20081230

Umno PJS adakan mesyuarat khas esok

Umno Petaling Jaya Selatan (PJS) akan mengadakan mesyuarat khas malam esok untuk mengenalpasti jumlah sebenar yang keluar parti dan menyertai pembangkang bersama bekas ketuanya, Datuk Zahar Hashim minggu lalu.

Pemangku ketua bahagian, Datuk Raja Hapipudin Raja Nong Chik berkata, setakat ini beliau difahamkan, tidak sampai sepuluh daripada 25 ahli jawatankuasa bahagian itu yang keluar parti.

Beliau yang juga timbalan ketua bahagian berkata, selebihnya masih bersama Umno.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Raja Hapipuddin bagaimanapun berkata, angka sebenarnya, hanya akan dapat diperoleh selepas mesyuarat malam esok.

Beliau menegaskan demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Zahar Rabu lalu bahawa 28 ketua-ketua cawangan dan 13 ahli jawatankuasa bahagian mengikut jejak langkahnya menyertai PAS.

Zahar - yang mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter - secara rasmi menyertai PAS Rabu lalu.

Beliau telah menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang.

Dapat pejabat baru

Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian berkenaan awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Raja Hapipudin berkata, mesyuarat di sebuah hotel di Petaling Jaya itu akan turut membincangkan usaha memperkuatkan bahagian ekoran tindakan Zahar itu.

Mengulas tindakan Zahar keluar parti, Raja Hapipudin berkata: "Kawan saya itu telah membuat keputusan dan tiada sesiapa boleh menghalangnya".

"Saya hormati keputusan dia. Saya ucapkan selamat berjaya," kata Raja Hapipudin.

Bagaimanapun, tambahnya, tidak semua orang sesuai dengan parti baru itu.

"Mula-mula, apabila marah, semua wangi-wangi, yang busuk pun kata wangi," kata beliau secara berkias.

Raja Hapipudin turut memberitahu, Umno Petaling Jaya Selatan juga telah mendapat pejabat baru dan akan berpindah ke situ bulan depan.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com