Wed | Aug 13, 08 | 11:17:59 am MYT
Minggu lalu saya menelefon Dinsman setelah membaca tulisannya, Komitmen mempromosi perkara baik di Harakah (edisi 8-14 Ogos).
Agak bertahun-tahun lamanya masa berlalu, sebelum, tanpa sebab jelas, saya menghubunginya kembali. Sewaktu saya mula mendekati dunia penulisan lama dulu, Dinsman sudahpun dikenali sebagai tokoh penulis drama.
Saya masih ingat pada satu malam (mungkin awal 1990-an) kami berdua minum di warong mamak teh tarik berhadapan Federal Hotel di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Waktu itu saya sedang membaca sebuah novel karangan Frederick Forsythe dan mungkin ini mendorong beliau bertanya buku macam mana saya selalu baca.
Tentu sekali antara buku yang saya sebut pada malam itu ialah The Death of A Salesman karya Arthur Miller dan Waiting For Godot karya Samuel Beckett � dua buah buku drama yang menjadi monumen kepada dunia teater absurd.
Sebagai peneroka, pelopor dan pendukung teater absurd Malaysia sudah tentu karya tersebut tidak asing bagi beliau. Dan tentulah tidak layak bagi saya untuk memperkatakan betapa terasanya elemen stream of conciuosness dalam karya drama yang ditulis oleh Dinsman sendiri, setidak-tidaknya ketika itu di mana saya turut berkesempatan membacanya.
Begitupun, semua itu adalah sebuah dunia lain, dunia yang agak terasing dari dunia politik dan dunia memartabatkan kebenaran dalam Harakah yang kini saya dan Dinsman berkongsi setidak-tidaknya dari segi sumbangan penulisan.
Menerusi tulisan beliau dalam edisi Harakah yang lalu (edisi terakhir keluaran dua kali sebulan), Dinsman menceritakan kritikan seorang cerpenis terhadap rencananya yang turut mempromosikan VCD Siti Fatimah Mukhtar serta tempahan VCD berkenaan dan permintaan pembaca beliau yang mahukan Dinsman membuat promosi buku yang baik.
Justeru antara buku yang disebut oleh Dinsman dalam rencana tersebut termasuklah novel Siddhartha (ditulis dalam bahasa Jerman dan terjemahan ke Bahasa Melayu oleh ITNM, mungkin dari naskah bahasa Inggeris), yang merupakan karya signature Hermann Hesse.
Walaupun Siddhartha adalah sebuah novel alegorikal seperti The Old Man and The Sea (Ernest Hemingway) atau Arus (Anwar Ridhwan), namun ia berlatar belakangkan agama Buddha.
Ia menceritkan perjalanan spiritual seorang India bernama Siddhartha di zaman Buddha. Walaupun Buddha sebenarnya adalah anak raja bernama Siddhartha Buddha namun watak utama Siddhartha dalam buku itu bukan Buddha kerana Buddha sebaliknya dirujuk sebagai Gautama.
Sewaktu buku itu mula diterbitkan pada tahun 1922, tidak ada rekod menunjukkan ia dibantah oleh panganut agama Buddha termasuk Dalai Lama sendiri.
Selain daripda nilai sasteranya yang tinggi, novel tersebut tidak membawa unsur menghina agama Buddha. Namun dalam budaya sastera dan dunia perbukuan Barat hari ini, hanya buku yang menghina Islam seperti The Satanic Verses (Salman Rushdie) atau A Bend In The River (V.S. Naipul) sahaja yang perlu diberikan promosi besar-besaran.
Buku memuji Islam secara am seperti In The Rose Garden of the Martyrs: A Memoir of Iran (Christopher de Bellaigue) kurang dipromosikan oleh Barat berbanding dengan buku yang memaparkan pertembungan budaya Barat dan Islam seperti Reading Lolita in Tehran (Azar Nafisi).
Minggu lalu Reuters melaporkan penerbit Random House di New York telah membatalkan penerbitan sebuah novel biografi mengenai Aisyah r.a. atas alasan kononnya takut penerbitan novel berkenaan bakal mengundang tindakan ganas umat Islam.
Novel berjudul The Jewel of Medina itu dikatakan menceritakan kehidupan Aisyah r.a. sejak ia bertunang dengan Nabi Muhammad SAW sehinggalah baginda wafat.
Menurut pengarangnya, Sherry Jones, �Saya telah dengan sengaja dan dengan penuh kesedaran menulis sesuatu yang mulia dan dihormati tentang Islam dan Nabi Muhammad (SAW) �Saya melihat buku saya akan menjadi jambatan-penghubung��
Dengan mengandaikan novel yang ditulis oleh pengarang bukan Islam ini bakal memberikan gambaran yang baik terhadap Islam di mata orang bukan Islam, maka kita melihat mungkin itulah sebab utama Barat enggan menerbitkan buku berkenaan atas alasan kononnya orang Islam bakal bertindak ganas.
Penulis beragama Islam dan juga sarjana, Asra Nomani menulis dalam Wall Street Journal mengenai pembatalan penerbitan novel berkenaan: �The series of events that torpedoed this novel are a window into how quickly fear stunts intelligent discourse about the Muslim world.�
Kebimbangan terhadap kebenaran dibawa oleh Islam nampaknya sudah menjadi satu xenofobia yang menjadi momok kepada Barat sehinggakan bukan sahaja media Barat digunakan bagi menyebarkan mesej ketakutan terhadap Islam ini tetapi turut juga melibatkan penganjuran forum seperti Kongres Anti-Pengislaman Jerman yang dirancang untuk diadakan di Cologne, Jerman pada 19-20 September ini.
Penyakit xenofobia ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sekiranya terlalu emosional dan suka merumuskan sesuatu tanpa usul periksa.
Mungkin itulah antara sebab mengapa Dinsman belum lagi mahu mencadangkan kepada sesiapa tentang pembacaan buku seperti Siddartha kerana menurutnya, �ada perkara lain yang saya fikir perlu didahulukan.� - (tmj)_
No comments:
Post a Comment