20090902

Pengurusan PKFZ telalu lemah: PAC

KUALA LUMPUR; Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) mendapati pengurusan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) amat lemah manakala banyak amalan pengurusan projek besar yang sepatutnya ada tidak wujud.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid, berkata kesimpulan itu diperoleh selepas bekas Pengerusi PKFZ yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelabuhan Klang, Datin Paduka OC Phang, selesai memberi keterangan.

"Amat jelas dalam perbincangan tadi, pengurusan projek ini amat lemah dan banyak amalan pengurusan projek besar yang sepatutnya ada dalam profesion pengurusan projek, nampaknya tidak ada.

"Oleh kerana itu, kita dapati peningkatan kos begitu ketara dan menjadi satu masalah yang hari ini pun menjadi satu isu yang besar yang dihadapi kerajaan," katanya.

Antara kelemahan paling ketara, kata Azmi, ialah ketiadaan unjuran pendapatan dan perbelanjaan bagi projek sebesar PKFZ.

"Jika tak ada unjuran ini, kita seolah-oleh berjalan dalam gelap dan ini adalah satu projek yang mengandaikan perolehan pendapatan bagi membolehkan bayaran balik dibuat kepada pihak yang mengeluarkan wang. Jadi kalau tak ada unjuran pendapatan dan perbelanjaan atau aliran tunai, kita tak tahu di mana kesilapan kita," katanya.

PKFZ, sebuah hab pemindahan ke kapal yang dibina di tapak seluas 405 hektar di Pelabuhan Klang, diselubungi kontroversi berikutan pendedahan bahawa kos pembangunannya melonjak daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

LPK membeli 400 hektar tanah PKFZ di Pulau Indah daripada Kuala Dimensi Sdn Bhd dengan kos RM25 bagi setiap kaki persegi. Syarikat itu kemudiannya dilantik sebagai pemaju projek berkenaan.

Azmi berkata, wakil-wakil kerajaan dalam Lembaga Pengarah PKFZ juga didapati tidak mewakili kerajaan seperti yang sepatutnya kerana ada antara mereka yang hadir pada mesyuarat lembaga pengarah PKFZ adalah semata-mata untuk mewakili Ketua Setiausaha kementerian masing-masing.

"Ini bermakna wakil-wakil kerajaan juga tidak mengambil berat dan melepaskan sahaja kepada pengurusan, dan pengurusan pula didapati ada kelemahan-kelemahan tertentu yang akan diketengahkan bila PAC buat laporan nanti," katanya.

Menurut Azmi, walaupun Phang memberikan kerjasama kepada PAC pada prosiding yang bermula jam 10 pagi dan berakhir 2.30 petang, PAC mendapati masih terdapat perkara-perkara yang wajar dilihat dengan lebih mendalam.

Ketika ditanya daripada siapa Phang mendapat arahan ketika menguruskan projek PKFZ, Azmi berkata ia terdiri daripada pihak berkuasa seperti Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan serta input daripada individu tertentu termasuk menteri.

Katanya, Phang juga mengaku beliau bertanggungjawab sebagai pengurus besar dalam projek PKFZ.

Azmi berkata PAC akan mengeluarkan laporan berhubung skandal PKFZ dalam bulan Oktober ini.

Esok PAC akan mendengar keterangan beberapa bekas pengerusi LPK termasuk Tan Sri Dr Ting Chew Peh. - Bernama

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com