20090906

Enam pemimpin perkukuhkan perpaduan kekal kemerdekaan

BAPA Kemerdekaan negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, dengan lantang dan bersemangat melaungkan kalimah 'Merdeka' di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957. Ini secara tidak langsung memperlihatkan bahawa kemerdekaan negara kita penuh dengan kedaulatan dan kemuliaan, ditambah dengan jasa dan pengorbanan pejuang kemerdekaan yang mengorbankan apa saja demi memerdekakan negara.

Negara kian hari kian bertambah maju dan berjaya. Selepas Tunku tidak lagi bergelar Perdana Menteri, Tunku tidak teragak-agak untuk memberi jawatan itu kepada Tun Abdul Razak Hussein sebagai Perdana Menteri kedua.

Tun Razak menerima jawatan berat itu dengan penuh semangat kebangsaan kerana beliau tahu bukan mudah untuk negara ini mencapai kemerdekaan. Tun Razak memacu negara dengan menekankan atau mengutamakan rakyat jelata agar kemerdekaan negara terus terbela.

Selepas kematian mengejut Tun Razak di luar negara, kemerdekaan negara dipelihara oleh Tun Hussein Onn selaku Perdana Menteri ketiga. Tun Hussein tahu hanya dengan perpaduan rakyat kemerdekaan sesebuah negara itu kukuh sampai bila-bila.

Oleh demikian, Tun Hussein memacu Malaysia dengan menekankan konsep perpaduan antara kaum agar kemerdekaan negara yang dicapai, tidak akan diperbodohkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Tun Hussein menaikkan semangat penghayatan kemerdekaan agar Malaysia negara merdeka dengan penuh kedaulatan ini tidak akan dimusnahkan atau dipermainkan.

Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat menggantikan Tun Hussein. Dr Mahathir adalah seorang negarawan Malaysia yang cukup dikagumi kawan dan lawan sama ada dari dalam atau luar negara kerana pemikiran serta strategi beliau dalam memacu negara tercinta.

Dr Mahathir sedar kemerdekaan negara bukan suatu perkara yang mudah untuk dikecapi dan oleh itu, beliau mengagaskan Wawasan 2020 sebagai hala tuju Malaysia demi memelihara kemerdekaan dan kemakmuran negara.

Selama 23 tahun bergelar Perdana Menteri, Dr Mahathir 'membina' Malaysia mengikut acuan sendiri dan membina benteng kemerdekaan negara daripada diceroboh oleh bangsa asing yang sudah semestinya kurang senang dengan kemerdekaan serta perpaduan rakyat Malaysia sehingga kini.

Dr Mahathir berundur dan digantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri kelima yang banyak menumpukan kepada keterbukaan dan integriti di Malaysia. Abdullah sedar bahawa dengan wujudnya keterbukaan dan integriti yang baik di negara ini, sesebuah kemerdekaan negara itu akan boleh dikuatkan melalui rakyatnya yang diberi beberapa 'kuasa' dalam sistem demokrasi dan keterbukaan.

Datuk Seri Najib Razak adalah Perdana Menteri keenam yang mengambil tampuk pemerintahan negara April lalu. Najib adalah seorang yang genius dan berpandangan jauh. Beliau mengakui bahawa kemerdekaan negara suatu yang mudah untuk dikecapi tetapi amat sukar untuk dikekalkan.

Oleh itu, Najib menggagaskan '1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' sebagai suatu konsep negara ke arah memelihara kemerdekaan negara melalui tiga petunjuk utama iaitu perpaduan rakyat, kepentingan kepada rakyat dan kualiti kerja yang cemerlang.

Najib melihat tiga petunjuk ini mampu untuk memelihara kemerdekaan negara daripada diperdajalkan oleh pihak asing yang tidak bertanggungjawab.

SARFARIZMAL MD SAAD,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com