20091007

Mohd. Isa temui pengundi di estet


MOHD. Isa Abdul Samad (tiga dari kanan) beramah mesra dengan Manikammah (kiri) ketika menemui pengundi India di Ladang Sua Betong, Port Dickson, semalam.


PORT DICKSON 4 Okt. - Sebaik sahaja diumumkan sebagai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang semalam, calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad terus masuk ke estet untuk menemui pengundi India di Sua Betong, di sini malam tadi.

Beliau yang mendapat tepukan gemuruh daripada sebahagian 581 pengundi di Ladang Sua Betong dan Ladang Sungai Ujong, turut diberi jaminan bahawa pengundi di situ akan memilih beliau sebagai wakil rakyat di DUN Bagan Pinang.

Mohd. Isa dalam ucapannya berkata, hubungan beliau dengan masyarakat India di situ, ibarat 'abang dan adik' kerana mereka telah lama mengenalinya bukan sahaja di kawasan berkenaan, tetapi ketika beliau menjadi Menteri Besar.

''Saya janji akan buat kerja dengan baik. Pengundi India sudah lama kenal saya. Kita sudah seperti abang dan adik.

''Saya tidak tipu, saya tidak lari. Walau kena hukum oleh parti UMNO dahulu, saya tetap duduk di Negeri Sembilan kerana saya sayang negeri ini. Saya sayang kepada semua rakyat, sama ada Melayu, Cina, India dan apa juga kaum," kata beliau pada majlis Malam Irama Theeba Ganangal di Ladang Sua Betong, kira-kira 15 kilometer dari sini.

Mohd. Isa juga berkata, jika dipilih pada pilihan raya kecil 11 Oktober nanti, beliau akan memberikan khidmat yang terbaik, bukan sahaja di Bagan Pinang, malahan di Teluk Kemang dan negeri ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), K. Velayutham dalam ucapannya berkata, Mohd. Isa disukai oleh masyarakat India di sini, malahan keterampilan yang bersahaja tetapi serius, membuatkan rakyat menghormati beliau.

''Mohd. Isa kembali semula dalam politik dan masyarakat India telah melihat banyak pembangunan yang dilakukan beliau sewaktu menjadi Menteri Besar.

''Amat jelas, prinsip mensejahterakan rakyat tanpa mengira kaum telah mengembalikan keyakinan masyarakat India terhadap BN. Parti IPF sentiasa berdiri di belakang Mohd. Isa dan akan memastikan BN mempertahankan kembali kerusinya di sini," ujar beliau.

Pada pertemuan itu juga, Mohd. Isa meluangkan masa kira-kira sejam berkenalan dengan pengundi yang hadir serta beramah mesra dengan mereka sebelum bergegas pula Kampung Baru Si Rusa untuk jamuan Hari Raya Aidilfitri.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com