LING HEE KEAT (kiri) bersama) ayahnya, Tun Dr. Ling Liong Sik (tengah) dan abangnya, Ling Hee Leong dua tahun lalu.
SEMANGAT generasi baru! Itulah yang dapat dilihat pada diri Ling Hee Keat, 36, - anak bongsu bekas Presiden MCA Tun Dr. Ling Lion Siok, yang memenangi jawatan Ketua MCA Bahagian Segambut pada pemilihan peringkat bahagian pada 27 Julai lalu.
Hee Keat yang memegang jawatan Ketua Pemuda Bahagian Segambut selama dua penggal sebelum ini mendapat sokongan daripada ahli-ahli MCA Segambut untuk bertanding jawatan itu setelah penyandangnya, Datuk Khoo Lay Hin mengambil keputusan untuk tidak mempertahankannya.
Hee Keat menewaskan pencabarnya, Timbalan Ketua Bahagian, Tan Hoe Chiow dengan memperoleh 117 undi berbanding Tan, 62 undi.
mStar Online baru-baru ini menemu bual Hee Keat yang juga seorang ahli perniagaan di pejabatnya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Ternyata darah seorang pemimpin yang diwarisi daripada bapanya tidak disia-siakan oleh anak muda apabila beliau menjelaskan tentang hasratnya untuk membawa perubahan dengan memberi penekanan kepada aspek politik terutama hubungan yang lebih tulen dan erat dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi memastikan suara masyarakat Cina di negara ini dapat didengar dengan lebih baik.
Ikuti temu bual mStar Online dengan beliau.
MSTAR: Bagaimana anda boleh mengambil keputusan untuk bertanding jawatan Ketua MCA Segambut kerana anda sebelum ini memegang jawatan Ketua Pemuda?
HEE KEAT: Sebab saya bertanding adalah kerana pengerusi bahagian sebelum ini, Datuk Khoo Lay Hin yang telah memegang jawatan itu selama empat penggal (12 tahun) mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan itu. Selepas berbincang dan mendapat nasihat daripada ahli-ahli MCA Segambut, mereka menggalakkan saya untuk bertanding jawatan yang lebih tinggi kerana pada ketika itu, saya telah memegang jawatan Ketua Pemuda Bahagian selama dua penggal (enam tahun) sejak saya berumur 30 tahun. Kebanyakan ahli jawatankuasa Pemuda lebih tua daripada saya. Pada tahun ini, saya sudah berusia 36 tahun dan saya rasa ini adalah masa yang paling tepat untuk memberi peluang kepada mereka untuk mengambil alih jawatan Ketua Pemuda itu.
Adakah bapa anda turut mempengaruhi keputusan bertanding jawatan tersebut?
HEE KEAT: Beliau tidak mempengaruhi saya untuk bertanding jawatan ini secara khusus. Beliau hanya menasihatkan saya... jika saya rasa ia (bertanding) perlu, saya dapat mencari masa, mempunyai minat untuk terlibat dengan lebih mendalam dalam parti, mahu melihat bagaimana politik negara dan tahu apa yang boleh dibuat untuk kepentingan rakyat, beliau menggalakkan saya untuk melangkah lebih jauh dalam parti. Pada saya, ia adalah nasihat yang amat berguna daripada seorang ayah kepada anaknya memandangkan beliau mempunyai pengalaman yang amat luas dalam politik. Bagaimanapun, seperti saya katakan tadi, dia tidak secara khusus mempengaruhi saya bertanding jawatan ini.
Adakah kemenangan anda disebabkan keinginan akar umbi untuk melihat muka-muka baru dalam kepimpinan MCA?
HEE KEAT: Bahagian Segambut adalah salah satu daripda 191 bahagian. Ramai golongan muda berjaya ke jawatan yang lebih tinggi sama ada dalam Pemuda atau badan utama MCA. Saya rasa, ini (kejayaan) disebabkan dalam masa enam tahun saya bekerja dengan golongan muda ini, kami semua membesar, belajar dan mendapat pengalaman yang banyak kerana kami memang aktif (dalam politik). Justeru, minat yang mendalam itu memang sudah sedia wujud kerana kesediaan untuk menyumbang dan mahu memberi lebih lagi kepada parti telah mula berputik sejak enam tahun lalu. Justeru saya rasa, mungkin kemenangan ini adalah hasil usaha atas apa yang kami mampu capai.
Adakah anda berminat untuk bertanding jawatan di peringkat pusat?
HEE KEAT: Pada masa ini, perbincangan sedang berjalan di peringkat semua negeri..Perak, Selangor, Negeri Sembilan..semua sedang membincangkannya. Begitu juga dengan kami di Wilayah Persekutuan. Sejak lebih tiga tahun lalu, saya percaya, semua Ketua Pemuda dan ahli MCA di Wilayah mempunyai hubungan kerja yang amat baik. Kami menyokong antara satu sama lain sama ada dari segi aktiviti atau pun aspirasi. Justeru, menjadi harapan saya yang saya percaya akan menjadi kenytaan bahawa kami semua akan duduk bersama-sama untuk melihat dan mengenal pasti pasukan terbaik yang boleh diletakkan di hadapan bagi Wilayah kerana selepas ini, Wilayah juga mesti mengambil bahagian di peringkat pusat. Lebih kuat pasukan kami, lebih banyak yang boleh dicapai dan dapat disumbangkan di peringkat pusat. Pada masa ini, saya salah seorang daripada empat Naib Presiden untuk Wilayah dan juga ahli jawatankuasa peringkat pusat.
Apakah perubahan yang ingin anda lakukan dalam MCA di peringkat bahagian dan pusat?
HEE KEAT: Di peringkat bahagian, saya baru sahaja diberi peluang untuk berkhidmat sebagai pengerusi Bahagian Segambut. Justeru, saya mahu meneruskan apa yang telah dibina oleh pemimpin sebelum ini, Datuk Khoo. Pada hemat saya, beliau menjalankan tugas dengan amat baik. Justeru saya akan meneruskan usaha beliau selain ‘menambah’ dengan cara saya sendiri iaitu memberi lebih fokus kepada aspek politik termasuk mewujudkan lebih persefahaman dan hubungan kerja yang lebih baik dengan parti komponen seperti Gerakan, MIC dan Umno di Segambut.
Saya juga mahu para pemimpin di peringkat nasional bukan sahaja daripada MCA malah dari mana-mana parti sekali pun untuk bercakap dengan kami. Beritahu kami apa yang berlaku. Kadangkala, jika hanya mendengar dari pemimpin MCA, mungkin fokus kita agak sempit. Justeru, adalah lebih baik jika kita ada pemimpin Umno, MIC dan Gerakan (untuk bercakap). Seperti muzakarah antara Umno dan PAS, pemimpin MCA tidak tahu-menahu mengenainya. Kami hanya tahu apabila Pak Lah (Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mengumumkan yang perjumpaan Umno-PAS telah diadakan sebanyak tiga kali. Sebenarnya kami agak terkejut (dengan kenyataan itu) kerana kami sebagai parti komponen BN tidak diberitahu. Justeru, saya mahu menambah elemen politik supaya ahli-ahli MCA Segambut mempunyai kefahaman yang lebih baik tentang politik negara.
Sementara itu, di peringkat pusat, saya percaya dalam pada pemimpin-pemimpin MCA hari ini cuba untuk mengekalkan hubungan kerja yang baik dalam BN, kita juga perlu menjadi sedikit lantang dalam menyuarakan perasaan dan juga suara akar umbi. Pada masa lalu, perbincangan banyak dilakukan secara tertutup. Kebaikannya adalah kita tidak 'mengejutkan' rakyat dan tidak membangkitkan sensitiviti secara terbuka. Walaupun cara itu agak berkesan pada masa lalu, tetapi kini, dengan kebebasan mendapatkan maklumat daripada laman web, blog dan sms yang begitu meluas, kita tidak boleh menyembunyikannya lagi. Rakyat kini lebih matang dalam pemikiran mereka. Mereka membaca, menganalisa dan berbincang sesama sendiri. Menyelesaikan masalah secara tertutup mungkin boleh dilakukan bagi isu yang amat sensitif, mendesak dan penting tetapi tidak bagi semua isu. Rakyat dan ahli MCA tidak begitu menerima cara itu lagi. Justeru, untuk melaksanakan proses itu, kita mesti ada satu pendekatan yang benar dan tulen antara parti kompoen BN... bukan hanya bercakap tetapi mesti direalisasikan. Saya pasti dengan cara itu, BN akan dapat meraih kembali sokongan daripada rakyat.
Apa komen anda mengenai sokongan kepada MCA yang menurun dalam pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu?
HEE KEAT: Saya percaya keputusan pilihan raya 8 Mac lalu berpunca daripada rakyat yang menyuarakan kekecewaan mereka. Keputusan itu agak mengejutkan saya. Rakyat menyatakan rasa bosan mereka kepada kerajaan sekarang . Mereka merasakan masalah mereka tidak diberi perhatian sepenuhnya. Pada saya, apa yang penting adalah perasaan dan persepsi rakyat. Persepsi rakyat ke atas kerajaan kini adalah masalah-masalah mereka (rakyat) tidak diberi perhatian dengan baik... contohnya masalah rasuah dan pembaziran. Jika bercakap tentang MCA dan masyarakat Cina, mereka fikir MCA tidak melakukan yang secukupnya untuk bersuara bagi pihak mereka. Mereka fikir ahli MCA dibuli oleh parti komponen lain. MCA tidak ada untuk bercakap bagi pihak mereka. Saya percaya ini (keputusan pilihan raya) bukannya disebabkan kekuatan pembangkang yang membolehkan mereka mendapat undi tetapi masyarakat Cina mahu menyampaikan mesej yang mereka tidak gembira dengan MCA.
Untuk memenangi semula hati mereka, tunjukkkan kepada mereka yang kita benar-benar memberi tumpuan kepada masalah mereka. Hal-hal seperti ketelusan, bagaimana menyelesaikan rasuah, penderitaan rakyat akibat kenaikan harga barang... kita perlu menumpukannya secara berwaspada dan efektif. Itulah caranya... kita tidak boleh menyembunyikannya dan melayan mereka seperti kanak-kanak lagi kerana mereka sudah matang.
Bagaimana pula pandangan anda berhubung skandal seks yang dihadapi beberapa pemimpin MCA?
HEE KEAT: Bila kita menetapkan satu tahap yang tinggi untuk dicapai, orang akan mula menggunakan taktik kotor untuk menjatuhkan kita. Sebenarnya saya tidak ada jawapan yang tepat untuk persoalanan ini. Ia sebenarnya terpulang kepada rakyat untuk membuat keputusan. Mereka boleh memilih sama ada mahukan pemimpin yang yang boleh menyelesaikan masalah dan membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi diri tetapi bermasalah atau sebaliknya. Tentunya kedua-dua faktor memainkan peranan penting tetapi akhirnya, rakyat mesti membuat pilihan. Justeru tiada jawapan salah atau betul dalam persoalan ini.
Berhubung skandal seks yang membayangi pemimpin MCA, sama ada yang dihadapi Datuk Seri Chua Soi Lek tahun lalu dan tuduhan yang tidak ada bukti kepada Datuk Wee Kah Soon, pada saya, untuk menjadi pemimpin, kita perlu tabah menghadapi apa jua kemungkinan kerana kita adalah public figure. Tapi seperti yang saya katakan tadi, akhirnya rakyat perlu memilih sama ada memilih pemimpin yang benar-benar bersih tetapi tidak boleh memimpin atau pemimpin yang mempunyai masalah peribadi tetapi boleh memimpin dan membawa masyarakat ke satu tahap yang lebih baik.
Apakah pandangan anda mengenai kepimpinan muda dalam MCA?
Sejak 15 tahun lalu, kestabilan politik dan ekonomi kita menyebabkan negara berkembang dengan cepat tetapi sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pelabur telah berkurangan, pasaran saham jatuh dan hal-hal yang berlaku ini tidak baik untuk rakyat. Saya hanya ingin nyatakan bahawa pemimpin-pemimpin ini perlu menjalankan tugas mereka. Contohnya Pakatan Rakyat telah diberi mandat untuk mentadbir lima negeri, jadi tadbirlah negeri-negeri itu dengan baik. Jika terbukti mereka dapat melaksanakannya, mungkin pada pilihan raya akan datang, mereka mampu menubuhkan kerajaan. Kepada BN yang sudah kehilangan lima negeri pula, tadbirlah negeri yang masih menjadi milik kita dengan baik kerana rakyat sudah memberi mesej yang mereka tidak gembira dengan apa yang dilakukan selama ini. Tukar pendekatan, dengar masalah dan buat yang lebih baik untuk rakyat supaya kita boleh mendapat kembali dua pertiga majoriti dalam pilihan raya akan datang.
Saya percaya (Datuk Seri) Anwar Ibrahim adalah punca sebenar ketidakstabilan yang berlaku dalam negara. Penubuhan Pakatan Rakyat mungkin perkara yang baik untuk mewujudkan kematangan politik negara kerana melibatkan dua parti (BN dan Pakatan Rakyat) tetapi apabila beliau mengumumkan bahawa ada 30 ahli Parlimen akan lompat parti, ahli Parlimen Sabah akan menyertainya... itu semua menyebabkan ketidakstabilan dan rakyat melihat ia sebagai tidak beretika kerana rakyat mengundi berdasarkan parti. Mereka tidak mahu wakil yang mereka pilih melompat ke sana dan ke sini hanya kerana mahu memenuhi hasrat seorang pemimpin yang mahu membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri. Anda (Anwar) perlu buktikan yang anda boleh mentadbir lima negeri di bawah Pakatan Rakyat dan mungkin pada pilihan raya akan datang, anda akan dilantik sebagai Perdana Menteri. Kenapa begitu tidak sabar-sabar sehinggakan mahu menubuhkannya (kerajaan) dalam masa tidak sampai setahun seperti tarikh yang disebutkannya iaitu 16 September.
Bagaimanapun, saya tidak pasti dengan kebenaran 16 September itu kerana tidak tahu apa rancangan beliau tetapi saya tidak bersetuju sama sekali kerana rakyat telah membuat pilihan. Justeru, beliau harus mendengar suara rakyat. Buktikan dulu dengan lima negeri yang ada. Jangan lakukannya kerana diri sendiri tetapi lakukan untuk rakyat.
Apa komen anda berhubung pilihan raya Permatang Pauh?
HEE KEAT: Ia tidak mengejutkan kerana kita sudah jangka Anwar pasti berhasrat untuk kembali semula ke Parlimen dan pastinya beliau akan memilih kerusi yang paling selamat untuk dirinya. Pada pandangan saya, Anwar akan memenangi kerusi itu. Bagaimanapun, ia adalah satu situasi yang amat baik apabila kita akan dapat melihat penerimaan rakyat di kawasan itu melalui jumlah majoriti yang akan didapati dan sesengit manakah pertarungan itu.
Pendapat tentang peralihan kuasa dalam Umno antara Presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010?
HEE KEAT: Itu adalah langkah yang baik selepas pilihan raya 8 Mac lalu. Walaupun apa pun yang diperkatakan, pada saya kepimpinan perlu memikul tanggungjawab terhadap keputusan pilihan raya itu. Contohnya, Datuk Seri Ong Ka Ting yang telah melepaskan jawatannya berikutan prestasi buruk MCA. Memang perlu ada perubahan kuasa selepas prestasu teruk kerana rakyat mahukan perubahan.
Berhubung jangka sama dua tahun yang ditetapkan untuk peralihan itu, saya bukanlah orang yang layak untuk membincangkannya kerana Umno pasti tahu mengapa mereka memilih tempoh itu. Bagaimanapun, seperti pendapat sesetengah pemimpin Umno sendiri, dua tahun itu adalah tempoh yang agak lama dalam politik. Dalam politik, seminggu itu pun sudah lama. Macam-macam boleh berlaku. Bagaimanapun, memang perlu ada satu tempoh yang ditetapkan supaya ia dapat diterima oleh rakyat.
HEE KEAT: Pada saya, mereka cepat matang dan lebih lantang bersuara kerana mereka tahu, itu adalah kekurangan pada kepimpinan masa lalu. Bagi Pemuda, bagi umur yang melebihi 45 tahun, mereka tidak boleh lagi berada dalam sayap itu tetapi saya percaya, apabila mereka berada di badan utama MCA, mereka akan berkhidmat dengan baik dan menyumbang kepada negara. Cuma saya harap, tidak akan ada elemen-elemen luar yang akan mempengaruhi mereka seperti politik kotor. Justeru, mereka akan fokus mengapa mereka menceburi politik dan dapat berkhidmat dengan baik kepada rakyat.
Apakah harapan anda kepada bakal Presiden MCA?
HEE KEAT: Saya harap beliau boleh membina hubungan kerja yang tulen dan sangat baik dengan parti-parti komponen BN yang lain terutamanya dengan Umno supaya kita boleh mengambil kira dan melihat apa sahaja perkara yang dibangkitkan antara satu sama lain terutama yang membabitkan kepentingan rakyat. Bila saya turun padang untuk mendengar suara akar umbi, mereka berasa tertekan kerana merasakan diri mereka tidak dilayan sama rata dan tidak dijaga dengan baik. Selalu diperkatakan yang kita bekerjasama tetapi mereka tidak merasainya. Mungkin ia ada tetapi mereka tidak merasainya melalui tindakan yang diambil.
Bagaimana dengan pemimpin-pemimpin MCA yang telah menyatakan kesediaan mereka untuk bertanding jawatan-jawatan di peringkat tertinggi?
HEE KEAT: Setakat ini, hanya Datuk Ong Tee Keat dan Datuk Chua Jui Meng yang mengumumkan kesediaan mereka untuk bertanding sebagai Pengerusi MCA sementara Datuk Liow Tiong Lai, Datuk Chua Soi Len dan Datuk Ng Yen Yen hanya memberitahu yang mereka hanya mahu bertanding jawatan tinggi dalam parti tetapi masih belum memutuskan jawatan sebenar.
Selepas pemilihan di peringkat Bahagian yang lalu, kita sudah mula mendapat gambaran parti mana yang begitu berjaya di Bahagian masing-masing dan pada 6 September ini, akan berlangsung pemilihan di peringkat negeri bagi Wanita dan Pemuda. Sehingga tarikh itu, kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas dan lebih banyak lagi yang akan ke hadapan dan membuat pengumuman (untuk bertanding jawatan).
Siapa calon kegemaran anda?
HEE KEAT: Saya masih belum membuat keputusan tetapi saya dapat melihat potensi yang besar pada Datuk Seri Ong Ka Ting dan Tan Sri Chan Kong Choy kerana gaya kepimpinan mereka yang dinamik dan memberi pilihan yang luas kepada perwakilan. Potensi juga ada pada Datuk Ong Tee Keat serta Datuk Dr Ng Yen Yen. Golongan yang lebih berpengalaman seperti Datuk Dr Chua Soi Lek dan Datuk Chua Jui Meng juga mempunyai peluang tetapi kita juga jangan lupa potensi yang ada pada pemimpin muda seperti Datuk Liow Tiong Lai dan Datuk Dr Wee Ka Siong.
Pandangan engenai situasi politik negara pada masa ini?
HEE KEAT: Situasi politik dalam negara kini tidak stabil. Bila tidak stabil, rakyat yang menderita kerana pergaduhan yang berlaku antara parti menyebabkan mereka (parti) tidak fokus untuk mentadbir negara. Pelaburan juga berkurangan kerana pelabur mengambil langkah tunggu dan lihat dan apabila politik kita kembali stabil , mereka (pelabur) mungkin akan datang semula.
No comments:
Post a Comment