Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
pengarang@utusan.com.my
LARUT 4 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembangkang akan terus menggunakan pelbagai taktik kotor dalam menghadapi kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri mahu jentera parti Barisan Nasional (BN) mematahkan tindakan tersebut dengan meningkatkan usaha mendekati dan memberi penjelasan kepada para pengundi kawasan terbabit.
''Kita beri amaran kepada ahli-ahli parti supaya menghadapi kemungkinan pihak parti lawan main kotor dan main kasar nak tunjuk belang.
''Maklum balas yang kita dapat, mereka berasa tertekan kerana calon kita (BN) jauh lebih popular," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Larut di Dewan Majlis Daerah Selama di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.
Menurut Muhyiddin, pembangkang akan menggunakan apa sahaja cara untuk memburuk-burukkan UMNO dan BN termasuk mengeluarkan surat-surat palsu mempertikaikan pencalonan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.
''Ada pihak yang mengeluarkan surat-surat palsu menyatakan ini (calon) telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT), ada calon MT tapi tak diterima. Mereka hendak buat seolah-olah ada percanggahan, timbul konflik sesama kita.
''Sebenarnya langsung tidak timbul debat soal calon, ini sudah diputuskan. Di pihak parti lawan, mereka nak ambil pendekatan kasar, gunakan cara begitu, hendak menggertak, menakut-nakutkan para pengundi," ujar beliau.
Semalam, Ahli MT UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang turut hadir pada proses penamaan calon, didakwa dipukul oleh penyokong parti pembangkang.
Muhyiddin berkata, selain taktik kotor dan kasar tersebut, beliau tidak menafikan pembangkang juga akan cuba 'menjual' isu Perak di DUN Bagan Pinang.
Bagaimanapun, katanya, tindakan mengeksploitasi isu-isu seumpama itu dilihat sebagai usaha stereotaip yang dapat diatasi dengan baik oleh jentera parti.
Ditanya sejauh mana taktik kotor pembangkang boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya kecil berkenaan, jelas Muhyiddin, walaupun BN mampu menang, tetapi mereka tidak boleh terlalu yakin dan membiarkan sahaja pembangkang.
Menjawab kemungkinan mesyuarat agung luar biasa MCA yang diadakan sehari sebelum hari pengundian mungkin menjejaskan peluang BN, beliau percaya pergolakan yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik oleh parti itu.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO dan BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan beliau telah menulis surat kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mengarahkan supaya memilih Mohd. Isa sebagai calon BN.
Katanya, surat yang menggunakan kepala surat rasmi Setiausaha Agung UMNO yang kononnya ditandatangani beliau itu, dipalsukan oleh pembangkang dalam usaha memburuk-burukkan hubungan pelbagai peringkat dalam parti.
No comments:
Post a Comment