Oleh Erapakatan
KUALA LUMPUR : Rekod 15 calon merebut kerusi DUN Bukit Selambau April 2009 — paling ramai bertanding dalam satu-satu pilihan raya kecil — kemungkinan berulang di Hulu Selangor?
Sama ada suasana itu akan dapat disaksikan pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor bulan ini masih menjadi teka-teki.
Bagaimanapun setakat semalam sembilan borang penamaan calon telah diambil, demikian disahkan oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.
Beliau tidak menolak kemungkinan lebih banyak borang akan diambil selepas ini.
Borang-borang ini diambil sama ada dari pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya atau Pejabat Pilihan Raya Selangor di Shah Alam.
“Tidak ada borang diambil dari ibu pejabat SPR,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Sambil menyifatkan jumlah itu “agak ramai”, Wan Ahmad berkata pihaknya tiada maklumat tentang parti politik pihak yang mengambil borang-borang ini mewakili.
“Biasanya kami tidak akan tanya parti politik yang mereka wakili kecuali minta berikan nama dan nombor kad pengenalan mereka.
“Ada jua yang mengambil borang bagi pihak parti dan ada kemungkinan ada pihak yang mengambil lebih daripada satu borang sebagai langkah berjaga-jaga (jika berlaku kesilapan),” katanya.
Tinggal hanya satu minggu sebelum hari penamaan calon.
Penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor akan berlangsung 17 April ini manakala hari pengundian dijadual 25 April.
Setiap borang penamaan calon berharga RM20.
“Maklumat kami menunjukkan sembilan borang dikeluarkan setakat petang ini (semalam).
“Setakat hari ini sahaja sembilan borang sudah dikeluarkan. Masa ada masa lagi (menjelang hari penamaan calon)
“Kemungkinan akan ada lagi yang akan ambil borang penamaan calon,” kata beliau.
Setakat ini dua orang telah menyatakan pendirian akan bertanding sebagai calon Bebas selain pesaing tradisi Barisan Nasional (BN) dan komponen Pakatan Rakyat (PR) akan menurunkan calon masing-masing.
Difahamkan akan ada calon daripada Umno dan Pakatan Rakyat akan turun gelanggang ekoran rasa tidak puas hati dengan pemilihan calon.
Umno dari awal mahu kerusi itu diberikan kepada parti itu.
Bagaimanapun Rabu lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan kerusi itu akan ditandingi oleh MIC bagi pihak BN.
Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau di Kedah pada 7 April 2009 menyaksikan 15 calon termasuk BN dan PR bertanding merebut kerusi itu selepas ia kosong kerana penyandangnya, seorang Exco, meletakkan jawatan. -MI
Dicatat oleh ELBI RISALAH
No comments:
Post a Comment