20100305

Rencana BH kena batang hidung pemimpin Umno

Oleh Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 4 Mac: Apa yang ditulis dalam Berita Harian (BH) semalam kononnya ‘Orang Melayu Pulau Pinang Semakin Terpinggir’ ibarat meludah ke langit akhirnya terkena batang hidung kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) sendiri.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut kesal terhadap penyiaran berita bermotif memburuk-burukan Kerajaan Pakatan Rakyat yang kononnya tidak pandai memerintah serta bersikap tidak mempedulikan orang Melayu Islam sehingga sanggup merampas hak mereka yang berniaga, meroboh gerai serta berlakunya kemerosotan ekonomi golongan minoriti itu sehingga menyebabkan mereka berpindah ke negeri lain.

“Apa yang berlaku bukan salah Kerajaan Pakatan Rakyat sekarang sebaliknya Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana dasar yang menjadi amalan kerajaan terdahulu menyebabkan gejala tersebut berlaku.

“Kita baru dua tahun memerintah mana mungkin boleh melakukan kezaliman sedemikian rupa dan kita tidak akan mengamalkan dasar yang sama dengan BN,” tegas beliau dalam sidang media di pejabatnya, semalam.

Katanya, penghijrahan orang Melayu berlaku sejak dulu lagi apabila Umno yang berkuasa tidak bertindak membantu masyarakat Melayu khususnya di Balik Pulau, Bayan Baru, Jelutong, Tanjung Bungah dan banyak lagi tetapi menekan dari belakang dengan memberi peluang golongan elit dalam Umno menikmati kemewahan manakala orang bawahan dibiarkan menderita kehilangan kampung halaman.

“Siapa yang harus dipersalahkan bila bilangan Melayu semakin mengecil melainkan Umno yang merupakan juara Melayu atau tulang belakang perjuangan orang Melayu. Orang ramai akan bertanya apa yang mereka laksanakan demi kebaikan masyarakat Melayu sepanjang 50 tahun memimpin bersama komponen dalam BN,” katanya.

Umno yang mempunyai 11 kerusi dan empat orang Exco Kerajaan BN termasuk seorang Timbalan Ketua Menteri dahulunya tidak berjaya membawa Melayu keluar dari kepompong cuba sekadar mengheret tangan-tangan yang rapat dengan kroni sahaja.

“Umno hanya berjaya meningkatkan tahap sosial ekonomi Melayu Umno sahaja bukan rata-rata bangsa Melayu yang berada di bawah, ” katanya.

Bercakap tentang tiga projek besar di Pulau Pinang kononnya kerajaan sekarang sengaja menghakis kedudukan Melayu, beliau berkata, tidak pernah Kerajaan Pakatan Rakyat berbuat demikian kerana semua projek seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Penang Global City Centre (PGCC) merupakan projek Kerajaan Pusat dan dilaksanakan pada era pemerintahan BN.

Semasa Pakatan Rakyat memerintah, sambungnya, langkah pertama ialah membatalkan projek PGCC yang bukan sahaja menguntungkan koporat tertentu bahkan merugikan kerajaan.

Begitu juga dengan NCER yang sampai kini sunyi bersesuaian dengan pengasasnya yang kini tidak berbisa lagi iaitu mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau turut menjelaskan projek Tanjung Pinang di Tanjung Tokong juga dikaitkan dengan Kerajaan Pakatan Rakyat kononnya menghalau orang Melayu dari situ secara halus.

“Sebenarnya projek besar dibuat oleh Kerajaan BN dan menyerahkan kepada Syarikat Uda untuk dibangunkan. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat cuma masuk campur mendesak Uda membina ‘Kampung Warisan’ seperti mana yang diinginkan oleh penduduk asal Tanjung Tokong,” ujarnya.

Apa yang diperkatakan oleh Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Karim, semua bermatlamat fitnah untuk mengais simpati terhadap perjuangan menegakkan benang yang basah.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat langsung tidak pernah menghalau penduduk Melayu dengan tujuan menjadikan pulau ini sebagai tempat tinggal orang Cina serta menaikkan taraf dan mempromosi pulau yang terkenal dengan panggilan Pulau Mutiara untuk didiami oleh penduduk yang kaya sahaja.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Saleh Man ketika ditemui membidas kenyataan Jais Karim dengan menggelarkan golongan terbabit sebagai ‘hero tua’ kerana apa yang mereka perkatakan telah lama diperjuangkan oleh PAS ketika menjadi pembangkang di Dun Pulau Pinang.

Katanya, PAS waktu itu diwakili oleh Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman telah beberapa kali membangkitkan ke mana arah orang Melayu di Tanjung Tokong jika projek mewah dilaksanakan di situ.

Tetapi, isu berkenaan tidak mendapat reaksi daripada Umno malahan acap kali mempersendakan ucapan beliau yang menggangap ucapan itu melalut ekoran PAS tiada sokongan di Pulau Pinang.

“Apa yang diperjuangkan oleh GPMS semuanya ada dalam kocek PAS kerana selama ini kami bersuara pada BN tetapi malangnya tidak diberi perhatian,” tambahnya yang juga Adun Permatang Pasir.

Soalnya, kenapa tiba-tiba Jais menjadi hero dalam soal itu.

“Dulu ke mana beliau menghilang seolah-olah tiada dalam negara ketika projek tersebut mendapat bantahan penduduk,” ujarnya.-Harakahdaily

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com