Di suatu hujung minggu, aku diberikan kesempatan untuk berkongsi seteguk 'Socrates�s poison' pada sekumpulan pelajar dari Bath, Bristol, London, Nottingham dan Cardiff di Student Union Building, University of Cardiff.
Menongkah sejarah yang tertulis dengan usaha mencari sejarah sendiri. Dari satu paradigme sejarah lama kepada sejarah yang lebih berasaskan rasional. Aku percaya mereka bukan seperti penuntut ilmu yang taklid membabi buta. Mereka akan memikirkan kembali apa yang telah aku lontarkan sewaktu wacana tersebut.
Pihak penganjur meminta untuk aku mengulas tentang filem dokumentari yang bertajuk '10 Tahun Sebelum Merdeka' karya Fahmi Redza. Filem tersebut telah memenangi anugerah di dalam Malaysia Freedom Film Festival tahun lalu.
Berkongsi cerita tentang sejarah yang dilupakan. Pencetus sejarah yang disisihkan. 'HARTAL 20 Okt. 1947'. Peristiwa bagaimana golongan kiri yang diketuai AMCJA-PUTERA yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh dan sebagainya berjaya melumpuhkan seketika seluruh Malaya dengan mogok seluruh negara ketika itu. Hartal ataupun mogok tersebut adalah tindakan untuk menekan British menerima draf Perlembagaan Rakyat untuk Malaya bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang didraf oleh British, Raja-raja Melayu dan Umno.
Akhirnya British telah menggunakan akta dan kekerasan untuk mengekang gerakan penentangan penjajah British. Berpuluh-puluh rakyat Malaya tanpa mengira kaum telah ditahan di bawah ISA yang baru diperkenalkan oleh British. Akta itu bertujuan untuk mengekang ancaman Komunis tetapi sebaliknya digunakan untuk menangkap ahli politik berhaluan kiri yang bukan komunis.
menggali sejarah
Pada akhir majlis, kebanyakan di kalangan mereka memang tidak mengetahui peristiwa itu. Mungkin tiada dalam kurikulum mata pelajaran Sejarah. Aku tak pasti. Kena rujuk kembali buku teks matapelajaran Sejarah. Pertanyaan mereka tentu tidak mampu aku menjawab keseluruhannya melainkan kuharap mereka sendiri harus mencari dan menggali sejarah tersebut.
Di penghujung musim dingin ini, matahari terlalu cepat tenggelam. Maghrib pukul 4.20 petang. Banyak lagi perbincangan kami belum selesai dan terasa tidak puas. Aku sambung cerita di kedai kebab sebelum aku pulang ke Swansea pada malam itu.
Apabila Dr Kasim Ahmad belajar PhD di SOAS, Universiti of London, beliau telah mengemukakan teori Hang Jebat adalah hero kepada perjuangan menegakkan keadilan. Jika dahulu Hang Tuah begitu diagung-agungkan kini perjuangan Hang Jebat menegakkan keadilan dihargai. Begitu juga, Usaha Dr Nik Anuar Nik Mahmud yang berjaya mendapatkan salinan gambar Tok Janggut mati digantung terbalik di Bodlein Library Oxford. Muzium dan perpustakaan di UK memang menyimpan seribu satu rahsia yang belum terbongkar. Itulah antara misi yang seharusnya ada pada para pelajar Malaysia yang dihantar ke UK!
Sebelum aku datang ke UK kira-kira dua tahun lalu, aku telah bertemu Pak Din Andika, seorang pejuang kemerdekaan yang mengusahakan bengkel membuat kompang dan rebana di Kg Sayong, Kuala Kangsar. Beliau adalah antara tokoh yang turut ditemu ramah di dalam filem dokumentari tersebut. Namanyapun sudah membayangkan jiwa kepahlawanan. Teringat filem-filem dan cerita zaman dahulu kala.
Nama Andika adalah watak pahlawan yang menentang kezaliman. Hari tersebut, aku sendiri menemui tokoh pejuang yang sekian lama dilupakan. Beliau antara ribuan anak-anak muda Melayu yang ditahan tanpa bicara. Beliau merengkok di dalam penjara selama empat tahun setengah. Beliau ditahan kerana dikatakan terlibat dalam aktiviti menentang British melalui pertubuhan Angkatan Pemuda Insaf (API).
Beliau mengakui terdapat beberapa pelajar universiti datang untuk mendapatkan maklumat tentang sejarah perjuangan menentang Inggeris. Namun, kerja-kerja akademik tersebut mungkin tersimpan dalam perpustakaan universiti ataupun sekadar kerja ilmiah yang perlu diselesaikan demi sekeping ijazah. Sejarah itu terus tersimpan. Perlu ada kesungguhan dan kehendak politik (political will) untuk menterjemahkan penghargaan kepada para pejuang kemerdekaan yang sekian lama dilupakan.
Usaha ini tidak sesekali akan mengecilkan usaha para pejuang kemerdekaan yang telah sedia termaktub dalam sejarah negara sama ada dalam bentuk buku, rekod, ataupun penghargaan rasmi kerajaan. Ini adalah satu usaha memperbanyakan 'hero negara' bagi dijadikan contoh patriotisme kepada rakyat.
tokoh tempatan
Di UK, hampir setiap bandar mahupun kampung sering dikaitkan dengan tokoh tempatan. Mungkin sebahagian daripada mereka adalah pengasas atau peneroka kawasan berkenaan, pemimpin terpenting, penulis, pemuzik, pelombong dan sebagainya. Oleh sebab itu, mereka berbangga dengan tokoh-tokoh tempatan.
Langkah kerajaan melalui Kementerian Pelajaran yang memastikan pelajar PMR dan SPM membuat kajian tempatan dalam mata pelajaran Sejarah perlu dipuji. Walau bagaimanapun langkah tersebut seharusnya ditingkatkan kepada usaha yang lebih konkrit daripada sekadar mengkaji sejarah kepada meletakkan sejarah pada tempat yang sewajarnya. Ini mungkin dapat diusahakan oleh Kementerian Kesenian dan Warisan.
Setiap kali aku menulis dalam ruangan ini, aku akan kerap mengaitkan dengan kehidupan masyarakat di UK sebagai satu perbandingan. Bukan semua di sini bagus atau boleh diambil contoh tetapi sesetengahnya memang tidak boleh dinafikan kebaikan untuk dimanfaatkan bersama. Begitu juga sebaliknya. Apapun banyak yang kita boleh berbangga sebagai anak Malaysia walaupun ada juga sesetengah perkara yang terpaksa kita terima hakikat di sebaliknya.
Beberapa minggu sebelum aku berangkat ke UK, aku telah pergi menziarahi rumah Imam Majid Salleh di Kg Sengat, Ipoh yang digenangi air setiap banjir melanda kawasan rumahnya. Imam Majid juga salah seorang tokoh yang ditemuramah dalam filem tersebut. Kami datang dalam rangka lawatan ke kawasan-kawasan daripada Gerik hinggalah ke Tg Malim bagi menyelami permasalahan di peringkat kawasan. Sesampainya kami di rumah Imam Majid, kami dihidangkan dengan sedikit jamuan serta minuman oleh Imam Majid sendiri. Selepas itu, barulah kami mendengar ucapan semangat daripadanya yang sehingga sekarang cukup terkesan pada diri saya sendiri.
Sewaktu aku duduk mendengar pengalaman mereka di rumah mereka ketika itu, seperti mendengar kata derita, kalimah berdarah dan bicara sengsaranya berjuang. Beliau ditahan di bawah ISA selama enam tahun kerana terlibat menggerakkan kaum pekerja untuk menjayakan Hartal. Enam tahun bukanlah suatu waktu yang singkat. Bukan enam hari atau enam jam. Enam tahun!
Aku harap, kerajaan negeri Perak sekarang boleh memikirkan satu pengiktirafan kepada mereka yang telah dilupakan sejarah perjuangan mereka. Ini kerana kedua-dua nama yang disebut di atas adalah orang Perak. Banyak lagi orang Perak yang seangkatan dan senasib dengan mereka yang tidak dinamakan di sini. Hasrat MB Perak untuk menutup Kem Kamunting yang menjadi tempat tahanan tanpa bicara memanglah sangat wajar. Akan tetapi, yang lebih praktikalnya adalah menghargai mereka yang pernah ditahan di bawah ISA atas nama perjuangan kemerdekaan. Perak adalah salah satu pusat kebangkitan kemerdekaan yang aktif sewaktu menentang British. Oleh itu, biarlah kerajaan Perak mempelopori usaha ini dan diharapkan kerajaan negeri-negeri lain juga melaksanakan langkah yang sama.
Bantuan kepada orang termiskin ataupun mereka yang menghadapi bencana alam adalah penting. Ini kerana seperti ada satu kecenderungan di kalangan ahli politik bertindak sewaktu bencana alam dan bertemu dengan orang miskin. Mereka sangat mudah menyalurkan bantuan tanpa mengira keperluan. Tidak salah tetapi perlu difikirkan juga bantuan kepada mereka yang sudah lama berjasa.
nilai politik
Mereka memang tidak perlukan bantuan kerana mereka sudah menjalani kehidupan selama ini tanpa belas kasihan sesiapa. Akan tetapi, tanggung jawab sebuah kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyatnya, seharusnya difikirkan persoalan ini. Bantuan kepada mereka yang berjuang untuk kemerdekaan negara harus lebih diutamakan.
Mungkin mereka tidak mempunyai nilai politik semasa tetapi politik negara perlu dibina daripada sekarang. Jika tidak sejarah politik negara tidak seimbang dan tidak mencerminkan sejarah yang sebenarnya. Usaha ini adalah satu pelaburan ilmu yang penting dalam membentuk rupa wajah politik pada masa akan datang. Generasi akan datang bercerita berdasarkan apa yang ada pada hari ini. Oleh itu, kita mesti menyediakan prasarana ilmu itu untuk ditatapi oleh generasi akan datang.
Penghargaan itu bukanlah sekadar sebuah coretan dalam sekeping sijil atau cenderamata yang diberikan dalam majlis rasmi tetapi adalah jaminan kehidupan yang lebih baik seperti pemberian elaun saraan, kemudahan perubatan dan pengangkutan, prasarana dan kemudahan untuk menulis kembali sejarah yang masih diingati.
Langkah UKM yang menerbitkan buku memoir Imam Majid Salleh adalah satu langkah yang baik. Seharusnya mereka diberikan kemudahan untuk menulis pengalaman mereka untuk dikongsi sama dengan generasi akan datang.
Aku harap benar.- tajdid _
No comments:
Post a Comment