20100307

Zulkifli tak hirau dipecat





KUALA LUMPUR 6 Mac – Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memecat Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dan memintanya mengosongkan kerusi Parlimen itu.

Setiausaha Agung parti Saifuddin Nasution berkata keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat PKR yang diadakan hari ini.

“Ya, sah Zulkifli dilucutkan keanggotaan parti,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata Zulkifli juga diberi tempoh 14 hari untuk merayu keputusan itu.

Zulkifli yang juga seorang peguam, dihadapkan kepada Lembaga Disiplin parti bagi menjawab isu berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap rakan sekutu dari PAS, Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkenaan isu kalimah Allah dan kritikan beliau terhadap kepimpinan DAP.

Khamis lepas, anggota Parlimen yang terkenal dengan tindakan “menentang arus” dalam PKR itu bertindak keluar daripada sidang Lembaga Disiplin yang membicarakan kesnya kerana membantah anggota panel terdiri daripada bukan Islam.

Zulkifli memberitahu pemberita selepas itu bahawa tindakan tersebut berasaskan prinsipnya yang tidak mahu tunduk atau mengiktiraf panel bukan Islam bagi membicarakan isu berhubung agama Islam.

Beliau juga memberitahu pemberita tidak berhasrat untuk keluar daripada PKR kerana masih yakin dengan kepimpinan parti.

Pagi ini, Zulkifli menerusi surat terbuka di dalam blognya sekali lagi merayu anggota majlis pimpinan pusat PKR agar memberi peluang kepada beliau membela diri di hadapan panel disiplin beragama Islam berhubung isu yang dibangkitkan.

“Saya menuntut supaya saya diberikan keadilan. Sebab itu saya menyokong perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan keadilan dalam kes liwat beliau.

“Perjuangan beliau ingin mendapat keadilan sehingga sampai ke peringkat mendapat sokongan luar. Kalau Datuk Seri Anwar menuntut keadilan, saya juga menuntut keadilan yang sama... kita patut amal apa yang kita uar-uarkan,” katanya dalam surat itu.

Sebelum ini, Zulkifli mendakwa beliau adalah mangsa rancangan jahat “firaun-firaun kecil” dalam parti yang sengaja mahu memalukan dan mengaibkan beliau dan agama Islam serta sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan beliau dipecat.

Sementara itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini memberi amaran kepada wakil rakyat parti itu supaya berpegang kepada prinsip perjuangan masyarakat berbilang kaum sekiranya tidak mahu dipecat.

Beliau berkata, PKR tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan seperti yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin hari ini jika wakil rakyat parti itu tidak berpegang kepada prinsip perjuangan parti yang mengutamakan semua kaum dan hak asasi manusia. – BERNAMA

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com