20090226

PAU 09 'jalan' macam biasa

KL: Datuk Seri Najib Tun Razak menolak khabar angin kononnya Perhimpunan Agung UMNO bulan depan akan ditangguhkan bagi memberi tumpuan kepada pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perhimpunan berkenaan akan berlangsung seperti dijadualkan iaitu dari 24 hingga 28 Mac ini.

"Siapa kata Perhimpunan Agung UMNO akan ditangguhkan? Tidak ada. Ia akan berlangsung seperti biasa,'' kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita di sini hari ini.

Najib ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Hal Ehwal Kaum India di bangunan Parlimen.

Sementara itu, ditanya mengenai bajet mini, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan masih belum memutuskan jumlah peruntukan untuk pakej ekonomi berkenaan.

"Saya tidak boleh mengesahkan sebarang jumlah pakej ekonomi pada masa ini. Apa yang anda dengar pada masa ini adalah spekulasi semata-mata.

"Belum ada sebarang keputusan yang sudah dicapai pada masa ini,'' kata Najib.

Beliau diminta mengesahkan laporan sebelum ini yang menyebut bajet mini yang akan dibentangkan bulan depan melibatkan peruntukan RM30 bilion.

"Kita akan umumkan semuanya bila masanya tiba,'' tambahnya. / Utusan

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com