20090727

Penyeberangan hakis legitimasi BN

Oleh Lim Hong Siang, Merdeka Review

Tengku Razaleigh menjadi sasaran seterusnya, setelah bekas Naib Presiden MCA, Chua Jui Meng menyeberang ke Pakatan Rakyat pada 18 Julai 2009.

Zaid Ibrahim yang dipecat dari UMNO, menyertai Parti Keadilan Rakyat pada bulan lepas, menyeru dalam blog agar bekas Presiden Semangat 46 ini meninggalkan UMNO buat kali kedua.

Ku Li menolak undangan ini secara spontan, melalui kolumnya di Malaysian Insider, menyatakan keinginannya untuk menjunjung semula prinsip yang tergaris ketika UMNO ditubuhkan, dalam parti yang pada pandangan beliau, telah hilang arah selepas 60 tahun.

Penyeberangan dipertikai

Selain pengalaman pahit daripada "penyeberangan ADUN Bota, Nasaruddin Hashim", yang berakhir dengan rampasan kuasa kerajaan negeri Perak, "penyeberangan" pemimpin veteran Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat juga dilihat sedikit sebanyak mencalit "imej reformasi" yang cuba ditonjolkan pakatan politik baru ini.

Malah, "penyeberangan" pemimpin BN ke PR telah menimbulkan banyak masalah, termasuk mencetus ketidakpuasan golongan pejuang reformasi yang pernah dibadai gas pemedih mata. Ini kerana pada ketika mereka bertempur dengan FRU, muka lama ini masih berada di pihak yang mewajarkan keganasan polis.

Justeru itu, rebutan kuasa (pangkat) mahupun sumber dalam parti semakin meruncing. Mereka yang "berhijrah" selepas tsunami politik 8 Mac 2008 disambut secara besar-besaran, disusuli dengan tawaran jawatan penting dalam kerajaan negeri pakatan rakyat, secara tidak langsung menyinggung perasaan sesetengah ahli yang sudah turun ke jalan raya sejak tahun 1998 lagi.

Walaupun kebolehan berorganisasi, memobilasi akar umbi tidak boleh disamakan dengan kemampuan mengubal dasar, menguruskan pentadbiran, namun pencaturan sedemikian tetap mencungkil ketidakpuasan sesetengah ahli, dengan dakwaan bahawa mereka telah "dipinggirkan".

Kalau itulah antara masalahnya "penyeberangan", mengapa PR, terutamanya PKR masih mengalu-alukan "penghijrahan" dari BN, satu pakatan politik yang dilihat korup, tidak beridealisme, malah muflis moralnya?

Penyeberangan dua-hala

"Penyeberangan" Chua Jui Meng baru-baru ini walaupun gagal "menarik perhatian" seperti yang dijangkakan, pada detik saat ketika masyarakat Malaysia digemparkan dengan tragedi kematian Teoh Beng Hock, tetap menjadi tajuk perbincangan dalam media bahasa Cina.

Chua Jui Meng (gambar kanan, kedua dari kanan), 66, menawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden MCA pada tahun 2005 dan 2008. Chua yang berada di luar "arus perdana" pimpinan, tanpa bantuan mekanisme parti, bagaimanapun berjaya menafikan 2/3 undi majoriti lawannya, dalam kedua-dua pemilihan parti.

Chua yang disindir sebagai politikus yang gagal dalam MCA, ketika ditemuramah Nanyang Siang Pau, melontarkan pandangan bahawa MCA hanya berupaya melakukan sesuatu jikalau meninggalkan BN. Memandangkan MCA tidak mungkin menarik diri dari BN setakat ini, maka beliau terpaksa meninggalkan MCA.

"Penyeberangan" kali ini walaupun boleh dibaca sebagai satu-satunya "jalan keluar" seorang pemimpin yang menemui jalan buntu dalam partinya, namun tetap memberi makna dalam konteks politik Malaysia.

Penganalisa politik, Phoon Wing Keong dalam tulisannya di rocknews, mendakwa bahawa politik Malaysia kini membuka lembaran baru dengan "penyeberangan dua hala", berbeza daripada "penyeberangan sehala" dari pembangkang ke BN, satu ketika dahulu.

Pemimpin kanan dan veteran BN yang "berhijrah" ke PR (yang masih merupakan pembangkang di peringkat pusat), walaupun tidak semestinya memiliki daya perjuangan yang tinggi, namun tetap mampu menghakis legitimasi dan semangat moral musuh politik, kata Phoon.

Menghakis legitimasi musuh politik

Phoon membuat analisanya dari sudut pencaturan politik. Phoon menganggap Anwar Ibrahim yang pernah berjinak-jinak dengan sistem autoritarian ini, semestinya memahami bagaimana sistem ini dikekalkan. Untuk sistem autoritarian, pilihan raya hanya sebagai alat untuk memberi keabsahan (legitimasi) kepada pemerintah.

Malah, rampasan kuasa di Perak (gambar kanan dari Sinar Harian) dijadikan sebagai contoh untuk menunjukkan bahawa, walaupun sistem pilihan raya yang berlandaskan prinsip "1 orang 1 undi" mungkin memberi keuntungan kecil kepada pembangkang kadang-kala, namun harapan untuk menumbangkan lembaga negara dan parti hanya dengan pilihan raya, adalah impian yang tidak realistik.

Phoon membaca strategi Anwar sebagai cuba menggunakan saluran selain pilihan raya, untuk melancarkan serangan terhadap BN. Anwar cuba menarik elit BN untuk meninggalkan sistem yang lama ini, lantas mempercepatkan proses penghancuran sistem autoritarian ini.

Menurut pengamatan Phoon, "penyeberangan" kali ini tidak mencetus kritikan keras daripada rakan seperjuangan Chua. Ini mungkin membawa makna bahawa senario pergolakan politik mutakhir ini, menjadikan politikus lebih "berhati-hati", kerana lawan hari ini mungkin menjadi kawan pada keesokannya.

Malah Phoon berpendapat, "penyeberangan" ini menunjukkan bahawa pertikaian terhadap sistem autoritarian dan model politik perkauman ini datang dari elit konservatif yang pernah berkongsi kuasa dalam sistem yang sama, sehingga tidak sanggup untuk berselimut dengan harimau.

Cuma, selepas Chua, siapa lagi?

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com