KUALA TERENGGANU, 9 Jan (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali mendakwa terdapat polis cawangan khas atau SB yang menyamar sebagai penyokong PAS ketika majlis penamaan calon 6 Januari lalu. Iklan | | | | | | Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di Markas Tarbiyah Kuala Terengganu baru-baru ini. "Kita mendapat maklumat mengenai tindakan polis cawangan khas ini yang turun daripada hotel mereka dengan berpakaian macam orang PAS seterusnya menyertai perarakan bersama penyokong Pakatan Rakyat," katanya. Menurutnya, motif utama tindakan tersebut tidak diketahui namun tidak menolak kemungkinan akan tercetusnya unsur-unsur provokasi. "Daripada maklumat yang diterima, golongan ini ramai dan terdapat kemungkinan bahawa mereka akan dimanafaatkan oleh jentera BN untuk beberapa tujuan khusus kerana perkara seumpama tersebut pernah terjadi sebelum ini. "Tetapi hal itu tidak seharusnya berlaku, kerana kita mahu perjalanan pilihan raya yang aman dan adil. "Oleh itu, PAS sedang monitor (memantau) perjalanan polis dan SB bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku," ujarnya. Ditanya mengenai mekanisme pemantauan tersebut, beliau yang juga merupakan Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat enggan mengulasnya. "Saya tidak puas hati dengan tugas pihak SB yang bertugas mengiringi calon kerana itu bukan tugas mereka," katanya lagi. Dalam kes pada pilihan raya kecil yang lalu, terdapat aduan mengenai orang yang tidak mengundi tetapi orang lain keluar mengundi bagi pihak mereka. "Ia terjadi pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir dan kita telah memfailkan petisyen," ujarnya lagi. Dalam pada itu, Mustafa turut mengulas mengenai kehadiran polis yang terlalu ramai pada kali ini di bandar Kuala Terengganu. "Saya mendapati ada aduan yang mengatakan bahawa kehadiran polis dilihat sebagai menakut-nakutkan pengundi, dan kita berharap ada jaminan bahawa mereka akan bertindak secara profesional," katanya lagi. Hal ini katanya, secara tidak rasmi rasa takut di kalangan rakyat Kuala Terengganu tetap ada. "Ini kerana rakyat di sini menganggap bukannya ada masalah keselamatan pada masa ini," tegasnya. Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa sesuatu yang tidak diingini boleh berlaku sekiranya perkembangan mood pengundi tidak menyebelahi BN. "Pada pandangan saya, kebiasaannya jika BN berasa selesa, tiada apa-apa yang pelik berlaku. sebaliknya, jika mereka berasa suasana sengit, maka BN akan mencipta bermacam-macam perkara," tegasnya lagi. Mustafa juga belum meyakini perjalanan pilihan raya kecil ini dapat berlangsung dalam keadaan yang bersih dan adil. "Setakat ini saya lihat perjalanan pilihan raya ini masih ok, dan saya belum meletakkan keyakinan pada perjalanan pilihan raya ini bersih sepenuhnya,"katanya. - mks._ |
No comments:
Post a Comment