Bekas Menteri Pertanian Tan Sri Dr Sulaiman Daud meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 8.10 pagi ini setelah lama uzur.
Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain berkata jenazah dibawa balik ke kediaman Allahyarham di 61, Lorong Lai Tet Lok Satu Off Jalan Gurney di sini.
Allahyarham yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-77 pada 4 Mac lepas, meninggalkan empat anak, iaitu Mahathir, Norshida, Zelda Raha dan Azman.
Isteri Allahyarham, Puan Sri Naemah Hasbi meninggal dunia pada 26 Mac 2005 akibat barah paru-paru.
Sulaiman, yang merupakan bekas Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak dan bekas anggota Parlimen Petra Jaya, Sarawak, pernah menjawat pelbagai jawatan sebagai menteri di peringkat persekutuan, bermula dengan Menteri Wilayah Persekutuan pada 19 Mac 1981.
Selain itu, Allahyarham juga pernah memegang jawatan Menteri Pelajaran (1981-84 dan juga 1995-99), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1984-86), Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah (1986-89), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1989-1990), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1990-1991) dan jawatan terakhirnya sebagai Menteri Pertanian (1995-1999).
Anak kelahiran Kuching, Sarawak yang berkelulusan ijazah kedoktoran pergigian dari University of Otago, New Zealand, pernah bertugas sebagai doktor gigi di kerajaan negeri Sarawak dan Jabatan Perubatan Brunei pada tahun 1960-an. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment