Oleh Hardi Effendi Yaacob
http://www.bharian.com.my/Friday/BeritaUtama/20100304233041/mainpix
ORANG ramai menenangkan S Karigalan, 42, (kanan) dan K Thilagavathy, 23, yang tidak dapat menahan kesedihan ketika melihat mendiang anak mereka di Pangsapuri Bestari Damansara, Kuala Lumpur, semalam.
PETALING JAYA: Belum pun selesai kes Syafia Humairah Sahari, tiga tahun, yang mati ditendang dan dipijak teman lelaki ibunya, minggu lalu, seorang lagi kanak-kanak berusia 18 bulan pula menjadi korban terbaru kes penderaan.
Dalam kejadian di Pangsapuri Bestari Damansara, Kayu Ara di sini, malam kelmarin, K Hares-varran dikatakan dipukul dan dipijak suami jiran keluarganya hingga menyebabkan hati kanak-kanak lelaki itu pecah dan enam tulang rusuknya patah.
Haresvarran dipercayai didera antara jam 10 malam dan 12 tengah malam kelmarin ketika ibu bapanya, masing-masing penerbit filem dan pekerja sambilan, meninggalkan mangsa di rumah jirannya.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata ibu mangsa mulanya meninggalkan anaknya di rumah seorang wanita tua yang uzur yang tinggal berhampiran rumahnya.
"Bagaimanapun, bimbang meninggalkan anaknya dengan wanita yang uzur itu, ibu mangsa kemudian menghubungi isteri suspek yang pernah menjaga mangsa selama tiga bulan tahun lalu untuk mengambil Haresvarran.
"Ibu mangsa sebenarnya risau untuk menyerahkan mangsa kepada pasangan itu kerana mengesyaki anaknya pernah didera berdasarkan kesan lebam di badan ketika dalam jagaan mereka tahun lalu. Bagaimanapun, kerana terdesak mereka meminta isteri suspek menjaganya," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Arjunadi berkata, suspek berusia 33 tahun kemudian menjemput mangsa di rumah wanita tua itu, tetapi Haresvarran dikatakan enggan mengikutnya dan menangis walaupun selepas dipujuk, termasuk diberikan coklat.
"Dia mungkin takut sebab pernah didera suspek. Ini menyebabkan lelaki itu berang lalu memukul mangsa berulang kali sebelum mengheretnya ke padang permainan (di tingkat bawah pangsapuri) dan memijaknya tanpa belas kasihan.
"Suspek hanya menghentikan tindakannya apabila kanak-kanak itu tidak sedarkan diri sebelum membawanya ke klinik berhampiran. Mangsa kemudian dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana kecederaan serius dan disahkan mati sebaik tiba di hospital," katanya.
Ini kejadian kedua membabitkan kematian kanak-kanak mangsa dera dalam tempoh seminggu. Khamis lalu, Syafiah Humairah mati dipukul dan ditendang teman lelaki ibunya di Sungai Pelong, Hulu Selangor.
Arjunadi berkata, suspek yang bekerja sebagai kelindan lori membuat laporan di Balai Polis Damansara Utama jam 12.35 tengah malam, kelmarin, dengan mendakwa Haresvarran mati tercekik makan gula-gula.
"Maklumat itu bercanggah dengan laporan perubatan, termasuk bedah siasat yang mengesahkan mangsa mati akibat kecederaan dalaman yang serius.
"Di badan mangsa ada banyak kesan lebam lama dan baru, selain tulang rusuknya patah dan hatinya pecah," katanya.
Beliau berkata, polis akan mendapatkan perintah reman ke atas suspek hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
Arjunadi meminta orang ramai, terutama yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.
Mayat K Haresvarran dituntut ibu bapanya sebaik bedah siasat selesai jam 1 petang semalam untuk dikebumikan.
bharian
No comments:
Post a Comment