan raya majlis perbandaran pada tahun 1955.

Desakan untuk memberi peluang kepada UMNO bertanding kali ini juga semakin ketara apabila statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan daripada jumlah keseluruhan 64,500 pengundi di kawasan Parlimen berkenaan seramai 34,020 adalah pengundi Melayu, 16,964 pengundi Cina dan India (12,453 pengundi).

Bagaimanapun melalui kenyataan Najib yang juga Pengerusi BN bahawa parti itu akan tetap meletakkan calon MIC, maka soal siapa paling layak bertanding di situ sudah tidak timbul lagi.

Apa yang lebih penting bagi pemimpin dan penyokong BN sekarang ialah bukannya terus membahaskan soal calon, sebaliknya seperti mana seruan Najib, ”jangan fikir soal calon, gerakkan jentera, jangan leka dan jangan malas.”

Oleh itu seruan Perdana Menteri perlu dipatuhi kerana salah satu cabaran awal kepada jentera BN terutamanya UMNO adalah untuk meyakinkan pengundi Melayu.

Mereka perlu ‘dipulihkan semangat’ dan diberi jaminan bahawa biarpun calon BN tetap daripada MIC, tetapi kali ini mereka tidak akan mengalami lagi ’senario’ yang pernah dirasai sebelum ini.

BN khususnya UMNO tidak harus memandang remeh soal memberi keyakinan kepada golongan pengundi tersebut memandangkan keputusan pilihan raya di kawasan itu sebelum ini membuktikan bahawa pengundi Melayu boleh menjadi faktor kekalahan kepada parti berkenaan.

Cabaran untuk BN akan menjadi semakin getir jika pembangkang meletakkan calon Melayu. Ia kerana berdasarkan keputusan pilihan raya umum 1990, 1999, 2004 dan 2008, ia menunjukkan angka perolehan undi yang ‘menggerunkan’ memihak kepada pembangkang.

Contohnya, pada tahun 1990 walaupun tewas melalui calon mereka Nazar Yakin, pembangkang meraih undi sebanyak 11,857 undi, ia diikuti pada tahun 1999 apabila jumlah undi pembangkang meningkat kepada 13,548 undi melalui calon, Dr. Halili Rahmat (Adil), kemudiannya 2004 melalui Ismail Kamus (Pas) dengan 13,324 undi.

Pilihan raya umum lalu boleh dianggap kemuncak perolehan undi kepada pembangkang apabila Dr. Zainal Abidin memperolehi sebanyak 23,177 undi sekali gus menamatkan penguasaan BN dalam 11 pilihan raya sebelumnya.

Secara hitungan kasar jika keputusan mulai 1990 diambil kira, pembangkang mempunyai tidak kurang 10,000 pengundi tegar yang memihak kepada mereka, jika calon Melayu dipilih bertanding. Ini jelas apabila pada tahun 1995, pembangkang meletakkan calon bukan Melayu, mereka hanya berupaya meraih 1,231 undi sahaja.

Mungkin di kalangan penyokong BN tidak senang dengan fakta ini, tetapi fakta tetap fakta. Ia kerana hak menentukan siapa yang mahu diundi bukan terletak kepada BN tetapi di tangan pengundi. BN hanya mampu berusaha meyakinkan mereka sahaja untuk menyokong parti tersebut.

Oleh itu jentera BN perlu mendengar nasihat Najib supaya turun habis-habisan dengan membawa semangat 1Malaysia sebagai penyuntik semangat.

Tidak dapat dinafikan di atas kertas, BN mempunyai peluang yang cukup cerah untuk mencapai kemenangan tetapi keyakinan sahaja tidak mencukupi. Sebaliknya usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan bagi memastikan pengundi tanpa mengira kaum akan memihak kepada BN.

Seperti mana pandangan Perdana Menteri, BN tidak boleh menang dengan hanya bergantung kepada undi orang Melayu sahaja.

Tambahan pula daripada tiga DUN yang dimenangi oleh BN, hanya dua sahaja dengan majoriti agak selesa iaitu 3,549 undi di Hulu Bernam dan 2,179 undi di Batang Kali, manakala di Kuala Kubu Baharu, undi majoriti yang diperolehi oleh BN hanya 448 undi.

Kalau dibandingkan dengan perolehan undi majoriti pada pilihan raya umum 2004, ia ‘lebih ngeri’ memandangkan pada tahun itu kesemua calon BN di ketiga-tiga DUN tersebut mendapat antara 6,000 hingga 8,000 undi.

Oleh itu gerak kerja seperti mana digariskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu parti komponen tidak lagi tertumpu kepada kaum yang mereka wakili adalah pendekatan yang tepat.

Selain memberi kelebihan kepada BN untuk membuktikan bahawa ia memperjuangkan nasib semua kaum, corak kempen seperti itu juga akan ‘menyingkirkan’ sebarang persepsi mengenai calon yang ‘dipertaruhkan’ oleh BN.

Dalam situasi pilihan raya yang dianggap sengit kali ini, satu undi sekali pun dianggap amat penting. Jadikanlah kekalahan tipis 198 undi sebagai satu pengajaran. Jangan terlalu leka dan mendabik dada bahawa senario kini sedang memihak kepada BN.

Pembangkang tiada apa-apa modal untuk terus mempertahankan kerusi berkenaan berikutan pelbagai kemelut yang melanda mereka sejak kebelakangan ini.

Justeru BN perlu merancang strategi daripada sekarang dan bukannya terus berteka-teki soal siapa calon yang akan mewakili parti itu. Soal calon biarlah Perdana Menteri menentukannya dan diumumkan oleh Muhyiddin pada Khamis depan.

Najib sudah tentulah amat memahami kepentingan kerusi Parlimen Hulu Selangor, oleh itu beliau pastinya akan membuat keputusan yang tepat.

Mungkin pelbagai pihak termasuk dalam MIC boleh memberikan pandangan, tetapi kata pemutus tetap di tangan Perdana Menteri. Jangan pula nanti ada di kalangan pemimpin MIC yang ‘merajuk’ kerana calon favourite mereka tidak terpilih atau bimbang jika seseorang itu dipilih, dia boleh memberi ancaman politik kepada mana-mana pemimpin.

Semua itu tidak harus dimasukkan dalam perhitungan bagi ‘pertempuran’ di Hulu Selangor kerana bak kata Najib yang menang atau kalah bukan MIC tetapi BN!

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com