20090902

Misi tentera serba moden diteruskan

Oleh Hardi Effendi Yaacob
bhnews@bharian.com.my

ABDUL AZIZ (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Azizan, sambil disaksikan Zahid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Abu Bakar Abdullah (dua dari kanan) pada majlis serah tugas di Kuala Lumpur, semalam.

Panglima ATM janji kekal prestasi terbaik

KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera yang baru, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, akan memastikan sistem pertahanan negara sentiasa berada pada tahap terbaik dan mampu menghadapi sebarang bentuk ancaman musuh.

Justeru, beliau berkata, usaha memajukan ketumbukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa walaupun menghadapi pelbagai kekangan, terutama dari segi peruntukan.

"ATM akan meneruskan pelan pembangunannya ke arah menjadi sebuah institusi ketenteraan serba moden, sekali gus menjadikannya kuasa pertahanan terulung dan disegani di rantau ini.

"Ini penting bagi memelihara kedaulatan negara kita, selain memastikan rakyat sentiasa rasa selamat sebab ada pasukan keselamatan yang kuat membabitkan ketumbukan udara, laut dan darat," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Terdahulu, Azizan menghadiri majlis serah tugas antara beliau dengan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal yang turut disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau turut menggariskan misi baru � Agenda Utama Adalah Untuk Merealisasikan Transformasi ATM (4D - MAF) � sebagai panduan bagi pelaksanaan pelan pembangunan itu.

"Saya belum tahu lagi bagaimana hala tuju ATM selepas ini. Perbincangan masih berlangsung dengan pegawai kanan dari ketiga-tiga ketumbukan. Namun, saya menyeru setiap anggota berusaha mencapai segala matlamat 4D-MAF.

"Kita mahu kemajuan dicapai dari semua sudut. Itu sebabnya ia dinamakan sebagai kemajuan 'empat dimensi'," katanya yang mencipta sejarah sebagai pegawai TUDM pertama dilantik ke jawatan tinggi itu.

Ditanya mengenai pelantikannya itu, Azizan menyifatkannya sesuatu yang di luar jangkaan, lebih-lebih lagi tempoh perkhidmatannya bersama TUDM dijadualkan berakhir pertengahan tahun depan.

"Ini amanah cukup berat, namun saya akan berusaha menjalankannya dengan penuh dedikasi. Malah, saya amat menghargai kepercayaan dan peluang diberikan kerajaan ini," katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz mengakui sukar baginya meninggalkan pakaian seragamnya untuk meneruskan kehidupan sebagai orang awam kerana sudah sebati dengan cara hidup seorang tentera.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com