20081204

Projek CAR kenyataan Khir Toyo mengelirukan

Saidah Hairan

SHAH ALAM, 3 Dis (Hrkh) - Menteri Besar, Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim menyelar sikap Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo yang menyalahkan kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat terhadap masalah projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di Kampung Sungai Terentang, Rawang.

Beliau menegaskan masalah Kampung Sungai Terentang itu bukan perkara baru dan ia boleh diselesaikan lebih awal jika kerajaan Umno-BN di bawah pimpinan Khir Toyo dulu mempunyai pentadbiran yang efisien dan profesional.

"Saya sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah melarang projek CAR oleh TNB daripada diteruskan," tegasnya dalam sidang media, selepas mesyuarat exco jam 2 petang, di tingkat 20 Shah Alam.

Menurut beliau, dakwaan Khir Toyo yang menyalahkan kerajaan negeri kerana melewatkan projek CAR adalah tidak benar sekali dan lebih dikesali kenyataan beliau mengandungi fakta yang salah dan mengelirukan.

Perlu dijelaskan katanya, usaha pengambilan tanah yang melibatkan jaluran asal sepertimana yang dipohon oleh TNB sudahpun dilakukan dan diwartakan oleh kerajaan Negeri.

Tambahan pula tegas beliau keputusan mahkamah mengenai permohonan TNB untuk memasuki tanah yang terlibat juga sudah diputuskan.

"Sekarang TNB dan kerajaan Pusat hanya perlu membuat rundingan dengan penduduk kampung Sungai Terentang bagi meneruskan projek tersebut, tegasnya.

Menurut beliau, rakyat sudah mengetahui bahawa Kerajaan Negeri telah mengadakan pertemuan bersama penduduk Kampung Terentang sebanyak enam kali termasuk lawatan ke kawasan tersebut.

Katanya, setelah mengambil kira pandangan semua pihak Kerajaan Negeri telah mencadangkan dua pilihan iaitu menanam kabel bawah tanah kerana ianya tdak langsung melibatkan pengambilalihan tanah dan membenarkan penduduk kampung terus tinggal di kawasan tersebut.

Selain itu tambah beliau menggunakan laluan alternatif yang tidak melibatkan ramai penduduk.

Beliau berkata, bagi usaha tersebut Kerajaan Negeri telah memulakan proses mewartakan laluan alternatif (melalui borang 5A di bawah sek 4, Akta Pengambilan Tanah) untuk menjimatkan masa proses pengambilan tanah.

Kerajaan Negeri katanya bersedia memberi taklimat mengenai perkara itu dan jika pihak TNB dan Kerajaan Pusat merasakan cadangan tersebut tidak sesuai Kerajaan Negeri tidak ada hak untuk menghalang mereka.

Bagaimanapun, tegas beliau Kerajaan Negeri akan terus membantu dan menjaga kebajikan penduduk dan berharap Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi mengambil insiatif untuk berjumpa sendiri dengan masyarakat Kampung Sungai Terentang supaya projek itu boleh berjalan dengan cara yang terbaik._

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com