20080813

Landskap politi berubah, peranan wakil rakyat tetap sama - Lam Thye

Oleh NURUL AIN HUSSAIN dan LEE YAN XIU

MUKADIMAH

Berikut temu bual wartawan mStar Online bersama aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye yang merupakan orang ternama dalam bidang politik dan aktiviti sosial negara ini. Lee merupakan bekas ahli DAP dan pernah menjadi Ahli Parlimen kawasan Bukit Bintang dari tahun 1974 hingga 1990.

Meskipun sudah meninggalkan bidang politik hampir dua dekad yang lalu Lee masih menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan pelbagai khidmat nasihat. Sempena perkembangan politik tanah air khususnya selepas keputusan pilihan raya umum ke-12 pada Mac lalu, mStar Online mendekati beliau untuk mengetahui perkembangan politik tanah air di samping pembabitan aktif beliau dalam aktiviti kemasyarakatan.

LEE LAM THYE... Perubahan yang berlaku adalah disebabkan oleh tahap kesedaran sivik masyarakat di Malaysia semakin meningkat.

Soalan: Bagaimana Tan Sri perubahan landskap politik hari ini?

LEE: Jika dibandingkan zaman saya menjadi ahli politik banyak perkara yang telah mengalami perubahan. Perkembangan teknologi seperti internet memudahkan tugas rakyat memperoleh maklumat berkenaan isu-isu global. Perubahan ini adalah sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan dan ia dikenali sebagai proses pemodenan.

Soalan: Apakah perubahan landskap politik ini didorong kesedaran rakyat terhadap isu-isu semasa?

LEE: Kini, rakyat bersikap terbuka dan berani menyuarakan pendapat mereka sebagai contoh ketika kenaikan harga minyak baru-baru ini. Ini merupakan satu senario yang perlu dihadapi oleh semua pihak. Hal ini didorong oleh tahap pendidikan masyarakat yang semakin meningkat.

Rakyat berani menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan tentang sesuatu isu yang mereka rasakan tidak adil. Perubahan yang berlaku adalah disebabkan oleh tahap kesedaran sivik masyarakat di Malaysia semakin meningkat.

Hal ini disebabkan oleh kesedaran mereka dalam isu-isu global termasuk politik. Ia telah mengubah persepsi masyarakat dan mereka tidak jahil berbanding dahulu. Ini merupakan impak yang perlu dihadapi atas pemodenan yang sedang dialami hari ini.

Rakyat semakin lantang menyuarakan pendapat mereka. Kita ambil contoh apa yang berlaku pada pilihan raya 8 Mac lalu. Tsunami politik yang melanda menunjukkan rakyat telah menyuarakan ketidakpuasan mereka melalui peti-peti undi ketika pilihanraya. Saya melihat keadaan ini terjadi kerana mereka tidak berpuas hati dengan sesuatu dasar yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Ini didorong oleh tahap advokasi rakyat yang mengakibatkan berlakunya perubahan landskap politik berdasarkan isu- isu yang berbangkit.

Perubahan ini tidak tertumpu dalam bidang politik, malah bidang sosial dan ekonomi turut mengalami perubahan berbanding dengan tahun 1960 hingga1980-an.

Di samping itu juga, perubahan politik yang berlaku ini dapat dikatakan sebagai suatu realiti politik yang perlu dihadapi oleh semua pihak. Ini kerana sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, kita perlu menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.

Soalan: Apakah faktor yang mendorong perubahan landskap tersebut?

LEE: Saya lihat perkembangan di luar negara turut memberi impak perubahan yang berlaku di negara ini. Oleh yang demikian kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang diwakili oleh pembangkang perlu peka dan prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat. Pihak pemerintah tidak boleh mengambil mudah terhadap tanggungjawab mereka. Usaha-usaha penambahbaikkan perlu dijalankan dari semasa ke semasa. Sementara itu, dasar -dasar sedia ada perlu diubah agar ia dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Soalan: Perbezaan peranan wakil rakyat dahulu dan sekarang?

LEE: Fungsi dan peranan wakil rakyat dahulu dan sekarang tidak banyak berubah. Mereka perlu menjadi pembela dan jurucakap dalam mengetengahkan isu-isu rakyat.
Perbezaannya adalah sama ada seseorang wakil rakyat dapat melaksanakan tugas dengan ikhlas dan jujur atau tidak.

Yang kedua dapat dilihat dari segi komitmen mereka dalam membantu rakyat. Akhirnya saya rasa ia bergantung kepada integriti seseorang wakil rakyat. Saya lihat rakyat memilih wakil mereka berdasarkan ciri-ciri tersebut. Soal intergriti merangkumi prinsip ketelusan dan amanah menjadi perkara yang amat kritikal pada hari ini.

Soalan: Pengalaman semasa menyandang Pengerusi Program Khidmat Negara (PLKN)?

LEE: Sumbangan saya kepada PLKN bermula pada tahun 2003 dengan memberi pandangan serta idea kepada pelaksanaan PLKN.
Selepas setahun PLKN dilaksanakan (2004), saya telah dilantik sebagai pengerusi untuk PLKN.

Selama lima tahun saya berkhidmat, saya telah menyumbangkan pelbagai idea dan cadangan untuk tujuan penambahbaikkan pelaksanaan PLKN agar ia dapat berada di dalam landasan yang baik. Bagi saya, menjadi pengerusi PLKN merupakan tugas yang paling mencabar.

Soalan: Selama lima tahun Tan Sri menyandang jawatan pengerusi PLKN, adakah pelaksanaan PLKN mencapai matlamatnya?

LEE: Saya rasa objektif itu dapat dicapai. Saya menganggap program ini berjaya membina keyakinan pelatih-pelatih. Berdasarkan kajian rawak yang dijalankan, didapati lebih 95% pelatih yang memberi respon sebegitu selepas menjalani PLKN.

Saya dapat tahu bahawa terdapat seorang bekas pelatih wanita PLKN berani untuk mengejar peragut apabila bagnya diragut.

Selain itu, melebihi 86% pelatih yang mengatakan program ini dapat memupuk integrasi antara kaum.

Saya dapat respons daripada pelatih yang mengatakan bahawa mereka dapat berkenalan dengan pelatih yang pelbagai bangsa.

Soalan: Apakah tindakan yang akan diambil untuk penambahbaikkan PLKN?

LEE: Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) telah membuat cadangan kepada ketua pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) untuk mengadakan program brainstorming dalam satu perjumpaan. Tujuannya dijalankan adalah membuat perbincangan mengenai masalah yang dihadapi dalam program PLKN selama lima tahun ini.

Selain JLKN dan MLKN yang menyertai dalam perbincangan tersebut, ibu bapa, bekas pelatih yang boleh berkongsi pengalaman mereka serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga perlu diundang dalam perbincangan itu agar dapat melihat masalah program itu dari pelbagai sudut.

Saya juga mengalu-alukan kepada semua pihak yang berminat untuk menyumbangkan idea mereka dalam brainstorming tersebut.

Soalan: Apakah persamaan serta peranan institusi-institusi yang dipilih untuk dijawat oleh Tan Sri?

LEE: Semua institusi yang saya kini berkhidmat mempunyai satu prinsip yang sama iaitu berkhidmat kepada masyarakat.

Soalan: Adakah Tan Sri lebih suka berkhidmat sebagai seorang sosial aktivis berbanding berkhidmat sebagai seorang wakil rakyat?

LEE: Saya suka berkhidmat kepada rakyat. Hampir 40 tahun saya berkhidmat untuk rakyat walaupun saya bukan lagi wakil rakyat dan saya akan terus berkhidmat kepada masyarakat jika kesihatan saya mengizinkan.

Ini bukan bermakna saya tidak menyempurnakan kehidupan saya semasa saya menjadi wakil rakyat pada tahun 1960, 70an sehingga 80an lalu. Baru-baru ini, terdapat orang yang bertanya kepada saya sama ada saya berminat untuk kembali ke dunia politik.

Jawapan saya adalah tidak. Alam politik telah lama saya tinggalkan. Bagi saya sekarang merupakan masa untuk menumpukan perhatian dalam melakukan kerja-kerja amal.

Kegembiraan itu tidak dapat dijelaskan dengan perkataan. Apabila orang datang kepada saya untuk mengucapkan terima kasih kepada saya dengan menciumkan tangan saya, saya rasa sangat gembira kerana dapat memberi bantuan kepada mereka.

Perkara yang saya lakukan ini adalah selaras dengan masyarakat penyayang dan ini merupakan salah satu cabaran Wawasan 2020 yang perlu dicapai.

Saya berharap apa yang dilakukan oleh saya dapat dicontohi oleh orang lain terutama golongan korporat dan bekas tokoh-tokoh politik yang berkemampuan untuk terlibat dengan berkongsi pengalaman mereka kepada generasi yang muda.

Kini, saya aktif berkhidmat dalam Yayasan SP Setia.

Setiap tahun, yayasan ini akan mengadakan penyampaian anugerah cemerlang kepada pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pelajaran serta memberi bantuan kepada pelajar miskin yang cemerlang dalam pelajaran dari sekolah rendah hingga ke IPTA. Kita juga membayar insentif kepada guru dengan itu mereka akan berasa khidmat mereka diberi pengiktirafan.

Yayasan ini juga akan menyumbangkan barangan keperluan kepada pelajar miskin seperti baju sekolah, beg dan juga membayar yuran tuisyen untuk mereka.

Selain itu, saya juga mengambil berat tentang pesakit buah pinggang yang miskin.

Pesakit-pesakit ini akan menjalankan proses dialisis yang sangat mahal, oleh itu saya cadangkan satu program subsidi untuk menolong mereka oleh Yayasan SP Setia.
Pada 15 Ogos nanti, saya akan mengumumkan program itu sempena hari kemerdekaan Malaysia.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com