20100408

Loji baru selesai masalah air


KAMPUNG BERONA – Pembinaan loji baru Jeniang yang menelan kos RM100 juta lebih melibatkan pakej A dan C, dijangka dapat mengatasi masalah penduduk yang menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan air bersih dalam daerah ini

Pegawai Perhubungan Syarikat Air Darul Aman (Sada) Sdn Bhd, Rofedi Sulaiman, berkata, projek pembinaan loji itu bermula pada 2007, namun pada awal 2008 ia dihentikan buat sementara waktu disebabkan terdapat beberapa masalah.

Menurutnya, kerja pembinaan kembali diteruskan pada Ogos 2008 sehingga kini, dan dijangka pada 13 Jun depan, pakej A bakal beroperasi sepenuhnya sekiranya urusan penyaluran tenaga elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) selesai.

“Di bawah pakej A, bekalan air bersih akan dapat menampung keperluan bekalan air di beberapa buah kawasan, antaranya Kampung Kota Bukit, Jeneri, Gajah Putih, Dusun Pengapit dan beberapa buah kampung berdekatan.

“Kami percaya dengan kemampuan kadar kapasiti bekalan air yang tersimpan di loji ini sekitar 25 juta liter sehari (million litres perday), memenuhi keperluan penduduk dalam mendapatkan bekalan air bersih,” katanya kepada Sinar Harian.

Rofedi berkata, manakala bagi kolam takungan air yang baru dibina dan kini sedang dalam proses di Kampung Kota Bukit, dapat menampung kapasiti air sehingga ke 2.5 juta liter sehari.

“Jika diikutkan sebelum ini, kolam takungan air di Jeniang sudah sekian lama wujud namun, hanya mampu menampung bekalan air sehingga 10 juta liter sehari dan tidak dapat memenuhi keperluan harian penduduk.

“Justeru dengan kewujudan loji air berkenaan, jumlah kapasiti air yang tersimpan dan disalurkan ke rumah setiap pengguna akan dapat ditingkatkan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya.

Menurutnya, penyaluran air ke pakej C turut menggunakan bekalan air dari pakej A menggunakan kaedah sistem saluran paip bertekanan tinggi untuk memenuhi keperluan penduduk di kawasan tinggi seperti Kampung Kenangan dan Keda Sungai Senang.

“Namun, pakej C hanya akan mula beroperasi sepenuhnya pada Mei 2011, setelah kerja-kerja perlaksanaan bagi pakej A berjalan lancar seperti yang telah dirancang sebelum ini.

“Justeru, buat sementara waktu bagi mengatasi masalah kesukaran pengguna di kawasan terlibat, pihak syarikat menggunakan skim pengagihan melalui saluran paip bagi menampung keperluan bekalan selain dari penghantaran air menggunakan lori,” katanya.

Rofedi berkata, melalui skim pengagihan, air akan disalurkan di sekitar Kampung Kenangan pada sebelah malam, manakala pada sebelah siang untuk keperluan seluruh penduduk Kampung Betong.

“Penghantaran air menggunakan lori tetap diteruskan seperti biasa dan diharap pengguna dapat menyimpan air yang secukupnya, pihak syarikat berharap penduduk dapat bersabar sementara urusan pengagihan keperluan air pulih sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Tapak Projek, Noorzlee Md Noor, berkata, segala kerja-kerja pembinaan sudah memasuki fasa akhir bagi pakej A, dan pihaknya berharap loji baru air Jeniang dapat beroperasi sepenuhnya mengikut tarikh yang ditetapkan.

Pengagihan air melalui pakej A adalah di bawah projek pembangunan bagi memastikan penduduk mendapat kemudahan yang sepatutnya, manakala pakej C adalah projek rangsangan di bawah Perdana Menteri.

Pengarah Teknikal, Pronas Construction Sdn. Bhd, Hussin Shokri Mat Salleh, berkata, di bawah pakej C, terdapat tiga kolam takungan air baru dibina melibatkan tiga kawasan, Kampung Belimbing, Paya Terendam dan Charuk Pelanduk.

“Jumlah kapasiti air yang mampu ditampung di kedua-dua tempat iaitu Kampung Belimbing dan Charuk Pelanduk adalah lima juta liter sehari, manakala bagi Paya Terendam sekitar 2.5 juta liter sehari,” katanya.

Dalam tempoh beberapa bulan sebelum ini, hampir sebahagian besar penduduk Kampung Kota Bukit dikejutkan dengan kejadian banjir lumpur yang dipercayai berpunca dari kerja pembinaan kolam takungan air di puncak bukit.

Shokri berkata, masalah itu sudah selesai kerana kini kerja memasang longkang dan culvert dibina serta dijangka siap pada Jun ini, justeru penduduk tidak perlu bimbang.

“Sebelum ini masalah timbul kerana terdapat beberapa pemilik tanah tidak membenarkan tanah mereka digunakan bagi kerja-kerja pembinaan longkang, justeru setelah berlaku kejadian banjir kilat itu mereka mula memberi kebenaran,” katanya.

KEDA suruh roboh rumah tapi tarik balik bantuan rumah PPR

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Di zaman BN menerajui kerajaan, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) tidaklah begitu menonjol. Keda berada di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Namun apabila BN hilang kuasa di Kedah, Keda tiba-tiba menjadi sebuah ‘kerajaan bayangan’ di negeri ini. Menterinya adalah Pengerusi Perhubungan Umno Kedah manakala Pengerusi Keda adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno. Betullah, gandingan mereka berdua dalam Keda menjadikan Keda adalah ‘kerajaan kedua’ di Kedah seleps kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah.

Baru-baru ini Datuk Shafie Afdhal mengarahkan Keda menangani isu air di Kedah kerana kononnya kerajaan negeri gagal menguruskan air dengan baik. Dakwaan kononnya kerajaan negeri gagal menguruskan air adalah propaganda politik, tetapi mengarahkan Keda menangani isu air menunjukkan dia adalah seorang menteri yang tidak faham bidang tanggungjawab Pusat dan negeri.

Kata Dato’ Ismail Kamus, “bila buka mulut nak bercakap nampak macam tak tau apa-apa tapi bila bercakap ‘confirm’ bangang.” Ucapan Dato’ Ismail tidaklah ditujukan kepada Shafie, tapi maksudnya lebih kurang begitulah. Dia menteri yang jaga Keda tapi tidak tahu bahawa tugas Keda bukan uruskan bekalan air.

Sekalipun hari ini Keda nampak macam sibuk uruskan kebajikan rakyat tetapi bukan semua rakyat susah mendapat manfaat. Keda tetap macam perangai kerajaan BN di mana-mana iaitu ‘penyokong BN didahulukan, bukan BN diketepikan’. Penempatan Keda dibuat kononnya untuk memberi rumah kepada golongan miskin tetapi permohonan untuk mendudukinya mesti mendapat sokongan Ketua Umno Bahagian. Tidak ada seorang pun ahli PAS yang terlepas masuk kepenempatan Keda. Jika ada, mungkin kerana kecekapannya menyamar atau keinsafan datang kemudian. Hari ini apabila BN menjadi pembangkang di peringkat negeri, Keda semakin menyerlahkan ketidakadilannya.

Seorang penduduk di Kampung Teluk Yan, Alor Setar, Ahmad Sobri Mat Rautin membuat permohonan mendapatkan rumah Keda. Beliau gembira kerana permohonannya diluluskan dan rumah baru tersebut akan dibina di atas tapak rumah uzur yang sedang didudukinya.

Sobri akur dengan kehendak kontraktor yang meminta dia merobohkan rumah asal tersebut untuk dibina rumah baru pemberian Keda. Rumah itu dirobohkan dan terpaksa menumpang sementara di rumah saudaranya. Malangnya kontraktor kemudiannya menyampaikan berita sedih bahawa Pengerusi Keda Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah membatalkan projek tersebut. Mudah sungguh dia membatalkan projek yang diperuntukkan kepada orang miskin seolah-olah orang miskin bukan jenis manusia.

Setelah siasatan dilakukan barulah diketahui sebabnya, iaitu Ahmad Bashah tidak mahu bantuan Keda dihulurkan kepada bukan penyokong Umno. Bagi tuan rumah, dia tidak peduli apa pun syarat yang kenakan Keda tapi kesal mengapa pembatalan dibuat setelah rumah asalnya dirobohkan. Bukankah ini suatu kezaliman? Sekarang dia sudah tiada rumah sendiri untuk berteduh. Keda boleh memilih untuk tidak menolong dari awal, sekurang-kurangnya orang itu ada rumah untuk berteduh sekalipun uzur. Tetapi memilih untuk menzalimi manusia lain asalkan nafsu serakah politik dapat dipuaskan.

Nasib yang sama dialami oleh seorang penduduk yang membuat permohonan rumah Keda di Kampung Alor Semela. Dia sudah menyediakan tapak dan gembira kerana permohonannya diluluskan Keda. Seorang JKKP di kampung tersebut memberitahu pihak Keda bahawa pemohon tersebut bukan orang Umno, maka pemberian tersebut ditarik balik.

Jawapan yang diberikan oleh pemimpin BN dalam isu-isu seperti ini mudah diduga, biasa dan berulang-ulang. “Hangpa sokong PAS pi laa minta dekat kerajaan PAS.”

Di samping tidak faham konsep federalisme, bidang kuasa dan fungsian antara dua kerajaan yang berkuasa, pemimpin-pemimpin seperti itu sebenarnya tidak sedar tentang hasil negara. Jabatan Hasil Dalam Negeri (LHDN) di samping sibuk berkempen mendesak rakyat menunaikan tanggungjawab menjelaskan cukai pendapatan, mereka juga perlu memberi penjelasan kepada rakyat akan sumber hasil negara dan ke mana hasil negara yang dikumpulkan berbilion-bilion itu dibelanjakan.

LHDN kena menjelaskan dengan jujur bahawa terdapat tiga sumber utama hasil negara iaitu hasil cukai langsung, hasil cukai tidak langsung dan hasil bukan cukai. Dari tiga sumber utama pendapatan negara itu, tidak ada satu sen pun duit yang diambil dari yuran keahlian Umno.

Sewaktu mengisi borang taksiran cukai pendapatan yang dibuat LHDN tidak ada satu ruangan pun meminta diisi ‘parti mana yang disokong’. Peliknya sewaktu sumber kekayaan yang dikumpulkan itu diagihkan kepada rakyat, termasuklah melalui Keda, maka bukan sokongan terhadap mana-mana parti pula yang menjadi kriteria.

Di Hulu Selangor, Shafie Afdhal menafikan projek berjuta-juta yang diturunkan oleh Pusat itu adalah untuk memancing undi. Sebaliknya, katanya, projek untuk Hulu Selangor memang sudah dirancang sebelum wakil rakyat meninggal. Sayang, Din Beramboi pun sudah tiada untuk tolong gelakkan Shafie sampai berguling-guling.

Jika BN terus-terusan jadikan peruntukan yang sepatutnya diterima rakyat sebagai alat untuk mengugut atau merasuah, maka kempen besar-besaran juga perlu digerakkan oleh Pakatan untuk menjelaskan kepada rakyat akan sumber hasil negara.

Duit yang banyak disalurkan oleh Pusat melalui Keda nampaknya dijadikan senjata untuk membuli rakyat yang tidak sehaluan dengan pegangan politik mereka. Tapi jika seluruh rakyat jelata sedar bahawa duit kerajaan sumbernya adalah dari poket rakyat maka sekurang-kurang rakyat tak jadi macam Pak Pandir yang kasihankan ‘anak orang mati tercicir di tengah jalan’ walhal itu adalah anaknya sendiri.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com