KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta umat Islam berusaha sedaya upaya mentransformasi diri mengikut isi kandungan al-Quran secara menyeluruh bagi menggalakkan pembudayaan ilmu dan mengaplikasikan setiap ajaran dituntut secara holistik.
Perdana Menteri berkata, tokoh ulama, ilmuwan dan saintis Islam perlu melakukan inisiatif berkenaan demi kepentingan umat Islam yang kini banyak berdepan permasalahan baru yang berkaitan dengan isu berkaitan Islam semasa, syariah, perundangan, perubatan, ekonomi dan sebagainya.
"Budaya ilmu yang juga satu nilai aspirasi 1Malaysia adalah teras kepada kehidupan manusia sehingga ayat al-Quran yang terawal diturunkan kepada Nabi Muhammad adalah berkaitan dengan sumber dan kaedah ilmu, seperti firman Allah dalam surah al-'Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud:
"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya," katanya dalam perutusan Nuzul al-Quran di dalam blognya, semalam.
Najib berkata, penekanan budaya ilmu menerusi al-Quran menunjukkan Islam sangat menitikberatkan kepada kemajuan dan penghayatan ilmu pengetahuan.
Katanya, Islam sudah mencipta tamadun besar yang memberi impak amat bernilai terhadap perkembangan ilmu pengetahuan dan kesejahteraan dunia serta umat sejagat.
"Sumbangan Islam dalam bidang intelektual begitu terserlah sehingga berupaya melahirkan tokoh ilmuwan unggul dalam pelbagai bidang yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Jelaslah kitab suci al-Quran adalah sumber ilmu dan tamadun yang unggul untuk membina kekuatan dan mengangkasa umat sebagai khaira' ummah, iaitu umat terbaik yang hidup bersatu padu dan mampu menakhoda zaman di bawah kesepakatan gagasan 1Malaysia," katanya.
Beliau berkata, kitab suci al-Quran yang diturunkan pada 17 Ramadan, bersamaan dengan 6 Ogos 610 Masihi, untuk mengajar manusia supaya menunaikan ibadat khusus seperti solat dan berpuasa serta mengajar manusia berbuat baik serta mengutamakan perpaduan.
"Justeru, dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, saya percaya majoriti rakyat tetap cintakan perpaduan, perdamaian dan keharmonian serta saling menerima keunikan kaum lain seadanya.
"Sambutan ini memberi impak positif ke arah kesejahteraan rakyat dalam menjana keutuhan perpaduan nasional," katanya.
Sehubungan itu, Najib meminta umat Islam menyambut Nuzul al-Quran dengan tekad dan berazam untuk menjadi umat cemerlang yang boleh menyumbang kepada kemajuan negara.
Sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment