20100302

MCA bidas Ibrahim Ali

Sumber Harakahdaily

KUALA LUMPUR: MCA hari ini membidas sekeras-kerasnya kenyataan Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Negara (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali yang mendesak kerajaan menghentikan pemberian projek atau tender istimewa kepada syarikat korporat Cina yang tidak tahu berterima kasih.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Ti Lian Ker, Pengerusi Biro Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan MCA

Bagi beliau, kenyataan Ibrahim berlandaskan ras dan berbau perkauman adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mencetuskan sentimen prasangka perkauman yang semakin menebal dalam negara kita.

Kenyataan sedemikian akan menimbulkan ketidaktenteraman bangsa Malaysia yang sedang diancam oleh ancaman luar dan dalaman di mana keharmonian negara buat pertama kalinya terancam oleh pelbagai isu nasional yang sengaja diwar-warkan oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda merosakkan ketenteraman negara, katanya.

Bagi Ti, kenyataan Ibrahim itu seharusnya merujuk kepada semua kaum berlandaskan prinsip-prinsip yang murni dan bukannya mendedahkan kehodohan muka perkauman Ibrahim yang berselindung di bawah pertubuhan Perkasa dengan agenda politik peribadi semata-mata.

"Minda zero sum game berlandaskan batasan kaum juga akan merugikan negara dan bangsa dalam kegawatan ekonomi yang sedang dihadapi oleh semua," katanya.

Beliau menyifatkan, kenyataan Ibrahim yang melulu dan tidak berasas adalah satu strategi politik lampau yang tidak boleh lagi diguna pakai dalam era 1Malaysia yang mempromosikan keberkesanan dan sumbangan positif kepada pembangunan negara yamg dapat membawa keuntungan optimum kepada semua rakyat Malaysia.

Dengan menjadikan korporat Cina sebagai sasaran akan menghalang kemasukan pelabur-pelabur asing dan kepakaran apabila mereka mengubah haluan akibat ketidak selesaan terhadap dasar negara yang menjadikan mereka mangsa tuduhan dan tohmahan, katanya.

"Kenyataan Ahli Parlimen Bebas itu bolehlah disifatkan sebagai dangkal dan tidak relevan dalam era globalisasi yang semakin mencabar dan terbuka," katanya.

Menurut Ti, semua pihak sepatutnya memberikan tumpuan tuntas dan fokus kepada usaha meningkatkan tahap daya saing ekonomi negara yang kini sedang berhadapan dengan saingan dan peluang kebangkitan ekonomi dari negara-negara jiran.

“Ini bukan masanya untuk kita berdebat mengenai siapakah yang seharusnya menikmati pai ekonomi negara yang lebih banyak," katanya.

Kita ketinggalan

Bagi beliau, dalam keadaan daya saing ekonomi negara kita yang kini semakin ketinggalan berbanding dengan negara-negara jiran, inilah masanya untuk semua pihak bersepakat duduk berbincang dan mencari jalan bagaimana untuk merencanakan kembali ekonomi negara tanpa menimbulkan isu-isu emosi berlandaskan politik semata-mata.

Ini kerana akhirnya, ia akan merugikan negara dan rakyat jua yang akan sengsara.

Justeru, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ibrahim itu adalah “counter-productive” dan cenderung kepada agenda membinasa daripada agenda membina.

Cara dan pendekatan beliau yang ingin mengapi-apikan emosi perkauman, untuk memonopolikan peluang-peluang ekonomi berasaskan perkauman adalah ketinggalan masa dan tidak lagi secocok dengan hasrat kepimpinan negara. Rakyat sekarang inginkan ketelusan, keadilan dan kesaksamaan demi masa depan mereka.

MCA berpandangan, kata Ti, mana-mana kontraktor yang mempamerkan sikap positif dan keupayaan terutamanya dari segi kesanggupannya, kemampuan dan keberkesanannya, harus dan perlu diberi peluang yang setimpal untuk bersaing supaya mereka kekal dan terus menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara.

"Polemik politik Ibrahim akan menjejaskan kepentingan dan kestabilan negara. Tindakan beliau dikhuatiri akan menakutkan pelabur dalam negara. Inilah masanya kita menunjukkan sikap mesra pelabur dan bukannya kehodohan perkauman," tambahnya.

Bagi beliau, tiada gunanya negara menampung kontraktor yang tidak berkesan dan kurang berprestasi yang pada akhirnya akan menggadaikan mutu pembinaan, selain mengancam keselamatan rakyat. Imej negara juga akan terjejas.

Pengorbanan piawaian dan rasuah kuasa telah menyebabkan kerajaan dan rakyat mengalami kerugian atas keuntungan segelintir individu. Masalah ini juga telah mengancam kestabilan ekonomi dan keselamatan pengguna dan rakyat.

Oleh yang demikian, sekiranya kontraktor-kontraktor yang mendapat tender tidak mempamerkan prestasi yang cemerlang dan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan, maka peluang mendapat tender itu tidak harus diberikan kepada mereka lagi di masa hadapan sejajar untuk memupuk prestasi keberkesaan , penyampaian dan amanah di bawah slogan "Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan."

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com