20090903

Kedudukan Adun Pelabuhan Klang lepas raya

SHAH ALAM: Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, daripada Parti Keadilan Rakyat akan diketahui selepas hari raya nanti, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, Badrul Hisham telah diberikan surat tunjuk sebab dan perlu menjawabnya dalam tempoh 14 hari mengenai ketidakupayaan beliau menjalankan tugas sebagai Adun dengan berkesan.

Bagaimanapun, Abdul Khalid enggan menjawab ketika ditanya sama ada Badrul Hisham akan dikenakan tindakan disiplin atau kerusi yang disandangnya itu akan dikosongkan.

"Keputusan akan dibuat selepas mengambil kira perbincangan yang diadakan dengan Badrul sendiri dan Speaker Dewan Negeri, Teng Chang Khim," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat esco kerajaan negeri di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata, Badrul Hisham kini dalam keadaan uzur dan tidak dapat bersama-sama beliau dalam program Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berbuka puasa bersama rakyat di sebuah masjid di Pandamaran minggu lepas.

"Badrul masih lagi menerima elaun dan gajinya walaupun tugas beliau sebagai wakil rakyat dibantu oleh rakan-rakan Adun lain," katanya. - Bernama

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com