20100309

Pas Tidak Mungkin Berbaik Dengan UMNO - TGNA

Pas Tidak Mungkin Berbaik Dengan UMNO - TGNA

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Pas tetap meneruskan perjuangan dalam Pakatan Rakyat (PR) dan sama sekali tidak akan berbaik dengan UMNO yang telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan parti itu sebelum ini.

Menurutnya, meskipun parti itu menolak pendekatan perpaduan dengan UMNO, namun bukan bermakna Pas mengetepikan tanggungjawab menyebarkan Islam yang menjadi teras perjuangannya selama ini.

“UMNO menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama. Kesan menolak Islam itulah, banyak pihak tidak faham Islam, termasuk rakan kita yang bukan Islam.” katanya dalam perutusan sempena dua tahun pemerintahan PR.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Pas pernah membuat persetujuan untuk bersama-sama dengan Barisan Nasional(BN) walaupun ada yang menyokong dan menentang sehingga menyebabkan berlakunya kecelaruan dalam parti.

Namun katanya, adalah suatu perkara yang sukar diterima memandangkan Pas berkorban semata-mata ingin bersama UMNO, tetapi tindakan itu tidak dihargai dengan menendang keluar dari kerjasama tersebut.

“Ia sungguh perit untuk berbaik semula dengan UMNO atau masuk balik bersama BN. Oleh sebab itu, Pas rela dan menyatakan komitmen tinggi bersama mengukuhkan perpaduan dalam PR,” katanya.

Dalam pada yang sama, Nik Aziz berkata, Pas dituduh sebagai boneka DAP sedangkan apa yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini, UMNO yang mendapat kuasa majoriti tetapi gagal memerintah dengan kuasa yang diberikan.

“Apa yang jelas pemimpin parti Gerakan yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Jelas, dalam keadaan itu, meletakkan kedudukan UMNO sebagai parti yang menjadi kuda tunggangan (boneka) parti Gerakan.

“Ada sejumlah kerusi yang sepatutnya UMNO bertanding (di kawasan majoriti Melayu), tetapi secara tidak beradab telah menyerahkan kepada pemimpin Gerakan, MCA dan MIC," katanya. -SH

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com