KUALA LUMPUR - Kadar cukai individu maksimum diturunkan satu peratus, daripada 28 peratus kepada 27 peratus mulai tahun taksiran 2009.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Bajet 2009 di Dewan Rakyat di sini semalam berkata, langkah itu bertujuan menjadikan kadar cukai individu kompetitif dan menarik kepada golongan tenaga mahir.
Di samping itu, kadar cukai marginal sebanyak 13 peratus akan dikurangkan kepada 12 peratus yang akan memanfaatkan rakyat berpendapatan sederhana.
"Pengurangan ini dan peningkatan dalam pemberian rebat yang saya umumkan akan memanfaatkan semua pembayar cukai," katanya.
Abdullah yang juga Menteri Kewangan, berkata, cukai pendapatan individu pemastautin dikaji semula mengikut rebat cukai bagi kumpulan pendapatan bercukai sehingga RM35,000 dinaikkan daripada RM350 kepada RM400, cukai bagi kumpulan pendapatan bercukai melebihi RM35,000 hingga RM50,000 dikurangkan satu mata peratusan daripada 13 peratus kepada 12 peratus.
Dalam pada itu, cukai pendapatan koperasi dikurangkan bagi kumpulan berpendapatan bercukai melebihi RM20,000 hingga RM30,000 sebanyak satu mata peratusan daripada tiga peratus kepada dua peratus.
Kadar cukai bagi kumpulan pendapatan bercukai melebihi RM50,000 juga dikurangkan satu mata peratusan daripada 28 peratus kepada 27 peratus.
No comments:
Post a Comment