20100314

Tiada sebab untuk kosongkan kerusi Parlimen

IPOH: Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, hari ini menegaskan bahawa beliau tidak akan tunduk dengan desakan mengosongkan kerusi Parlimen berkenaan.

Katanya beliau tidak terfikir untuk mengosongkan kerusinya dan sebaliknya akan meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat bebas sehingga pilihan raya umum yang akan datang.

Pada 3 Mac lalu, Mohsin Fadzli mengisytiharkan dirinya keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi Ahli Parlimen Bebas kerana 'politiking' melampau dalam PKR yang gagal dikawal oleh penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pilihan raya umum pun tidak lama lagi, saya akan tunggu dan menghabiskan penggal perkhidmatan saya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Lagi pun apa perlunya saya meletak jawatan kerana saya masih lagi Anggota Parlimen mereka...tidak ada salahnya kerana saya masih berkhidmat untuk mereka (pengundi Bagan Serai)," katanya.

Mohsin Fadzli berkata, beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik lain walaupun menyedari Barisan Nasional (BN) akan sentiasa mengalu-alukan jika beliau berhasrat menyertai parti komponen BN.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohsin Fadzli, yang pertama kali bertanding, mengalahkan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin daripada UMNO dengan majoriti 3,413 undi.

Di PULAU PINANG, Datuk Seri Mohd Zahrain Hashim yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru turut senada dengan rakannya dari Bagan Serai itu tidak akan melepaskan kedudukannya sekarang.

Katanya beliau tidak akan tunduk kepada tekanan daripada pihak yang menggesa beliau mengosongkan kerusi kerana beliau merupakan wakil rakyat yang dipilih untuk kawasan itu.

"Pendirian saya adalah jelas dan saya ingin terus berkhidmat untuk penduduk Bayan Baru sebagai Ahli Parlimen bebas," katanya kepada BERNAMA di pejabat barunya di Bayan Baru hari ini.

Mohd Zahrain, yang keluar daripada PKR pada 12 Feb lalu, berkata beliau tidak mengkhianati undi rakyat dan telah memaklumkan kepada Speaker Parlimen mengenai statusnya sebagai wakil bebas.

"Ahli PKR harus tahu bahawa saya bukan Ahli Parlimen untuk parti itu tetapi untuk rakyat. Mereka tidak boleh menghalang saya daripada memberi khidmat kepada penduduk Bayan Baru," katanya.

Menurutnya pada pilihan raya umum 2008, beliau menerima kira-kira 27,000 undi dan percaya bukan semua mahu beliau mengosongkan kerusi Parlimen itu tetapi hanya sebilangan kecil pengundi yang mungkin terpengaruh dengan desakan PKR.

Sumber: mStar Online

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com