20080813

Perjalanan politik Wan Azizah ringkas, tapi belum berakhir

Oleh G. MANIMARAN

DR. WAN Azizah Wan Ismail bersama Anwar Ibrahim pada sidang media pertengahan bulan ini.

DALAM temu bual dengan mStar Online pada 18 Julai lalu - sehari selepas suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dengan jaminan polis, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail apabila ditanya mengenai perjalanan hidup politik sepanjang satu dekad yang lalu, beliau berkata:

"Sepuluh tahun lalu saya isteri menteri, isteri timbalan perdana menteri, anak-anak saya kecil-kecil lagi... masih baru dalam politik.

"Sekarang 10 tahun sudah berlalu... kita menghadapi pilihan raya 2008 dengan baik sekali dan kita telah mendapat banyak sokongan di kalangan rakyat. Sekarang anak-anak saya sudah besar, mereka memahami apa yang berlaku."

Malah dalam pertemuan setengah jam itu beliau juga menyatakan kesediaan untuk mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh demi Anwar.

"Ya, boleh jadi, kemungkinan itu ada, kemungkinan tempat lain pun ada, kita akan melihat keseluruhannya. Sebab saya tidak apa-apa kesusahan, saya tiada masalah.

"Kalau saya nak tinggalkan Permatang Pauh, dan pengundi-pengundi Permatang Pauh tahu Anwar sebab dialah Ahli Parlimen Permatang Pauh sebelum saya, dan mereka kenal kami berdua, dan sekiranya diperlukan, ya."

Hari ini kenyataan itu menjadi realiti. Apakah selepas ini?

Anwar merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh dari 1982 hingga 1999. Bekas Timbalan Perdana Menteri ini mendapat laluan mudah daripada isterinya yang tersayang, yang turut mempercayai suaminya tidak melakukan dakwaan dihadapi sekarang.

Walaupun beliau telah lama dijangkakan akan melepaskan kerusi Parlimen tetapi sebenarnya beliau menceburi bidang politik tanpa disangka-sangka.

Sebagaimana disebutkan Bernama, Dr. Wan Azizah, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menceburi bidang politik yang mengubah hidupnya daripada seorang suri rumah menjadi Ketua Pembangkang, ekoran penahanan Anwar berhubung dakwaan rasuah dan liwat.

Dr. Wan Azizah, 55, ibu kepada enam anak - lima perempuan dan seorang lelaki melepaskan jawatannya dalam kerajaan sebagai optalmologi untuk berada di sisi Anwar ketika suaminya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993.

Ketika Anwar dipecat daripada Umno dan ditahan kerana dakwaan rasuah dan liwat pada 1998, beliau mengetuai Social Justice Movement (Adil), sebuah badan bukan kerajaan hak asasi awam bagi memperjuangkan pembebasan suaminya dengan bantuan keluarga, rakan karib dan para penyokongnya.

Daripada sebuah NGO, Adil menjadi platform untuk penubuhan Parti Keadilan pada 4 April, 1999, sebuah parti politik yang pada awalnya memperjuangkan pembebasan Anwar.

Dr. Wan Azizah, dilantik sebagai presiden penaja dan kemudian sebagai presiden parti.

Beberapa bulan selepas itu, sebagai orang baru dalam dunia politik, beliau buat julung kali bertanding dalam pilihan raya umum, bagi mempertahankan kerusi Parlimen
Permatang Pauh yang sebelum itu disandang suaminya, dengan menentang Datuk Seri Ibrahim Saad, yang ketika itu Ketua Umno bahagian Permatang Pauh dan Timbalan Menteri Pengangkutan. Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 9,077 undi.

Pada pilihan raya umum 2004 dan 2008, beliau mengekalkan kerusi parlimen berkenaan setelah mengalahkan bekas Imam Besar Masjid Negara Datuk Pirdaus Ismail daripada Barisan Nasional.

Pada pilihan raya umum 8 Mac, Dr. Wan Azizah menang dengan majoriti 13,388 undi ke atas exco Pemuda Umno itu. Beliau memperoleh 30,338 undi berbanding Pirdaus yang mendapat 16,950 undi.

Parti itu, pada Ogos 2003, bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk menubuhkan Parti Keadilan Nasional dan beliau dilantik sebagai presiden, jawatan yang disandangnya sehingga hari ini.

Berikutan kemenangan besar partinya pada pilihan raya umum 2008, Dr Wan Azizah dilantik oleh pembangkang sebagai ketua mereka dalam Dewan Rakyat.

Hari ini beliau mengosongkan kerusi itu demi suaminya. Dr. Wan Azizah membuat pengorbanan selaku isteri tersayang di sebalik ada yang menganggap beliau mengkhianati pengundinya.

Inikah politik namanya!

Pertengahan Julai beliau menerima pingat membawa gelaran Datuk Seri daripada Yang Dipertua Pulau Pinang.

Hari-hari terakhir sidang Dewan Rakyat lalu, sebagai Ketua Pembangkang beliau membawa usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri mewakili Pakatan Rakyat.

Tetapi usul itu ditolak Speaker. Dr. Wan Azizah gagal dalam usaha pertama itu.

Tiga hari kemudian suaminya ditahan polis berhubung dakwaan meliwat - untuk diambil keterangan. Beliau kembali menghadapi persekitaran hidup 1998 tetapi kini berkapasiti sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang.

Dengan mengosongkan kerusi Ahli Parlimen beliau juga melepaskan jawatan Ketua Pembangkang. Dipercayai beliau Ketua Pembangkang paling singkat memegang jawatan itu. Ini pun rekod!

Dr. Wan Azizah berkata, beliau akan terus berkhidmat sebagai Presiden PKR dan Pengerusi Yayasan Aman.

Hendak dikatakan kerjaya politik beliau sudah mula berakhir adalah terlalu awal.

Semuanya bergantung kepada perkembangan kes dakwaan meliwat - yang kedua dihadapi Anwar. Pastinya Dr. Wan Azizah menyedari kemungkinan ini.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com