IPOH: Seorang anggota Exco kerajaan negeri Perak dan empat yang lain yang ditahan reman oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana disyaki terbabit dalam rasuah berkaitan satu projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dekat sini, hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Mereka dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada jam 5.20 petang, sehari lebih awal daripada tempoh reman tiga hari yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh semalam.
Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim selepas mendengar permohonan oleh lapan peguam yang mewakili lima suspek itu untuk penyemakan semula perintah tahanan reman yang dikeluarkan Mahkamah Majistret semalam.
Ridwan dalam keputusannya berkata mahkamah berpendapat tempoh dua hari sudah mencukupi bagi BPR menjalankan siasatan. - Bernama
No comments:
Post a Comment