20090902

'Buang politik tak matang'



NAJIB menyampaikan sumbangan kepada pelajar Maahad Tahfiz Habibiah Kuang pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di Dewan Merdeka Kampung Setia, di Kuang, semalam.

Najib mahu pemimpin amal perbincangan berdasar logik

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, sudah tiba masanya semua pihak khususnya mereka yang berstatus pemimpin mengamalkan politik lebih matang demi masa depan negara yang lebih cemerlang.

Perdana Menteri berkata, daripada terlalu kerap terperangkap dengan kata-kata retorik yang terburu-buru dan kesat, mereka sepatutnya beralih kepada perbincangan berdasarkan logik.

"Untuk berdepan cabaran serta perubahan, negara amat memerlukan kekuatan dan semangat nenek moyang kita yang mendorong mereka ke arah mendapatkan kemerdekaan.

"Semangat seperti yang ditunjukkan merekalah yang kita perlukan bagi masa depan lebih baik bagi generasi seterusnya. Cara mereka mencapainya adalah dengan bekerjasama dalam nada serentak," katanya dalam blog 1Malaysia bertajuk Renungan Pada Hari Merdeka di sini, semalam.

Najib juga berkata, satu ciri membezakan Malaysia dan yang membuat ia berbeza ialah kepelbagaian masyarakat di negara ini.

"Kepelbagaian ini mengukuhkan negara kita. Ini diperlihatkan dalam cara kita membangun dan dalam persaingan ekonomi kita," katanya dalam jawapannya kepada soalan bagaimana beliau menilai Malaysia dari segi hubungan kaum, pembangunan, persaingan ekonomi dan kematangan berpolitik selepas 52 tahun merdeka.

Kepada soalan lain, Najib berkata, sejak awal negara sentiasa menekankan kepada kerjasama membina masa depan yang lebih cemerlang serta dikongsi bersama.

"Kita juga tahu ada yang akan menggunakan perbezaan untuk memecahbelahkan kita. Bila kita berada dalam keadaan terbaik, kita menentang mereka yang cuba memporak-perandakan kita.

"Pada masa yang lain pula, kita tidak sentiasa dapat berpegang pada cita-cita itu. Ia adalah mengenai perpaduan dan berdiri sebagai satu bangsa yang bersatu dan merdeka.

"Marilah kita mengingatkan diri kita betapa beruntungnya kita mempunyai rakyat Malaysia lain daripada segenap lapisan kehidupan dan budaya, sama-sama berganding tangan untuk hari esok yang lebih cemerlang," katanya.

Perdana Menteri juga ditanya mengenai cabaran bagi menyampaikan mesej 1Malaysia kepada pelbagai kumpulan dan masyarakat di Malaysia secara berkesan.

Najib berkata, satu daripada matlamat 1Malaysia adalah untuk menggalakkan perbincangan terbuka dan jujur serta reaksi khalayak ramai sejak pembentukan negara yang memperlihatkan betapa ia terabai.

"Semua ini adalah isu penting kepada rakyat. Tetapi, jika anda lihat kepada apa yang ingin dicapai 1Malaysia, anda akan dapati persamaan dengan apa diusahakan oleh pemimpin yang mempelopori negara kita," katanya.

Mengenai kenangan kemerdekaan yang benar-benar bermakna kepada beliau, Perdana Menteri berkata: "Sebagai anak kepada seorang Perdana Menteri dan anak saudara kepada Perdana Menteri lain, kesetianegaraan dan berkhidmat kepada negara sentiasa menjadi pengaruh yang sangat kuat.

Sementara itu, pada majlis berbuka puasa di Masjid Jamek Al-Hikmah Kuang, dekat sini, semalam, Najib berkata, gagasan 1Malaysia adalah bersifat Islamik dengan berteraskan keadilan kepada semua pihak, termasuk bukan Islam.

Katanya, matlamat dan pengisian 1Malaysia adalah untuk menegakkan keadilan kepada rakyat tanpa sebarang pilih kasih.

Perdana Menteri kemudian menunaikan solat tarawih dengan penduduk kawasan berkenaan. Hadir sama, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com