20081229

KEROPOK LEKOR KUALA TERENGGANU

Apakah isu yang akan dimainkan oleh parti-parti politik yang akan bertanding di P36 Kuala Terengganu selepas penamaan calon 6 Januari ini? Apakah mereka akan menimbulkan isu nasional atau isu tempatan? Apakah mereka akan terus membuat serangan peribadi terhadap calon atau pemimpin tertentu seperti sebelum ini? Apakah mereka akan membuat kejutan tertentu seperti sumpah menyumpah atau keluar parti? Entahlah.

Inilah 1001 persoalan yang bermain di fikiran saya menjelang Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari ini. Persoalan yang sama pasti berlegar dalam pemikiran ahli politik Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) terutama ejen 007 yang bekerja keras merangka bahan ceramah yang akan diutarakan.

Ketika Pilihanraya Kecil Permatang Pauh, PR mendahului BN dari segi memainkan isu tertentu sebelum penamaan calon terutama yang paling terkemuka ialah kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, mengenai isu kuota 10 peratus kemasukan bukan Melayu ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ibarat pemancing yang handal, umpan Tan Sri Khalid dimakan oleh pihak tertentu terutama pengurusan tertinggi UiTM yang dilihat menyerang semula bekas pemimpin PNB dan Guthrie itu. Mereka menyifatkannya sebagai manusia yang tidak mengenang budi atau pemimpin politik yang sudah ketandusan isu.

Hakikatnya, TS Khalid tidak ketandusan isu tetapi mahu melontarkan isu berkenaan bagi menarik perhatian masyarakat kaum lain bahawa PR seolah-olah mahu memperjuangkan nasib mereka terutama dari segi kesaksamaan dalam pendidikan.

Namun di sudut hati TS Khalid, beliau tahu perkara itu mustahil boleh dilaksanakan apatah lagi beliau memahami mengenai dasar penubuhan UiTM dan apa yang terkandung dalam Perlembagaan mengenai hak-hak istimewa orang Melayu.

Ikan yang lapar atau kurang cerdik terus memakan umpan yang ditarik ke sana ke mari. Akhirnya isu itu menjadi besar dan sudah pasti dilihat oleh masyarakat bukan Melayu sebagai isu yang menidakkan keadilan dari segi pendidikan kepada semua kaum. Walaupun ia tidak benar tetapi cara dibawakan isu itu seolah-olah mereka adalah pejuang.

Ketika ini, isu Hudud dimainkan oleh PAS dengan kenyataan Husam Musa mengenai hasrat parti itu untuk melaksanakan hudud apabila memerintah di peringkat pusat. Sudah tentu cadangan itu mendapat bantahan oleh parti yang menganggotai PR terutama DAP.

Persoalannya, adakah bantahan ini hanya satu sandiwara atau usaha menabur umpan untuk dimakan oleh ikan-ikan yang lapar atau mabuk? Apakah DAP membuat bising-bising semata-mata mahu menarik perhatian lebih 9,000 pengundi Cina di P36?

DUNIATIGER

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com